Rabu, 24 Oktober 2012

Umno, Kerajaan Bergantung Kepada Mahathir?


Oleh Subky Latif
SATU laporan muka depan akhbar menyebut betapa UMNO dan pemimpin kerajaan bergantung kepada bimbingan Dr. Mahathir bagi menghadapi dan memenangi PRU13 yang terpaksa diadakan sebelum April akan datang.
Laporan itu lucu tetapi ia tidak boleh dikira karut. Sepatutnya ia karut tetapi suasana pimpinan Perdana Menteri Najib dilihat keliru dan was-was, maka yang dirasakan lucu itu nampaknya bukan perkara karut.
Hampir dua tahun pimpinan Najib dan Muhyiddin hendak mengadakan PRU supaya dapat keluar dari bagi mandat Abdullah Badawi yang mereka rasa amat malang, tetapi tempoh penggal ltu hampir luput, mereka belum jumpa tarikh keramat bagi mengadakannya. Semua tarikh sepanjang dua tahun itu seolah-olah tidak keramat belaka.
Telah banyak persepsi merasakan Najib dan Muhyiddin bukan sekadar tidak berdaya menjadi pimpinan kerajaan yang baik, malah mereka tidak ada wibawa untuk memimpin UMNO bagi menghadapi PRU13.
Laporan akhbar betapa UMNO bergantung pada bantuan Dr. Mahathir bagi menyelamatkan UMNO dan kerajaannya adalah satu pemberitahuan betapa Najib dan Muhyidin adalah pimpinan yang tidak berwibawa hingga tidak ada lagi orang-orang yang lebih muda Dr. Mahathir yang dapat memimpin UMNO.
Laporan adalah satu cara bagi menyatakan Najib tidak berguna dan Muhyidin sendiri dapat membantu Najib bagi menjadi pemimpin parti dan Perdana Menteri yang berguna. Kedua-duanya tidak berguna dan tidak orang lain yang layak memimpin UMNO melainkan Dr. Mahathir yang pimpinannya dulu penuh kontroversi.
Ia adalah satu gambaran betapa UMNO sudah bankrap pimpinan. Tiada lagi orang yang layak memimpinnya hingga terpaksa mengambil orang lama juga terus menerus dipertikai oleh orang ramai termasuk UMNO.
Gaya pimpinannya dulu lebih kurang saja dengan pemimpin-pemimpin yang sudah dibuang dan sedang hendak dibuang oleh gelombang Arab Spring. Demi mengekalkan kuasanya dia cantas semua pencabarnya seperti Musa Hitam, Ghafar Baba, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim. Sekalian yang dipancungnya itu adalah watak yang membina diri masing-masing untuk menjadi pemimpin.
Kemudian dia sendiri gagal menyediakan pimpinan UMNO. Disediakannya Abdullah Badawi, diratahnya. Disediakannya Najib, lalu Najib jadi macam yang semua lihat sekarang terus hidup di bawah bayangan Dr. Mahathir dan Rosmah Mansor. Muhyidin pula tidak mencapai wibawa yang ada pada Musa Hitam dan Tengku Razaleigh. Mungkin tidak mampu mencapai oleh pimpinan Abdullah Badawi dan Najib yang lemah itu.
Pentadbiran Mahathir sendiri meruntuhkan apa yang dirancang dan ditinggal oleh Tunku dan Tun Razak. MAS runtuh, Bank Bumputera hapus, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah hancur. Dasar dan projek yang ditinggalkan olehnya pula membebankan rakyat dan negara seperti penswastaan, lebuh raya bertol, pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Dalam zamannya pun Maahthir bukanlah pimpinan yang baik, dan zaman ini pula bukanlah zaman yang sesuai bagi orang setuanya dan berulang alik ke hospital saja. Sekarang UMNO dan kerajaan memerlukan orang yang lebih muda bagi menghadapi masa depan yang mencabar, bukan lagi zaman orang bergantung pada kehebatan Hang Tuah dan Dr. Mahathir.
Menggunakan Dr. Mahahir seperti memakai barang terpakai. UMNO tidak memerlukan pimpinan recond. Apabila Najib. Muhyiddin sudah tidak berguna tidak banyak bijaknya menggunakan barang-barang lama.
Apabila UMNO sudah ada orang baru untuk memimpin, maka itu tandanya UMNO juga tidak layak lagi memimpin rakyat dan negara. Tali hayatnya tidak boleh disambung. Itulah ertinya berita UMNO dan Najib bergantung pada Dr. Mahathir.

IPP Gen-2: Tabiat lama BN berulang?



1. Rundingan bekalan eletrik (tenaga) antara pihak Penjana Tenaga Bebas (IPP) dengan kerajaan sedang berjalan. Kerajaan diwakili oleh Tenaga Nasional Berhad dan pemberian konsesi adalah melalui kaedah ’tender terbuka’ atau ‘competitive bid’ yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC).

2. Untuk ingatan umum, konsesi IPP generasi pertama adalah perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang ‘berat-sebelah’ (lope-sided). IPP generasi pertama mendapat pulangan pelaburan sebanyak 20%-40% (ROE), sementara Tenaga menanggung bebannya. Umum masih ingat betapa Tan Sri Ani Arope, Pengerusi Tenaga ketika itu cukup kecewa dengan PPA yang dipaksa ke atas Tenaga secara amat berat sebelah dan tidak adil. Beliau kemudian meletakkan jawatannya.

3. Walaupun kerajaan menjamin bahawa PPA generasi ke-2 IPP akan menjadi lebih telus dan adil, para analyst kewangan telah mula mengkritik beberapa tindakan kerajaan.

4. Pertikaian yang telah mula mendapat liputan dalam media bisnes adalah tentang dua syarikat generasi pertama ini yakni Genting Sanyen Power dan Segari Power Ventures. Segari dimilikki oleh Malakof Behad milik Tan Sri Syed Bukhtar Bukhari. Genting Sanyen kini dibeli oleh 1-MDB.

5. Mengapa kedua-dua IPP ini mendapat ‘layanan yang berbeza dan istimewa’ telah pun mencetuskan pelbagai tanda tanya yang menjadikan segala dakwaan kerajaan bahawapemberian konsesi kedua IPP ini adalah telus dan adil, mula dipandang serong oleh pasaran tenaga dan penganalisa.

6. Mengapa Genting Sanyen mendapat harga konsesi pada kadar 35.3 sen dan Segari Power mendapat kadar 36.3 sen per kWh yakni lebih tinggi dari loji tenaga baru yang dibina sendiri oleh Tenaga adalah satu yang tidak difahami. Kalau ia tidak lagi efisien dan boleh menandingi loji baru, maka perlu kadar yang lebih diberikan? Mengapa tidak dihabiskan sahaja konsesinya dan digantikan?

7. Turut dipertikaikan, Segari Power Ventures milik Tan Sri Syed Bukhtar adalah yang pertama mendapat perlanjutan konsesi untuk 10 tahun lagi. Persoalannya ialah apakah kriteria penilaian pihak EC yang melayakkan Segari untuk menjadi IPP pertama yang diberikan ‘extension’ atau lanjutan ini? Tidak dapat dielakkan persepsi negatif terhadap tindakan pemberian lanjutan ini, untuk membantu Malakoff, pemilik Segari IPP yg bercadang utk disenaraikan semula di Bursa Malaysia? Tentunya tindakan EC ini menjadikan ‘valuation’ Malakof menjadi lebih baik dan tinggi, lantas berpotensi mendapat harga IPO yang lebih tinggi. Bukankah itu tindakan menguntungkan ‘kroni’ namanya?

8. EC juga telah meluluskan 10 tahun lanjutan ke atas Genting Sanyen Power yg sekarang telah dimiliki oleh 1MDB yang telah membeli dari Genting Berhad dengan harga RM2.55 bilion, hampir 6 kali nisbah harga:buku (price: book ratio) (nilai buku~ RM422 juta). Harga ini adalah amat mahal dan ketika itu Genting Sanyen hanya ada 3 tahun lagi konsesinya. Seolah-olah semacam tahu bahawa EC akan melanjutkan konsesi Genting Sanyen, 1-MDB membeli dengan harga yang begitu mahal.

9. Untuk ingatan bulan March tahun ini, 1-MD membeli dari Tan Sri Ananda Krishnan, sebuah loji tenaga Tanjung Energy Holding Sdn Bhd dengan harga RM8.5 bilion, meskipun pasaran mentaksirkan harganya dalam lingkungan RM6.6 bilion. Ananda tersenyum ke banknya dengan RM1.9 bilion. 

Wajarkah sebuah GLC (1-MD) berbelanja besar seperti ini (jumlah RM11 bilion) dengan cara pinjaman atau bon-sukuk (berhutang)? Tentunya sekali lagi bahawa ini adalah ‘off-budget’ atau ‘off-balance spending’ dalam kategori ‘Contingent Liability’ (CL).

Persoalan saya di Dewan rakyat tentang berapa banyak dari RM117 bilion CL yang telah menjadi ‘liability sebenar’ kerana tak terbayar dek GLCs (NPL) sehingga hari ini tidak dijawab Menteri Kewangan!

10. Kesemua ini meletakkan tadbir-urus Suruhanjaya Tenaga sangat dipertikaian. Para analysts dan pelbagai pihak telah menyarankan bahawa supaya tidak membeli dari IPP generasi pertama ini. IPP ke-2 yang lebih efisien dan yang menggunakan jumlah gas yang kurang dan mungkin juga lebih mesra alam-sekitar dapat diusahakan.

11. Ahli Parlimen Rembau mempertikaiakan semalam tentang mengapa kerajaan negeri tidak menjual pegangan 25% sahamnya (melalui PKNS) dalam Genting Sanyen kalau Pakatan tidak bersetuju dengan subsidi kepada pihak IPP? Penjelasan dari pihak Kerajaan adalah kerana ia tidak dapat menjualnya dengan harga yang baik kerana IPP ini sudah pun hamper ke hujung konsesinya. Menjual loji ini kepada pihak yang berminat dan mendapatkan pulangan kembali kepada pelaburannya adalah satu tindakan yang lebih munasabah.

Apakah tabiat lama Umno-BN akan berulang kembali, walaupun pada zahirnya ia telah
mengambil pendekatan tender terbuka? Malang!