Akhirnya pada 9 Januari 2012, perbicaraan terhadap Anwar yang dituduh meliwat Saiful Bahari sampai ke kemuncaknya. DS Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah.
Pelik tetapi benar, kerana perbicaraan yang sepatutnya ditakrifkan sebagai ‘No Case’ pada tahap awal lagi telah begitu berpanjangan sehingga membazirkan berjuta juta wang rakyat dan Negara. Yang lebih menyedihkan kita, kes ini telah memporak-perandakan budaya Melayu dan Negara kerana melalui kes ini juga anak-anak kecil mendapat tahu apa itu liwat dan sodomi dan apa itu pelincir.
Kalau direnungkan lama-lama sikit, kita akan terimbau kes skandal Anwar dikatakan telah meliwat seorang pelacur dan video itu telah diedarkan oleh tiga orang bergelar datuk. Yang diketuai oleh Datuk Seri yang pernah dikaitkan dengan kes merogol anak gadis bawah umur. Implikasi kes rogol itu telah memenjarakan Lim Guan Eng (sekarang ini Ketua Menteri Pulau Pinang) kerana mempertahankan hak seorang nenek yang cuba mendapatkan keadilan untuk cucunya yang dirogol itu.
Masyarakat dunia global sudah lama mencemuh kes perbicaraan Anwar Ibrahim kerana mereka sudah lama faham bahawa itu adalah manipulasi politik yang tidak mahukan Anwar naik menjadi seorang Perdana Menteri.
Apapun, keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar Ibrahim adalah satu tamparan hebat kepada beberapa puak masyarakat Melayu dan parti BN. Selama ini Anwar Ibrahim dan kes ‘rekaan’ meliwat Saiful Bahari sudah menjadi modal politik yang amat berbisa kepada beberapa pemimpin UMNO dan BN. Begitu juga kepada berpuluh-puluh NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang pro UMNO; kepada apa yang disebut sebagai PEKIDA dan PERKASA.
Yang paling tersenak dengan keputusan mahkamah itu ialah kumpulan penjahanam PKR yang dianggotai oleh Ezam Mohd Nor, Dr. Chandra Muzaffar, dan yang paling aktif terkini ialah Zulkifli (Tempoyak) Nordin. Mereka ini telah dibuai mimpi dengan kemewahan yang dinaungi oleh Najib dan UMNO untuk terus bernafas lega dengan memburuk-burukkan Anwar Ibrahim.
Paling menjijikkan di kalangan mereka ini ialah Zul Tempoyak yang baru-baru ini mengugut anak-anak muda agar tidak berdemonstrasi dengan kumpulan 901 kerana dia dan Ibrahim Ali mahu bertindak menyekat dan menentang anak-anak muda itu.
Cuma Zul terlupa menyatakan bagaimana dia mendapat gelaran Datuk selepas keluar daripada PKR dan hidup mewah laksana seorang jutawan, sedangkan rakyat Kulim Bandar Baru yang diwakilinya hidup seperti lama juga. Yang penting sekali tanyalah Zul apakah dia pernah menyerahkan penyata akaun pilihan raya di Kuala Langat dahulu?
Walau bagaimana pun, keputusan kes Anwar dan Saiful akan membuka mata rakyat marhaen kepada banyak perkara:
1) Sistem kepolisan (Policing system) di Malaysia di mana pihak PDRM berdolak-dalik untuk menyekat himpunan aman di hadapan mahkamah yang membicarakan kes Anwar Ibrahim - daripada tidak boleh dan dianggap haram hingga menjadi boleh. Implikasinya beratus kumpulan NGO dan cawangan UMNO membuat laporan polis membantah demonstrasi itu. Bayangkan bebanan tak berbaloi anggota polis yang menerima laporan bantahan itu .
2) Keadaan kucar-kacir dalam kampus pusat pengajian tinggi kerana perbalahan disebabkan ada pihak yang mahu berdemonstrasi dan ada pihak yang tidak mahu ikut serta. Yang mahu berdemonstrasi adalah golongan yang tahu bahawa masyarakat mahasiswa adalah pelapis pentadibir Negara dan bukan budak-budak sekolah menengah lagi.
3) Percanggahan pendapat di kalangan ibu bapa dan golongan dewasa seiras pendapat golongan mahasiswa. Hinggakan masyarakat Melayu itu sendiri menjadi kucar-kacir dan pening kepala, keliru siapa yang patut mereka sokong.
4. Keputusan mahkamah ini juga memperkuatkan wibawa TG Nik Aziz dan sebahagian besar anggota PAS dan juga parti komponen PR. Kegemilangan PAS baru sahaja digerhanakan oleh kisah pemecatan Datuk Dr. Hassan Ali kerana melanggar disiplin parti.
Semalam, Hassan Ali telah membuat pengumuman akhbar dan menyalahkan penyingkirannya itu adalah didalangi oleh Anwar Ibrahim menyebut dua kali nama Anwar Ibrahim sebagai dalang utama. Dia juga mengaku tidak pernah ikut serta mana-mana perjumpaan yang melibatkan perjuangan Keadilan untuk membela Anwar Ibrahim Malam semalam, Hassan Ali telah membuat pengisytiharan bahawa dia percaya dengan kes Anwar meliwat Saiful.
Memang jelas Hassan Ali menggunakan perkataan ‘membela Islam’ banyak kali setiap kali berdepan dengan kamera TV. Cuma dia kurang arif tentang apa yang disebut sebagai disiplin parti. Sebagai bekas Timbalan Ketua Pengarah Biro Tata Negara, nampaknya Hassan Ali terlalu dibuai mimpi dengan segala janji muluk UMNO dan BN.
Yang Paling Nyata
Yang paling nyata, kes mahkamah Anwar Ibrahim-Saiful sudah menjadi satu senjata berkuasa tinggi yang cuba digunakan oleh BN dan UMNO untuk mengumpan para pengundi memihak kepada mereka.
Ini diperkuatkan oleh pelbagai subsidi dan imbuhan yang dihamburkan oleh Najib Tun Razak atas nama meringankan beban hidup rakyat marhaen. Soalnya sekarang, apakah itu ubat paling mujarab untuk meringankan beban hidup rakyat? Bayangkan pada bulan November 2011 satu tin susu pekat yang paling murah di kedai ‘supermarket’ adalah berharga RM1.90 sen. Tetapi sekarang harga susu pekat yang paling murah ialah RM2.49 sen.
Najib Mungkin Sudah Lama Tahu
Saya percaya Najib Tun Razak mungkin sudah lama tahu keputusan mahkamah yang mahu diisytiharkan dalam kes liwat Anwar-Saiful. Kalau kita renungkan semula keputusan mahkamah selama ini, tentu ada fakta lain terutamanya fakta luaran yang menyebabkan Najib akur dengan keputusan hakim. Apakah fakta itu. Adakah ia membabitkan perkara lain yang lebih besar?
Contoh terbaik dalam hal ini ialah beberapa kes dalam fail ICJ (International Court of Justice), yakni Mahkamah Antarabangsa Dunia yang berpusat di The Hague, Netherlands. Khabarnya mahkamah ini mahu membicarakan beberapa pemimpin tertinggi BN melibatkan penyelewengan wang dan emas bungkal yang dilarikan daripada Malaysia satu ketika dahulu.
Saya juga difahamkan bahawa pembebasan Anwar Ibrahim daripada penjara dahulu adalah atas desakan Bank Dunia yang mempunyai banyak bukti bagaimana harta rakyat marhaen di Negara ini telah dilarikan keluar Negara oleh satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri, dengan persetujuan seorang Ketua Hakim Negara, yang sudah lama bersara.
Mengikut sumber yang amat dipercayai ada seramai tiga belas orang tokoh dalam BN yang mahu didakwa oleh ICJ kerana penyelewengan wang marhaen Malaysia. Kesemua mereka masih hidup. Anwar Ibrahim amat mengenali mereka semua. Inilah punca sebenar kenapa Anwar Ibrahim mesti disumbat dalam penjara.
Saya rasa sudah sampai masanya Anwar Ibrahim berkata benar dan menceritakan kisah bagaimana sepuluh kontena emas daripada perbendaharaan cuba diseludup untuk dilarikan keluar Negara. Mujur hanya enam kontena dapat lolos dan enam kontena lagi dapat disekat dan dipulangkan kepada Bank Negara. Anwar harus bersuara lantang dalam hal ini kerana masih ada beberapa pegawai tinggi Bank Negara yang hidup walaupun sudah lama bersara daripada jawatan mereka, yang tahu akan cerita ini.
Anwar Ibrahim juga harus bersuara dengan kisah bagaimana seorang isteri Perdana Menteri dapat mengumpulkan lima billion dollar di luar Negara sehingga dapat dikesan oleh Bank Dunia dan dipulangkan semula ke Negara ini.
Mungkin selepas kes liwat ini Anwar Ibrahim harus bersuara lantang menceritakan kisah bagaimana seorang Menteri Kewangan boleh menyimpan wang baru bernilai RM320 juta di rumahnya (disimpan dalam sebuah kolam takungan ‘septic tank’ khas) tetapi dapat dikesan oleh penyiasat Bank Dunia. Wang baru itu tidak didaftarkan tetapi dicetak dengan tujuan untuk menukarkannya dengan wang yang sudah didaftarkan. Mujur si malaun itu tidak sempat menyambung tugasnya sebagai Menteri Kewangan Negara.
Kesian Najib
Keputusan Mahkamah menyulitkan lagi tugas Najib sebagai Perdana Menteri yang mahu menang lagi dalam PRU-13 ini. Kemenangan itu adalah amt penting kepada banyak pihak. Terutama sekali ialah kepada Tun Mahathir Mohamad yang selama ini menjadi dalang pemerintahan Malaysia selepas dia bersara. Dia tahu selagi UMNO memerintah kebobrokan pemerintahannya tidak akan terdedah.
Selagi UMNO dan BN berkuasa maklumat bebas akan tetap terkongkong. Rakyat tidak akan tahu banyak perkara yang sepatutnya mereka tahu.
Kerana maklumat yang terhad inilah makanya orang Melayu akan terus tertipu tanpa menyedari bahawa ekonomi Melayu adalah yang tercorot di antara Melayu, Cina dan India. Orang Melayu akan terus dibuai mimpi bahawa ketuanan Melayu itulah satu-satunya senjata yang akan menyelamatkan orang Melayu akhirnya.
Manusia boleh merancang, Allah juga perancang yang terunggul, Selama kes liwat Anwar berlegar di mahkamah, orang Melayu telah menjadi berpuak-puak atas nama ideologi dan martabat.
Pada 1998, seorang blogger veteran yang menggunakan nama pena ‘Marhaintua’ telah menulis: “Saat kepupusan UMNO dan BN akan menjadi ketara apabila Melayu luar bandar terutamanya di rancangan tanah keluar berdemonstrasi dan tindakan itu disokong pula secara lantang oleh pelajar-pelajar universiti.”
Inilah klimaks kepada satu kesedaran betapa orang Melayu sudah lama tertipu.