Rabu, 4 Januari 2012

Tahu Dan Jangan Buat Tak Tahu

Berita
"Sepuluh tahun dahulu Setiausaha Pertahanan Amerika Donald H.Rumsfeld telah ditanya oleh wartawan tentang niat Amerika untuk menyerang Iraq. Rumsfeld telah memberi satu jawapan klasik ' There are known knowns ... there are known unknowns... there are also unknown unknowns' — atau ada pekara yang diketahui dan kita tahu... ada pekara diketahui tetapi kita tidak tahu...ada pekara yang tidak diketahui dan kita tidak tahu.

Dua belas tahun dahulu Anwar Ibrahim telah dituduh meliwat pemandu peribadinya Azizan Abu Bakar. Pada tahun 2004 kes liwat ini telah dibuktikan tidak berasas dan Anwar dibebaskan. Fakta pembebasan Anwar ini diketahui dan kita semua tahu. Anwar Ibrahim dipenjara selama 6 tahun bukan kerana meliwat tetapi kerana salah guna kuasa. Tentang fakta salah guna kuasa ini ramai yang tidak tahu dan ramai yang buat-buat tidak tahu.

Pilihanraya ke 12 - Pakatan Rakyat telah mendapat sokongan ramai dan berjaya menafikan Barisan Nasional majoriti dua par tiga di Parlimen. Anwar Ibrahim dilantik menjadi Ketua Pembangkang. Pakatan Rakyat telah menyediakan diri untuk mengambil alih pertabiran kerajaan Malaysia. Pakatan Rakyat juga mencadangkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Semua ini diketahui dan kita semua tahu.

Pada 28 Jun Saiful Bukhari telah membuat laporan polis bahawa dia telah diliwat oleh majikannya yang bernama Anwar Ibrahim. Ini pekara diketahui dan semua orang tahu.

Pada 1 Julai 2008 Balasubramaniam anak lelaki Perumal telah mengeluarkan Surat Akuan Bersumpah dimana secara terang dan jelas dia mengumumkan kepada dunia bahawa Altantuya Shaariibuu ialah bekas kekasih Najib Razak. Balasubramaniam juga memberitahu kepada dunia bahawa Najib juga telah meliwat Altantuya. Fakta ini ada yang tahu dan ada yang buat-buat tidak tahu. Untuk yang ingin tahu fakta ini ada tercatit - fasal 25 pecahan 2 - dalam Surat Akuan Bersumpah Balasubramaniam. Kalau tidak baca pasti tidak tahu. Susudah membaca jangan buat-buat tidak tahu.

Pada Isnin 9 Januari minggu hadapan Mahkamah di Jalan Duta akan mengumumkan keputusan tuduhan Saiful terhadap Anwar. Ini pekara diketahui oleh semua warga. Tetapi ada pekara-pekara yang ramai warga buat-buat tidak tahu. Banyak juga pekara diketahui umum tetapi ada warga sengaja tidak hendak tahu. Ramai juga warga yang tahu duduk perkara tetapi sengaja buat tidak tahu.

Ramai yang tahu bahawa Saiful telah tidak terberak selama dua hari kerena dalam juburnya ada bahan bukti — air mani Anwar Ibrahim. Ramai tahu bahawa Saiful telah memasukan plastik ke dalam jubur untuk menahan dari terberak. Tetapi ramai juga tidak tahu bahawa umur air mani tersimpan dalam jubur tidak mungkin melintasi 48 jam walau pun air mani itu milik arwah Superman Christopher Reeve.

Ada warga yang tahu bahawa Saifol Bukhari ini telah menemui Najib Razak sebelum membuat laporan kepada polis. Ada yang tahu bahawa Najib mengumumkan Saiful datang ke rumahnya untuk meminta biasiswa sesudah dibuang dari universiti. Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa jika ada sesiapa yang gagal dalam peperiksaan mereka boleh melamar biasiswa untuk menjadi pemandu kapal terbang dari Najib Razak sendiri.

Ramai yang tahu Datuk Dr. Mumtaz Jaafar Begum ialah pelari terpantas negara satu ketika dahulu. Tapi ramai yang tidak tahu bahawa Datuk Dr. Mumtaz Jaafar Begum tidak pernah lulus pepereksaan LCE. Ramai yang hairan dan tidak tahu bagaimana Mumtaz Jaafar ini berjaya mendapat ijazah doktor. Masih ramai pula yang tidak tahu bahawa Datuk Dr.Mumtaz Jaafar ialah pembantu kepada Rosmah Mansor — isteri Najib Razak. Paling ramai yang tidak tahu bahawa Dr. Mumtaz Jaafar itu ialah ibu angkat kepada Saiful Bukhari.

Ramai warga tidak tahu apakah yang dibuat oleh Anwar Ibrahim pada 26hb Jun 2008 di Unit 1151 Kodominium Desa Damansara di Jalan Setia Kasih Kuala Lumpur. Warga tidak diberi tahu bahawa pada hari yang berkenaan Anwar Ibrahim sedang mengadakan perbincangan sulit tentang kedudukan ekonomi negara dengan 5 orang ahli ekonomi negara. Perbincangan ini menjadi sulit kerana 5 orang pakar ekonomi ini masih bekerja untuk kerajaan. Fakta ini tidak diketahui umum malah mahkamah pula tidak mahu tahu.

Ramai yang tidak mahu tahu bahawa kes liwat Anwar Ibrahim ini bukan kes lubang jubur Saiful terkoyak. Atau kes Anwar Ibrahim merogol pembantunya dengan ganas. Kes liwat Anwar Ibrahim ini ialah kes politik. Kes politik - pertempuran dua pandangan dunia politik Melayu. Tentang ini ramai yang tidak tahu dan ada yang buat-buat tidak tahu.

Najib Razak mewakili garis politik Ketuanan Melayu. Garis politik ini telah mengajukan Dasar Ekonomi Baru dalam usaha untuk menyelesaikan kemiskinan manusia Melayu dalam negara ini. Selama lebih dari 40 tahun dasar yang dibawa oleh politik Ketuanan Melayu telah berjaya mengkaya-rayakan sekumpulan kecil Melayu manakala majoriti Melayu masih dalam tahap kemiskinan. Fakta sedemikian ini ramai yang tahu dan mustahil ada yang tidak tahu.

Manakala Anwar Ibrahim cuba membuka wacana baru dengan politik Ketuanan Rakyat. Ajenda Ketuanan Rakyat ini amat menarik terutama dikalangan jenerasi muda. Ketuanan Rakyat ini menarik kerana ianya menolak garis perkauman, menolak parti-parti yang berasakan kaum dan membuka wadah politik yang berkemungkinan membawa kesaksamaan derajat untuk anak semua bangsa. Tentang politik baru ini wajib ambil tahu dan jangan buat-buat tidak tahu.

Ketuanan Melayu Najib Razak disokong oleh kaum pemodal dan kapitalis yang besar. Najib juga dibantu juga oleh para cukong China yang luas jaring ekonominya. Dalam masa yang sama Najib Razak mendapat sokongan peniaga-peniaga dan kontraktor Melayu yang besar ekonominya. Para peniaga ini berjaya kerana Dasar Ekonomi Baru tetapi masih bergantung nyawa dan menunggu sokongan kerajaan. Ini semua orang tahu.

Manakala Anwar Ibrahim disokong oleh kaum pemodal pertengahan yang nafas mereka turun naik kerana mereka tidak tersenarai atau dinobatkan sebagai kroni United Malay National Organisation. Kaum pemodal dan para kontraktor kecil ini berharap jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri maka perniagaan mereka dapat sokongan untuk membesar. Anwar juga disokong para peniaga kecil, tuan empunya warong dan orang-orang yang tidak dipedulikan oleh United Malay National Organisation. Fakta ini masih ada yang buat buat tidak tahu.

Justeru - Najib dan Anwar ini memiliki sokongan yang luas dan tegar. Penyokong Anwar dan penyokong Najib datang dari latar belakang kelas yang berasingan. Punca-punca ekonomi membezakan penyokong Anwar dan penyokong Najib. Bila membaca ekonomi dijadikan asas menganalisa politik maka ramai penganalisa politik jadi bebal kerana mereka tidak tahu. Selama ini mereka hanya menganalisa watak Najib dan watak Anwar. Ramai yang tidak diberi tahu dibelakang pertempuran dua politikus Melayu ini ialah kaum pemodal yang sentiasa ingin tahu siapa yang wajib disokong.

Kalau bumi retak dan langit runtuh ianya tidak akan mengubah apa-apa keputusan pada hari Isnin depan. Malaysia tahu Anwar Ibrahim akan didapati bersalah. Anwar akan dinafikan hak untuk bertanding sebagai ahli parlimen. Anwar akan merayu. Lima tahun kemudian di mahkamah rayuan Anwar Ibrahim akan didapati tidak bersalah. Ketika ini Anwar Ibrahim telah botak dan berumur 71 tahun.

Ada sesiapa lagi yang tidak tahu apa yang sebenarnya sedang dilakukan oleh Najib? Ini namanya perang bioloji. Kalau Najib tidak memenjarakan Anwar dan mematikan gerak langkah politik Anwar , Najib sendiri akan masuk ke penjara dan United Malay National Organisation akan tutup kedai. Jika ini berlaku barulah seluruh Malaysia tahu bahawa bekas pembantu Anwar Ibrahim yang bernama Saiful Bukhari hanyalah cacing kerawit dalam usus politik perang bioloji Najib Razak.

Berhenti sebentar! Sebelum hari Isnin ini sampai ada satu pekara lagi yang tidak diketahui tetapi masanya telah sampai untuk di ketahui. Pekara tahu yang wajib diketahui oleh seluruh warga Malaysia ini ialah peranan Amerika, United Kingdom, Turkey dan Indonesia. Atau lebih senang lagi apakah peranan Barak Obama, David Cameron, Recep Tayyip Erdogan dan Susilo Bambang Yudhoyono dalam menentukan keputusan kes Anwar liwat Saiful ini.

Apakah pembaca terperanjat apabila tahu ada kuasa luar yang masuk campur dalam kes Anwar liwat Saiful ini? Jangan terperanjat kerana seperti kata Donald H. Rumsfeld "...there are also uknown unknowns..." atau ada pekara tidak tahu dan kita sendiri tidak tahu yang kita tidak tahu.

KENYATAAN RESMI PARTI KEADILAN RAKYAT



GAGALKAN MUSLIHAT UMNO

Muslihat UMNO-BN Tidak Akan Menggelincirkan KEADILAN dan Pakatan Rakyat Dari Perjuangan Melaksanakan Perubahan.

Reformasi 98 tercetus apabila rakyat bangkit meluahkan rasa marah dan tidak puas hati mereka terhadap kezaliman UMNO. Berhadapan dengan krisis kewangan 97/98, pentadbiran Dr Mahathir mulai dipertikaikan rakyat. UMNO terburu – buru untuk menyelamatkan elit korporat dan kaum keluarga yang dekat dengan pemerintah. Menjadi halangan kepada cita cita mereka adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan tuntutan rakyat. Mantan Menteri Kewangan yang kini Ketua Umum KEADILAN itu tuntas mahu menyelamatkan negara dan rakyat. Dato’ Seri Anwar tidak bertolak ansur dengan hasrat menggunakan dana awam demi menyelamatkan kroni pemerintah. Maka sebagaimana yang dirakamkan oleh sejarah, Dato’ Seri Anwar dihumban ke penjara dan diaibkan dengan fitnah melampau yang direkayasa UMNO.

Selepas meringkuk selama 6 tahun beliau pun dibebaskan. Bersama – sama pimpinan KEADILAN dan kerjasama PAS serta DAP maka kita berjaya mengecapi keputusan yang memberangsangkan pada tahun 2008. Sejarah pun tercipta. Permuafakatan Pakatan Rakyat kian hari semakin kukuh didasari cita-cita membangunkan Malaysia yang lebih gagah, A Mighty Malaysia. Menyedari rakyat Malaysia bersama-sama dengan Pakatan Rakyat, UMNO terus menganyam muslihat baru yang dicedok dari skrip usang. Sekali lagi DSAI ditohmah dengan fitnah keji. Makanya pada 9hb Januari 2012 adalah tarikh genting. Ianya bukan sahaja mengenai batang tubuh Dato’ Seri Anwar dan keluarga beliau. Akan tetapi keputusan mahkamah pada hari itu pastinya melibatkan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Adalah jelas kes ini bermotifkan politik dan berniat jahat. Pimpinan UMNO-BN mahu memastikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri seperti yang dipersetujui Permuafakatan Pakatan Rakyat.

UMNO menyangka rekayasa jelik itu akan memecah-belah dan menjejaskan usaha Pakatan Rakyat dari memenangi Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Akan tetapi itu merupakan angan-angan mereka semata-mata. Kami bertegas muslihat ini tidak akan menggelincirkan Pakatan Rakyat dari tekad untuk menubuhkan kerajaan persekutuan. Peringatan keras untuk UMNO, apa pun konspirasi untuk memenjarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kami pasti akan bangkit meruntuhkan tembok kezaliman. Pakatan Rakyat telah sepakat bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

Walau apapun keputusan pada 9hb Januari nanti, pimpinan KEADILAN bersama-sama Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia keseluruhannya telahpun bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan yang tepat. Justeru saya memberi jaminan bahawa kepimpinan KEADILAN akan terus menerajui agenda rakyat. Persoalan kepimpinan sememangnya diputuskan melalui permuafakatan dalam parti. Semenjak dari penubuhannya kepimpinan parti merupakan suatu “evolutionary process,” dan bukannya suatu “revolutionary process.”

Yakinlah bahawa kita akan terus istiqamah meneruskan perjuangan murni ini. Adalah menjadi tanggunggjawab kita semua untuk melaksanakan segala kebijakan, dasar dan agenda yang telah digarap sepertimana yang terkandung dalam Agenda Ekonomi Malaysia, Dasar Bersama PR, Buku Jingga dan Belanjawan PR.

Justeru saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kekal menjana kekuatan dan memperkukuh usaha untuk memenangi Piliharaya Umum ke 13. Kemenangan tersebut adalah Demi Malaysia yang demokratik, Malaysia yang makmur, Malaysia yang aman dan harmoni, Malaysia yang bebas serta Demi Malaysia baru milik rakyat.

Inshaallah, saya, seluruh pimpinan dan seluruh rakyat Malaysia akan hadir menyatakan sokongan dan bersama-sama Dato’ Seri Anwar pada hari tersebut, 9hb Januari 2012.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat







KENAPA KEPUTUSAN PEMBICARAAN ANWAR PENTING UNTUK SETIAP RAKYAT MALAYSIA


Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menyampaikan penghakimannya dalam perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Keseluruhan prosiding telah dikutuk dengan meluasnya sebagai perbicaraan bermotif politik, yang seringkali digunakan rejim-rejim kukubesi untuk menghancurkan musuh-musuh politik mereka. Tetapi Anwar memiliki rekod panjang untuk tidak semudahnya menyerah kalah. Beliau telah mengisytiharkan bahawa apa jua keputusan pada 9 Januari ini, beliau tidak akan menyerah. Sebelum ini penjara tidak dapat mematahkan atau mendiamkan suara Anwar, semestinya juga tidak sekarang.

Tetapi apa yang dipertaruhkan di sini lebih daripada sekadar kebebasan peribadi pemimpin pembangkang. 54 tahun yang lalu, rakyat negara ini telah dijanjikan bahawa tanah air mereka yang baru merdeka akan bebas dan demokratik; dan hasrat rakyat itu telah diungkapkan dalam perundangan tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Janji ini telah dengan sengaja dimungkir oleh gabungan politik yang memerintah negara ini sejak hari tersebut sampailah ke hari ini.

Badan kehakiman yang bakal memutuskan penghakiman ke atas Anwar Ibrahim pada 9 Januari, gagal untuk menegakkan kebebasan asasi yang terkandung dalam Perlembagaan dan membenarkan pihak Eksekutif untuk menginjak-injak hak-hak asas Rakyat. Oleh yang demikian, lebih setengah abad, rakyat telah menderita akibat undang-undang menindas, rasuah berleluasa dan penyalahgunaan amanah jawatan awam untuk keuntungan dan memperkayakan diri sendiri. Rakyat ialah pemilik tanah air ini yang sebenar-benarnya. Namun rakyat hanya menjadi peminta belas ehsan di pintu Putrajaya, di mana para pemimpin Umno/ BN dan mereka yang bergantung kepada kuasanya memerintah rakyat.

Lawan kepada rejim Umno adalah pakatan pembangkang yang diterajui Anwar, yang mana paksi tujuannya untuk memansuhkan kesemua perundangan menindas dan anti-demokratik serta mengembalikan kebebasan berperlembagaan kepada rakyat; untuk menamatkan kerugian besar-besaran akibat rasuah; dan untuk memastikan agihan kekayaan negara yang saksama dan adil. Kini Umno cuba untuk menghalang perjalanan hebat rakyat Malaysia ke arah kebebasan dengan cuba membunuh secara politik Anwar Ibrahim melalui sistem pengadilan yang berat sebelah dan mudah dipengaruhi.

Inilah sebabnya kenapa 9 Januari begitu amat penting untuk setiap rakyat Malaysia. Pendirian Anwar untuk tidak tunduk terhadap suatu sistem yang zalim, memberikan kekuatan dan harapan baru kepada rakyat dalam menghadapi kekuasaan penindas yang zalim itu, malahan mengukuhkan keyakinan rakyat untuk menuntut perubahan dan reformasi. Justeru, iannya merupakan saat-saat kemuncak dalam pertempuran untuk jenis negara dalam mana ingin kita hidup, serta jenis nilai-nilai yang kita mahu wariskan kepada generasi Malaysia akan datang. Apapun jua keputusannya pada 9 Januari ini, kita dapat mengambil hikmat bahawa tidak lama lagi akan tiba pula giliran Rakyat untuk menyampaikan penghakiman terhadap kerajaan zalim dan menganiaya ini.

Di keluarkan oleh,
N SURENDRAN
NAIB PRESIDEN
KEADILAN

3 Januari 2011