Khamis, 11 April 2013

Kisah Anwar Dibelasah Rahim Noor...Semua Gara2 Nak Pertahan korupsi


Pada malam ini, polis telah menangkap Anwar melalui serbuan UTK ke rumahnya di Bukit Damansara. Anwar membantah keras cara serbuan ini dilakukan. Pasukan UTK yang lengkap berpakaian baraclava dan bersenjata automatik. Mereka masuk dengan memecahkan pintu hadapan rumah. Bagaimanapun Anwar tidak menghalang pihak polis daripada menangkap beliau.


ACP Koh Hong Sun telah mengetuai pasukan untuk menangkap Anwar. Beliau telah memberitahu Anwar bahawa ia ditahan di bawah Seksyen 377B & D Kanun Keseksaan. Anwar kemudiannya memohon untuk solat dahulu.

Selepas solat, Anwar bersama Wan Azizah & anak-anak dibawa masuk ke dalam sebuah van polis. Ketika itu Anwar tidak digari. Selepas bertolak kira-kira 5 minit, van tersebut berhenti dan memindahkan Anwar ke tempat duduk belakang sebuah kereta polis yang mengekori van tadi.

Di dalam kereta polis tersebut, Anwar duduk di tengah. Di sebelah kanannya ialah ACP Koh dan di sebelah kirinya adalah Insp. Nasaruddin Mohd Nasir. Anwar masih belum digari pada masa tu.

Anwar tidak dibenarkan memberikan ucapan selamat tinggal kepada isteri dan anak-anaknya. ACP Koh berkata Anwar akan di bawa ke Bukit Aman dan di sana nanti beliau boleh mengucapkan selamat tinggal.

Ketika di dalam perjalanan, Insp Nasaruddin mohon maaf kepada Anwar kerana mendapat arahan untuk menutup matanya. Dia kemudian meminjam sapu tangan pemandu dan menutup mata Anwar. Anwar membuka cermin mata sebelum matanya ditutup. Anwar sempat berkata perbuatan ini zalim dan melampau. Namun beliau tidak menghalang matanya daripada ditutup.

Sebaik kereta terhenti, Anwar dibawa keluar dan dipimpin masuk ke dalam satu bangunan. Anwar kemudiannya dibawa ke sebuah tempat dan duduk di atas pangkin simen.

Kemudian Anwar digari kedua tangannya dari belakang. Selepas dua anggota polis masuk, gari dan penutup matanya dibuka. Barulah beliau sedar dirinya berada di dalam sebuah lokap.

Anwar kemudian diberitahu dia berada di dalam Lokap No. 6. Seminit dua kemudian, mereka memberitahunya bahawa mendapat arahan untuk menutup mata dan digari semula. Mereka terpaksa melakukannya.

Kemudian Anwar terdengar bunyi langkah kasut dan bunyi suara "berdeham". Beliau cam suara itu ialah suara Tan Sri Rahim Noor. Beliau sudah biasa dan dapat kenali suara itu. Daripada bunyi langkah-langkah kasut itu, Anwar tahu ada dua orang masuk ke dalam lokapnya dan dia bangun berdiri.

Sebaik sahaja berdiri beberapa saat, Anwar merasai satu tumbukan kuat pada bahagian kiri dahinya, di atas mata kiri. Anwar terjatuh ke arah kanan. Tangan kanannya dipaksa tarik untuk berdiri semula. Beberapa tumbukan kencang kemudiannya pada leher, muka dan kepalanya.

Anwar tidak dapat ingat semua tumbukan pada dirinya. Tapi beliau dapat mengenal pasti 7 pukulan kuat. (1) satu tumbukan ke dahi kiri. (2) satu pukulan di bahagian kanan atas kepala. (3) satu pukulan bahagian kiri atas kepala. (4) satu hentakan ala karate di bahagian kiri leher. (5) satu tumbukan pada bahagian atas tangan kanan. (6) satu tamparan kuat pada telinga kiri. (7) satu lagi tamparan kuat pada bahagian kanan muka dekat mulut.

Pukulan-pukulan itu berlaku ketika tangan Anwar digari di belakang.

Sepanjang masa Anwar dibelasah teruk, beliau hanya mampu jerit kesakitan. "Aduh". "Allah". "Jangan pukul saya".

Selepas tu Anwar mendengar seseorang menolak atau menarik si penyerang keluar dari lokap. Masa itu Anwar sudah lemah dan terbaring di atas pangkin.

Tidak lama selepas tu, tiga orang masuk ke dalam lokap Anwar. Dua anggota polis berpakaian seragam dan sorang lagi berpakaian biasa. Tutup kepalanya dan gari dibuka. Tutup kepala yang sudah kotor itulah yang digunakan untuk menyapu darah yang mengalir dari mulut dan hidung Anwar. Seorang lagi menggosok kepala dan mengurut lehernya.

Keadaan beliau sudah tersangat lemah untuk bangun, tidak bermaya dan terpinga-pinga akibat pukulan-pukulan teruk itu. Sejurus itu beliau pengsan dan tidak sedarkan diri sehingga lewat tengahari 21/9/1998.

Turkey dan PRU 13 Malaysia

Mengikuti perkembangan politik di Republik Turkey dan Malaysia adalah suatu yang cukup menarik.Turkey dan Malaysia adalah di antara negara contoh bagi negara Muslim terutamanya selepas Arab Spring yang berlaku di tanah Arab. 


Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan telah membuktikan kejayaan mereka di dalam dan luar negara. Kurangnya gejala rasuah, sistem pengurusan yang semakin baik, kurangnya konflik dalaman dan ekonomi yang semakin kukuh. 

Dari tahun 2002,ekonomi Turkey telah meningkat dari tangga 26 kepada tangga 16 dunia sekarang. Malah di dalam misi 2023,Turkey telah meletakkan target untuk menjadi diantara 10 kuasa ekonomi terkuat dunia.

Polisi Luar Turkey

(Kanan, Menteri Luar Turkey, Ahmet Davutoglu bersama Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan)

Setelah beberapa kali percubaan Turkey untuk menyertai  Kesatuan Eropah (EU), kerajaan Turkey telah menukar pandangannya kepada negara-negara selatan (Afrika dan Amerika Latin), dan negara-negara Timur (Asia Tengah, Timur Tengah, Cina dan India). 

Jika sebelum ini, Turkey yang hanya melihat kepada Barat telah mengubah polisinya dengan membuat hubungan yang baik dengan negara-negara Arab,sebagai contoh dengan menambah penerbangan setiap hari ke negara-negara seperti Yaman dan juga Lubnan, menghapuskan visa dengan Republik Syria dan juga telah menandatangani projek keretapi laju Istanbul-Madinah yang akan merentasi Republik Syria dan Jordan.

Antara misi 2023 Turkey adalah misi menghapuskan visa bagi passport Turkey ke seluruh dunia. Sejak tahun 2002, terdapat 46 negara yang tidak diperlukan visa bagi warga Turkey(visa percuma) dan telah meningkat kepada 64 negara pada tahun 2012. Malah angka itu akan ditingkatkan kepada 196 negara yang wujud di dunia sekarang sehinggalah menjelang tahun 2023.

Polisi 'tiada konflik' dengan negara-negara jiran yang diperkenalkan oleh Menteri Luar Turkey, Ahmet Davutoglu juga memberikan kesan yang begitu baik. Setelah berlakunya kebangkitan Arab pada 2010, Turkey adalah di antara negara yang terawal menyokong kebangkitan rakyat samada di Tunisia, Libya, Mesir dan turut tidak ketinggalan Republik Syria.

Pada September 2011, Perdana Menteri Erdogan di dalam siri lawatannya ke negara Tunisia, Mesir dan juga Libya,setelah berlakunya revolusi arab,telah berjaya membawa 200 orang usahawan Turkey untuk mengukuhkan ekonomi di negara-negara ini di dalam pelbagai bidang seperti petrolium, telekomunisasi, pengangkutan, perkhidmatan dan juga pendidikan. 

Di dalam persaingan dengan dunia luar seperti AS, Perancis dan IMF, Republik Turkey telah menjalinkan hubungan yang cukup baik di dalam jangka masa yang panjang.

Perjuangan dalam isu Palestin

Tambahan pula, Turkey turut membuktikan usaha mereka dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Bermula dengan kisah 'one minute' di Davos pada Januari 2009, semasa perdebatan diantara Perdana Menteri Erdogan dengan Presiden Israel Shimon Peres yang berakhir dengan Perdana Menteri Erdogan  bangun dan meninggalkan ruang perdebatan itu. 

PM Erdogan juga dengan lantang sekali mengutuk kekejaman dan pembunuhan yang telah berlaku di Gaza.

Setiap kali berlangsungnya persidangan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Erdogan dan Ahmet Davutoglu berulang kali mendesak untuk diberikan satu kerusi kepada Palestin di dalam PBB.Dan hasilnya,pada Februari 2013,usaha mereka telah berjaya, Palestin telah diberikan pengiktirafan dengan diberikan satu kerusi di dalam PBB.


(Erdogan memalukan PM Israel di Davos)

Selain itu, Turkey turut mendesak Israel untuk menarik embargo (sekatan) terhadap Gaza yang dikepung, sehinggalah Israel akhirnya terpaksa akur dengan menarik balik sekatan ekonomi itu. Dan yang terbaru, pada awal April, Israel juga telah memohon maaf kepada Turkey dalam isu serangan kapal Flotilla Mavi Marmara yang telah mengakibatkan kematian 9 warga Turkey.

Biasiswa kepada pelajar luar

Turkey merupakan diantara negara yang memberikan pendidikan secara percuma kepada seluruh warganegaranya. Malah, setiap tahun, kerajaan Turkey akan menyediakan biasiswa penuh kepada orang luar untuk belajar di Turkey bermula di peringkat sarjana muda sehinggalah PhD. 

Projek biasiswaTurki ini akan menaja lebih 3000 hingga 4000 orang pelajar luar Turkey setiap tahun. Misi utama mereka dalam projek ‘pelaburan’ ini adalah untuk mengembangkan bahasa Turkey ke seluruh dunia.

Malah yang terbaru, Perdana Menteri Erdogan telah mengumumkan untuk memberikan perkhidmatan percuma kepada warga asing yang berada di Turkey tidak kira samada pelajar, pekerja ataupun pelancong dengan menganggap mereka ini adalah musafir.

Misi dan projek yang dirancang secara rapi oleh Turkey ini adalah satu misi yang cukup besar untuk satu jangka masa yang panjang. Negara luar sedang melihat apa yang dilakukan oleh Turkey. Turkey merupakan negara contoh bagi negara Arab yang baru mahu membangun dalam acuan demokrasi. Apakah misi ini akan berjaya untuk membentuk satu empayar Othmaniah baru (the new Ottoman) ?

Malaysia pada 5 tahun lepas dan PRU 13

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang dipandang tinggi oleh warga dunia terutamanya dari dunia Islam. Malaysia adalah di antara negara yang pesat membangun dan kaya dengan sumber-sumber asli. 

Pada tahun 1992, Malaysia adalah negara yang terlibat secara langsung di dalam usaha menangani isu Kosovo. Malaysia juga lantang dalam membincangkan isu Palestin.Dalam bidang ekonomi pula, Malaysia juga ke hadapan di dalam memperkenalkan ekonomi Islam.

Namun itu dulu

Menjelang Pilihanraya Umum 13 ini, saya sebagai rakyat marhaen yang memerhati dari jauh perkembangan politik tanah air juga ingin memberikan komentar selama pemerintahan kerajaan 5 tahun yang lepas di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak. Di manakah Malaysia di mata dunia?


(Erdogan dalam pertemuannya dengan Najib)

Bermula dengan isu pembelian kapal selam “scorpene” dan isu pembunuhan Altantuya Sharibuu yang merupakan warga Mongolia sehinggalah melibatkan mahkamah Perancis. Isu fitnah liwat Datuk Sri Anwar Ibrahim yang berakhir di mahkamah menunjukkan ia adalah fitnah. 

Malahan yang terbaru, isu kekayaan negeri Sarawak yang telah diboloti oleh satu keluarga yang dibongkarkan oleh satu badan berkecuali dari luar negara, Global Witness. Isu-isu seperti ini telah memberikan pandangan buruk kepada warga dunia yang mengenali Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang pesat membangun.

Malaysia turut mempunyai hubungan yang kurang baik dengan negara-negara jiran seperti Filipina dengan isu yang terbaru,iaitu pencerobohan pengganas di Lahad Datu yang tidak ditangani dengan bijak selain daripada isu-isu dengan kerajaan Singapura dan Indonesia. 

Kalau kita melihat  dengan lebih jauh, Malaysia kelihatan lemah dan lembap di dalam beberapa isu kemanusiaan seperti isu pembunuhan umat Islam Rohingya di Arakan, malahan Malaysia juga masih belum memberikan apa-apa respon terhadap isu Syria.

Selain daripada rakyat Malaysia, warga dunia juga sedang memerhati secara dekat PRU 13 ini dengan mengharapkan satu perubahan yang akan berlaku. Oleh itu, menjelang PRU 13 ini, kami rakyat Malaysia mahu mendengar apakah polisi-polisi luar yang akan di bawa oleh parti-parti yang akan bertanding dan seterusnya akan menerajui Malaysia. 

Dengan polisi-polisi inilah, rakyat Malaysia akan memilih untuk mengundi siapa. Kami tidak mahu taburan wang, politik fitnah menfitnah, dan manifesto murahan. Kami rakyat Malaysia sudah matang dan bijak.

Salam PRU 13 dari Turkey