Perihal Institusi Agama
Oleh: Dr. Hairudin Hashim
Malangnya, keadaan umat Islam terutamanya orang Melayu semakin menyedihkan dari tahap teruk menjadi parah. Kedudukan ekonominya jatuh dan rebah. Apatah lagi masalah sosial dan akidah.
Banyak yang kita boleh ajukan persoalan atas masalah ini. Kita boleh tuding jari kearah politikus mahupun pegawai di institusi agama sebagai puncanya. Namun ianya tidak mungkin berjaya mengatasi masalah yang melanda. Ia sekadar melepaskan geram yang terpendam di dada. Itu saja.
Soal politik, kita boleh sahaja mengubahnya tatkala pilihanraya tiba. Namun perubahan politik belum tentu menjamin perubahan pada institusi Agama. Maknanya, beberapa perubahan perlu dibuat bagi menangani masalah kakitangan atau pegawai dalam institusi itu. Jika pun tidak diubah pegawainya, kita perlu menyogok ide dan pandangan untuk menjana perubahan.
Dari luaran kita mempunyai beberapa ide yang sepatutnya boleh dibuat melalui Majlis Agama sehingga memberi kesan terhadap orang Islam meliputi soal kebajikan. Ini lah yang bakal menjadi perhatian orang bukan Islam serta menarik minat mereka mendekati seterusnya memeluk satu-satu nya Agama yang diredhai Allah.
Wang memang lah bukan segalanya, namun tanpa ia bagaimana sesuatu program mahu dijalankan. Tanpanya juga bagaimana zakat mahu diagih serta bantuan dapat disalurkan kepada golongan asnaf dan orang yang memerlukan. Kita sepatutnya menggerakkan institusi masjid sebagai satu pusat kemasyarakatan. Di situ bukan setakat pusat ibadat, malah juga tempat penyelesaian masalah kebajikan anak kariah. Soal kematian, soal anak yatim, orang terputus belanja dan sebagainya.
Ibarat kata pepatah, seberkas lidi jauh memberi kesan berbanding sebatang lidi sahaja. Pejabat Agama Daerah wajar mewujudkan satu tabung yang bersumberkan kutipan Jumaat setiap masjid dalam daerahnya. Contohnya ialah daerah Kulim, kita ada lebih kurang 32 buah masjid. Bayangkan jika kita mengumpul dana separuh kutipan Jumaat terakhir setiap bulan. Jika puratanya RM300 setiap masjid, kita mempunyai tabungan RM9000.00 setiap bulan. Setahun kita ada dana terkumpul RM108,000. Tidakkah ia seumpama ikatan lidi yang membentuk penyapu yang berguna?
Siapakah pemegang amanahnya? Secara peribadi saya mencadangkan ditubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai Pegawai tertinggi Pejabat Agama Daerah, pemimpin politik masyarakat Islam dari 3 parti utama- PAS, PKR dan UMNO. Kita pilih lah yang jernih kepala otaknya. Yang jujur, ikhlas serta amanah. Bukan ular air atau kaki belit.
Untuk apa tabung itu ditubuhkan? Sepatutnya soalan ini tidak timbul, tentu sahaja untuk kebajikan penganut Islam di Daerah Kulim. Bayangkan apabila setiap Daerah kita membuat aktiviti yang serupa, maknanya kita punya jutaan RM dalam satu tahun untuk meladeni dan merawat masalah ekonomi dan kebajikan bangsa Islam yang rata-ratanya orang Melayu!
Secara jujur saya katakan ramai dari kita yang mengambil tahu hal rakyat dan berdampingan dengan masalah mereka saban waktu pernah terlintas di fikiran mereka akan cadangan ini. Namun kali ini saya mengambil sikap menulis supaya ia segera diterjemahkan dalam khalayak untuk mendapat impak seberapa segera. Saya pernah secara santai membicarakan hal ini dengan beberapa orang pegawai agama di Pejabat Agama Kulim, seorang berpangkal nama Tengku dan seorang lagi Ustadz Roslan. Saya juga pernah menyatakan hal serupa kepada pembantu khas Menteri Besar.
Kenapa penubuhan tabung ini perlu disegerakan? Jawapannya terletak kepada banyak masalah anak kariah serta penduduk dalam daerah masing-masing tidak ada jalan penyelesaiannya. Contohnya apabila berlaku kebakaran atau bencana alam. Saya amat tidak suka apabila nasib malang yang menimpa seseorang dijadikan modal politik medan untuk mereka berkokok! Saya amat mengharap nasib orang yang malang dibela dengan pantas dan tuntas. Bayangkan keperluan membina semula tempat tinggal menjangkau RM40 ribu, tetapi bantuan segera hanya ratusan ringgit dan beras sekampit!
Setakat ini saya melihat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah, institusi Masjid mahupun pejabat Zakat gagal dan tidak dapat menghulurkan bantuan yang sepatutnya kepada mangsa tragedi! Bayangkan kita punya empat organisasi tetapi gagal dalam menyempurnakan fungsi!
Memang, apabila disoal akan ada sahaja jawapan untuk tidak membolehkan bantuan kukuh disalurkan. Kita menerima keadaan itu. Tunggulah sehingga beralih kerajaan Pusat. Tahu lah kita memperbetolkannya. Akan tetapi untuk tahap ini, saya amat bersyukur sekiranya pehak berkuasa terutamanya yang memegang kunci kuasa pentadbiran negeri melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya.
Supaya tidaklah terjadi seperti apa yang kita lihat setiap hari, apabila berlaku sahaja bencana kebakaran, selain dari bomba sukarela kawan-kawan kaum Tionghua, bantuan segera akan tiba dari Pertubuhan To’Kong dan gereja. Ianya tidak salah untuk menerima, tetapi mana muka kita mahu letak sedangkan para ilmuan, Tok Guru serta Ustadz sentiasa berkhutbah betapa Islam agama yang syumul, satu cara hidup serta menjaga penganutnya?
Tragedi sebegini telah dua kali berlaku di kawasan Taman Selasih. Dua kebakaran melibatkan lapan buah rumah dalam tempoh dua tahun. Belum pun mangsa kebakaran pertama diselesaikan masalahnya, menimpa pula kebakaran kedua. Nasib mereka terumbang-ambing. Tidak ada tempat mengadu untuk diselesaikan. Adalah wakil jabatan kerajaan yang datang, tetapi sekadar menghulurkan simpati! Hakikatnya, bukan itu yang mangsa mahukan!!
Pejabat Zakat tidak boleh selesaikan, Pejabat Daerah kata tak ada peruntukan, Majlis kata luar bidang kuasa, masjid lagi lah tidak boleh buat apa! Hatta bantuan dari KEDA juga tidak boleh kerana rumah taman tidak termasuk dalam senarai orang yang layak menerima! Apa punya teruk sistem dalam masyarakat kita hari ini. Yang anihnya semuanya melibatkan orang Islam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan