Pendahuluan
Bajet 2013 yang dinanti-nantikan telahpun dibentangkan oleh Menteri
Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 April 2012, dua hari selepas
Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2013
Pakatan Rakyat (Pakatan). Temanya “Memakmur Negra, Mensejahtera Rakyat:
Sebuah Janji Ditepati” berorientasikan pemberian sumbangan wang secara one-off
seumpama “ole-ole” menjelang pilihan raya adalah berbeza dengan
belanjawan PAKATAN bertema “Ekonomi Rakyat, Negara Berkat” yang bersifat
mereformasikan ekonomi negara supaya mengembalikan asas kebijakan
ekonomi kepada rakyat, memacu pertumbuhan dan pengagihan kekayaan yg
saksama.
Dalam pembentangan Bajet Barisan Nasional (BN), Keluaran Dalam Negeri
Kasar (KDNK) dijangka mencapai pertumbuhan dalam lingkungan antara 4.5
hingga 5.5 peratus manakala PAKATAN menjangkakan perkembangan 5.2
peratus pada tahun 2013. Dari segi defisit pula, PAKATAN lebih
berdedikasi untuk menurunkan desifit ke kadar 3.5 peratus berbanding
dengan BN yang mensasarkan 4 peratus. PAKATAN bertekad menghapuskan
gejala rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan di samping
menangani perkara seperti monopoli, kartel dan penyusun semula peranan
kerajaan dalam perniagaan, lantas menyakinkan pencapaian penurunan
defisit yang lebih rendah daripada yang dijangka oleh BN. Sebaliknya,
Kerajaan BN terus mengambil pendekatan yang sama dengan hanya memberi
tumpuan kepada jenis pemberian tanpa mengambil kira senario ekonomi
antarabangsa dan keupayaan domestik, lebih-lebih lagi mengabaikan
pembaharuan dasar bagi menangani “penyakit kronik” yang kini dihadapi
oleh Kerajaan BN – kepincangan struktur ekonomi, pemborosan dan
ketirisan terutamanya dalam pentadbiran kerajaan.
Angkat pembaharuan ekonomi, tolak perbelanjaan ghairah
Belanjawan PAKATAN yang menjurus ke arah pembaharuan ekonomi, walau
bagaimanapun, tidak meraihkan sokongan seperti yang diingini.
Terdapatnya pihak yang tidak bersikap optimistik terhadap cadangan
sebegini dan berpendapat bahawa pelaksanaan cadangan dasar PAKATAN
seperti menurunkan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais
sebanyak 20 peratus, ataupun menawarkan pengajian tinggi percuma dengan
memansuhkan sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN), akan “memufliskan negara”.
Tetapi sejauh mana kesahihan hujah seumpama apabila Menteri Kewangan
Najib “melarikan diri daripada politik” tanpa enggan menerima undangan
perdebatan daripada bekas Menteri Kewangan Anwar sebenarnya menimbulkan
kesangsian kita terhadap dakwaan “memufliskan negara”.
Pada hakikatnya, sekian 55 tahun berada di bawah pemerintahan
Kerajaan BN, Malaysia tidak pernah mengalami perubahan politik yang
melibatkan pertukaran parti pemerintah pada peringkat kerajaan
persekutuan. Agenda pembaharuan sedikit sebanyak mengundang kerisauan,
bukannya semata-mata keraguan terhadap kecekapan dan kewibawaan PAKATAN
dalam merealisasikan cita-cita tinggi, tetapi kebimbangan kehilangan
kuasa dan kekayaan, serta kedudukan yang disanjung tinggi selama ini
tergugat oleh arus perubahan ini. Dalam suasana sebegini, adalah mudah
bagi sebuah rejim pemerintah yang tidak pernah menduduki kerusi
pembangkang melancarkan serangan tanpa hujah kukuh, lebih-lebih lagi
apabila media cetak dan penyiaran adalah di bawah pemilikan atau kawalan
ketatnya.
Jumlah anggaran perbelanjaan Kerajaan BN bagi tahun 2013 mencapai
sejumlah RM251.6 bilion, di mana perbelanjaan mengurus adalah setinggi
RM201.9 bilion manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM49.7
bilion; sekali lagi mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi, belum
disebut lagi bahawa bajet terkini ini merupakan bajet defisit buat 16
tahun berturut-turut di bawah pimpinan Kerajaan BN! Tambahan pula,
jumlah perbelanjaan kerajaan persekutuan bagi tahun 2012 dijangka
mencecah RM252.4 bilion (2011: RM229 bilion), iaitu melangkaui jumlah
anggaran asal RM230.8 bilion yang diluluskan di Belanjawan 2012 sebanyak
9.4 peratus.[1] Jelas sekali, walaupun negara kita berhadapan dengan
defisit yang kian meruncing, Perdana Menteri yang turut merangkap
sebagai Menteri Kewangan tidak menunjukkan usaha untuk menjimatkan kos
dan berbelanja dengan lebih berhemah. Keghairahan berbelanja sebeginilah
merupakan punca utama yang bakal mendesak negara kita menghala ke arah
kebuntuan.
Secara perbandingan, statistik Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)
(sila rujuk Jadual 1 dan Jadual 2) menunjukkan bahawa hasil kerajaan
persekutuan bagi tahun 2013 hanya diunjurkan meningkat sebanyak 0.7
peratus berbanding tahun 2012. Namun begitu, jumlah peruntukan
perbelanjaan bagi kedua-dua perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi
tahun 2013 telah meningkat sebanyak 8.2 peratus berbanding tahun 2012.
Apabila diambil kira pelbagai faktor termasuk hutang kerajaan
persekutuan dan “hutang tersembunyi” yang tidak dimaklumkan oleh Najib
dalam pembentangan Bajetnya, sukar bagi kita mempercayai bahawa sifat
bajet Najib yang membelanja dengan kadar memecut berbanding kadar
peningkatan hasil kerajaan dapat dipanjangkan kesinambungannya jika
sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan
selepas Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU-13) dengan penetapan kadar
cukai yang membebankan rakyat terbanyak dalam tempoh lima tahun
sebermulanya pelaksanaannya nanti.
Jadual 1: Hasil Kerajaan Persekutuan 2012-13
RM juta
|
2012 Anggaran Disemak
|
2013
Anggaran Belanjawan
|
Hasil Cukai
|
152,493
|
159,153
|
Hasil Bukan Cukai
|
53,387
|
48,320
|
Terimaan Bukan Hasil
|
778
|
584
|
Hasil daripada Wilayah Persekutuan
|
588
|
593
|
Jumlah Hasil
|
207,246
|
208.650
|
Perubahan Tahunan
|
|
0.7%
|
Jadual 2: Peruntukan Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan 2012-13
RM bilion
|
2012
|
2013
|
Mengurus
|
182
|
202
|
Pembangunan
|
51
|
50
|
Jumlah
|
233
|
252
|
Perubahan Tahunan
|
|
8.2%
|
Secara perbandingan, PAKATAN membicarakan secara mendalam tentang
soal kepincangan struktur ekonomi, contohnya dari segi jurang pendapatan
keluarga yang kian melebar, peningkatan gaji yang tidak selaras dengan
peningkatan harga, monopoli dan kartel syarikat kroni yang bersekongkol
dengan pemimpin UMNO dan lain-lain lagi, serta sedia menawarkan langkah
penambahbaikan struktur ekonomi negara, kalau bukan satu-satunya jalan
penyelesaian. Pertama sekali, PAKATAN menekankan kepentingan
meningkatkan pendapatan bolehguna (disposable income) rakyat
dan seluruh perancangan ekonomi negara harus berdasarkan kayu ukur ini
bagi menjamin imbangan di antara pertumbuhan yang mapan dan pengagihan
kekayaan yang adil kepada semua rakyar, bukannya semata-mata mengejar
sasaran ekuiti dan pertumbuhan saiz ekonomi. Matlamat ini dapat dicapai
melalui usaha dua hala, iaitu mengurang kos sara hidup, khususnya dengan
menangani permainan monopoli, menyediakan kemudahan infrastruktur di
samping meningkatkan pendapatan dengan mengadakan caruman, skim tertentu
ataupun menyalurkan bantuan kewangan.
Apa yang harus diberi penekanan di sini ialah pengurangan kos hidup
yang dicadangkan oleh PAKATAN merupakan antaranya strategi penstrukturan
ekonomi yang mengadakan kawalan ketat terhadap monopoli, oligopoli, dan
rent-seekers bagi membatas pembolotan hasil ekonomi oleh
syarikat-syarikat besar berkait rapat dengan parti pemerintah,
menggalakkan persaingan pasaran secara sihat dan akhirnya memanfaatkan
golongan masyarakat. Antara cadangan-cadangan termasuk:
- Menggubal undang-undang “antitrust” yang merangkumi skop
yang lebih luas daripada Akta Persaingan 2010 yang sedia ada;
- Membubarkan monopoli BERNAS, kartel syarikat telekomunikasi, kartel media, kartel syarikat penerbangan;
- Meliberalisasi monopoli Astro;
- Lesen teksi diberi secara langsung kepada para pemadu teksi; dan
- Menggubal Suruhanjaya Bebas Kontrak Awam bagi mengkali
konsesi dan perjanjian awam yang bertentangan dengan kepentingan awam.
Selain itu, PAKATAN juga memberi tumpuan terhadap mereformasikan
syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memandangkan penglibatannya
yang begitu giat dalam hampir semua sektor ekonomi. Tatkala sumbangan
GLC kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan, namun pada masa
yang sama, penyertaannya hampir dalam semua sektor yang tidak terkawal
berkemungkinan menghalang pelaburan swasta yang tidak mahu atau tidak
mampu (crowding out effect) bersaing dengan GLC, mahupun
memberi impak buruk kepada percambahan usahawan baru yang tawar hati
untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai talian
terus kepada pimpinan tertinggi negara. Apa yang lebih mendukacitakan
dan mengecewakan adalah apabila berlakunya kes penyelewengan,
ketidakcekapan dalam tadbir urus, ataupun kegagalan dalam pelaburan
sehingga menyebabakan kerugian wang pembayar cukai yang bukannya
berjumlah kecil. Justeru, adanya kepentingan dan keperluan bagi
mengurangkan pergantungan dan keutamaan GLC dalam transaksi perolehan
kerajaan pusat dan mengurangkan kesesakan monopoli GLC bagi menarik
pelaburan luar. Belanjawan alternatif PAKATAN terutamanya
menitikberatkan permasalahan ini.
Mengambil kepedulian rakyat terbanyak
Pembentangan bajet ini dikatakan bajet terakhir sebelum pilihan raya
umum dan justeru memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan
keputusan dalam pilihan raya yang bakal menjelang. Sesungguhnya, bajet
ini banyak memperlihatkan sumbangan wang yang dihujani kepada rakyat
Malaysia, terutamanya generasi muda yang merupakan pengundi pertama
kali, di mana bilangannya mencecah setinggi 2.9 juta, membentuk satu
perlima daripada 13.1 juta pengundi atau 22 peratus daripada pengundi
keseluruhan.[2] Tidak dapat dinafikan, kecenderungan pilihan kelompok
pengundi baharu ini dalam pilihan raya umum adalah amat kritikal sama
ada mengekalkan kuasa pemerintahan kerajaan BN atau mengubah landskap
politik negera dengan memberi peluang kepada PAKATAN yang kini kian
bertambah kekuatan dan popularitinya bagi menerajui Putrajaya.
Kebimbangan kerajaan BN di bawah pimpinan Najib begitu nyata
dibayangkan memperlihatkan sebanyak RM51.7 bilion yang diperuntukkan
dalam belanjawan untuk golongan muda.[3]
Penutup
Akhir kata, kini masanya kita merumuskan sifat bajet Najib semenjak
beliau dilantik oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi
sebagai Menteri Kewangan pada 17 September 2008. Secara kebetulan atau
tidak, masalah struktur yang dibangkitkan dalam belanjawan PAKATAN
merupakan kelemahan utama bajet Najib selama ini. Monopoli, empayar,
pemborosan, ketirisan, subsidi korporat besar mendahului bantuan rakyat
terbanyak, projek mega dan seumpamanya, telah mencorakkan bajet Najib –
seorang anak bangsawan yang tidak mengerti perbezaan kepentingan
golongan 20 peratus teratas dengan keperitan golongan 20 peratus
terbawah serta bebanan rakyat terbanyak.
Pilihlah anda. Kita mahukan bajet one-off yang menyusahkan
kita dan anak kita kemudian, atau, kita mahukan belanjawan yang
menangani punca masalah dan membawa kesejahteraan kepada masa depan
kita?
Apakah akan bermulanya era baharu selepas PRU-13?