Sabtu, 4 Disember 2010

Kenaikan 4-dalam-1: NGO, orang ramai kesal

Kenaikan harga barang kawalan seperti minyak, diesel, gas asli cecair (LPG) dan gula kesan daripada rasionalisasi subsidi mendapat bantahn meluas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

hamdan adnan 170805Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Hamdan Adnan menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 adalah tidak wajar kerana minyak merupakan nadi kepada rakyat.

"Kalau gula naik, tidak apalah, tapi kalau harga minyak naik, rakyat di negara ini akan makin terdesak kerana minyak menjana pembangunan negara.

"Rakyat banyak menggunakan bahan tersebut dan pertimbangan mengenai kenaikan harga minyak adalah perlu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerajaan sewajarnya mewujudkan satu mekanisme dalam mengawal harga minyak supaya golongan sasaran saja yang menikmati subsidi berkenaan.

Cuepacs: Golongan rendah terjejas

Beliau diminta mengulas mengenai kenaikan harga keempat-empat barangan itu yang diumumkan kerajaan hari ini.

Berkuatkuasa mulai esok, harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 0.05 sen kepada RM1.90 seliter, diesel dari RM1.75 kepada RM1.80 seliter, harga gas asli cecair (LPG) dinaikkan 0.05 sen kepada RM1.90 manakala harga gula dinaikkan sebanyak 0.20 sen menjadikan harga gula adalah RM2.10 untuk sekilo.

Pandangan Hamdan itu turut dikongsi oleh Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengulangi pendiriannya sebelum ini mengenai kenaikan harga gula dan minyak.

cuepacs omar osman 181007Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihaknya bimbang mengenai kenaikan harga semua barangan berkenaan terhadap golongan berpendapatan rendah.

"Kita bimbang dengan kenaikan ini (harga barangan) akan menjejas golongan berpendapatan rendah terutamanya yang bekerja dengan kerajaan," katanya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula mempersoalkan kewajaran kerajaan menaikkan harga bahan api petrol dan diesel yang dikatakan membabitkan petrol RON 95.

Rakyat marhaen menderita

Harakahdaily melaporkan Salahuddin sebagai berkata RON 95 adalah untuk rakyat yang perlu dikekalkan harganya supaya tidak membebankan rakyat yang menjadi pengguna terbanyak.

NONEKata Salahuddin (kanan), kenaikan itu sangat mengecewakan.

"Sikap PAS, keutamaan mesti pada rakyat, ambil kira rakyat dahulu sebelum yang lain-lain," katanya.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus pula berkata, rakyat marhaen paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna petrol RON95.

Sambil menyifatkan kenaikan mengejut itu sebagai 'gila', beliau mengharapkan rakyat menolak Umno BN yang secara terang terangan tidak mengutamakan rakyat terbanyak.

"BN zalimi rakyat marhaen, tak peduli kesusahan rakyat," katanya.

Gamis: Tarik subsidi kroni, bukan rakyat

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia ( GAMIS ) juga kesal dengan kenaikan harga barangan asas pengguna yang menjadi permintaan harian rakyat iaitu petrol, gas, diesel dan gula.

NONEMenurut, presidennya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan kenaikan ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

“Alasan yang digunakan ialah perlu pelarasan fiskal dalam perbelanjaan negara khususnya dalam mengurangkan perbelanjaan. Persoalnnya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19billion tidak dipotong?

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM 5billion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya. Kenapa kos permulaan penubuhan PEMANDU di bawah JPM berjumlah RM66juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja?” soalnya dalam satu kenyataan.

NONEMenurut Gamis, sepatutnya pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan menarik hak rakyat marhaen.

Katanya, mahasiswa merasakan alasan untuk mengurangkan subsisdi bagi bahan keperluan asas rakyat ini sangat tidak masuk akal.

“Dimana slogan rakyat didahulukan yang dilaungkan sebelum daripada ini sekiranya perkara keperluan asas rakyat juga boleh diperdagangkan.

Katanya, soal yang lebih besar bila harga petrol dan diesel naik akan menyebabkan harga barangan lain akan naik secara lansungnya.

Alasan bodoh

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan akhbar berkata kenaikan petrol sudah pastinya menjejaskan kehidupan rakyat.

“Apabila gula dinaikkan, petrol dinaikkan, maka apakah tidak ada sebab bagi peniaga menaikkan harga barang perniagaan mereka. Hampir semua kenderaan menggunakan minyak petrol dan diesel, dan hampir semua makanan perlukan gula. Apakah ada alasan bodoh pemimpin negara yang bercakap kerana mahukan rakyat sihat dari penyakit diabetes maka kerajaan perlu menaikkan harga gula.

mamak restaurant 271206 food“Mungkin juga ada kenyataan pemimpin negara yang mahukan keselamatan rakyat di jalan raya, maka harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan. Adakah pemimpin mahukan rakyat berbasikal ke tempat kerja, atau menggunakan perkhidmatan awam bagi mengurangkan kos mereka, sedangkan mereka selesa menaiki kenderaan rasmi kerajaan ke mana-mana.,” kata naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Menurut beliau lagi, jika dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan hasil bumi termasuk minyak.

“Mengapa kerajaan tidak membandingkan Malaysia dengan negara pengeluar minyak dunia seperti Arab Saudi, Iran, Venezuela, Qatar dan lain-lain? Perlukah Malaysia mengikut harga pasaran minyak antarabangsa?” soalnya.

NONEMohamad Suhaimi (kanan) berkata seolah-olah menaikkan harga minyak petrol dan diesel dan barang keperluan adalah jalan akhir setelah hampir semua langkah telah diambil kerajaan bagi membela rakyat.

“Sedangkan untuk menguntungkan pihak tertentu, kerajaan sanggup dan mampu berbelanja lebih. Menara Wawasan dibina dengan nilai RM 5 bilion, entah belum tentu menguntungkan rakyat jelata. Lebih baik perbelanjaan itu ditampung kepada subsidi minyak. Sebegitu juga dengan projek-projek mega, gergasi dan mewah, itu perlu dikurangkan dahulu buat menampung keperluan rakyat,” katanya.

“Memang betul rakyat tidak terbeban dengan kenaikan ini, kerana rakyat sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Sudah kering air mata dan keringat rakyat bekerja siang dan malam mencari sesuap rezeki menampung kehidupan.”

Anwar: Kenapa subsidi syarikat kroni tak dipotong?

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyelar kerajaan kerana terus menaikkan harga barangan keperluan seperti petrol dan gula tetapi pada masa yang sama enggan mengurangkan subsidi untuk syarikat-syarikat kroni.

pkr congress 271110 anwarKatanya, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP umpamanya terus menikmati subsidi gas yang tinggi manakala rakyat dipaksa menanggung kenaikan harga petrol RON95 untuk kali kedua dalam tempoh enam bulan.

“Walaupun kerajaan sebelum ini berjanji untuk memotong subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat IPP milik kroni, ia tidak di lakukan.

“Anehnya, setiap pemotongan subsidi yang dilakukan oleh kerajaan setakat ini hanya membabitkan barang keperluan asas yang menambah beban kewangan rakyat,” kata Anwar.

Selain petrol, turut dinaikan harga, hari ini adalah gula (20 sen) diesel dan petroleum gas cecair, masing-masing lima sen.

Anwar berkata amalan Umno-BN melindungi syarikat-syarikat korporat besar yang diberi lesen IPP amat merugikan rakyat.

Menurut Anwar yang juga ketua umum PKR, tren kenaikan harga petrol jelas menunjukkan bahawa kerajaan berhasrat mengurangkan subsidi setiap enam bulan, sekali gus meningkatkan harga petrol kepada RM2.10 seliter dalam tempoh setahun dari RM1.90 sekarang.

taman wahyu tnb electrical power cables tower 051206 02Beliau kesal kerana kerajaan memotong subisidi untuk rakyat dan bukannya kemudahan yang diberikan kepada syarikat IPP dan sektor-sektor lain.

“Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya harus menjelaskan kenapa ia amat tekun untuk menarik balik subsidi bagi petrol, gula dan LPG yang tentunya memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah, namun syarikat korporat yang kaya-raya dikecualikan dari tindakan sedemikian,” tegas Anwar.

Sebelum ini, Perdana Menteri Najib Razak berkata agensi PEMANDU yang ditubuhkan dirinya sendiri menjangka kerajaan dapat menjimatkan RM1.12 bilion ringgit tahun ini jika subsidi untuk IPP dan sektor lain dikurangkan.

Pada masa sekarang, kerajaan, menerusi Petronas menghulurkan subsidi RM19 bilion kepada IPP dan syarikat berkenaan setiap tahun.

Menurut Anwar, apa yang dikesali ialah kerajaan Umno-BN begitu ghairah menjimat RM126 juta hasil pemotongan subsidi terbaru rakyat tetapi sanggup membayar RM131 juta ringgit kepada perunding-perunding asing.

azlanBayaran lumayan itu dibuat untuk menubuhkan agensi PEMANDU dan sebagai kos operasi setahun agensi berkenaan.

“Apakah kewibawaan yang ada pada kerajaan untuk mengambil RM126 juta dari rakyat miskin untuk membayar perunding asing RM66 juta bagi menubuhkan sebuah unit kerajaan dan sebanyak RM65 juta lagi sebagai kos operasi,” katanya.

Jumaat, 3 Disember 2010

GAJI CEO SYABAS 425 RIBU RINGGIT SEBULAN

AHAD 5 DISEMBER DI MASJID NEGARA



PENSWASTAAN AIR : MENGFARAIDKAN HARTA ORANG RAMAI

Sebelum dasar penswastaan diperkenalkan oleh Mahathir Muhamad bekalan air untuk warga diseluruh negara dikendali dan diuruskan oleh PWD - Public Works Department atau Jabatan Kerja Raya – JKR.

PWD/JKR ini bukan syarikat kroni dan tidak pernah berniat untuk mencari untung. Tidak ada individu atau Pun Seri yang memiliki saham dalam lembaga JKR. Saham JKR dimiliki oleh seluruh warga Malaysia kerana JKR ini adalah harta awam. Jabatan ini bertugas untuk menjaga kebajikan orang ramai. Berkhidmat untuk kebajikan semua warga negara adalah niat dan rukun iman JKR.


Semuanya berubah apabila dasar penswastaan diperkenalkan. Dasar penswastaan adalah dasar kapitalis dimana semua hak milik rakyat yang dibawah jagaan kerajaan di jualkan kepada orang ramai. Sebenarnya penswastaan ini adalah satu projek silap mata dimana harta rakyat disonglap oleh para kroni.


Caranya bagini:


Loji air dan semua yang bersangkutan dengan pembekalan air sebelum penswastaan adalah milik orang ramai. Penswastaan adalah dasar dimana harta milik orang ramai ini diambil alih dan difaraidkan kepada para kroni, cukong dan mereka yang berduit untuk membeli sham.


Cara mengfaraidkan harta orang ramai ini kepada kroni cukup senang – tak perlu silap mata. Loji dan semua yang bersangkutan dengan air yang awalnya milik orang ramai ini diubah suai untuk dijadikan sebuah syarikat. Lalu Menteri Keewangan meletakan nilai terhadap saham air syarikat ini


Kementerian keewangan mengeluarkan pink form. Tertera di pink form inilah jumlah saham yang telah difaraidkan kepada sang kroni. Sang kroni atau kawan atau kenalan Pak Menteri boleh membawa pink form ini ke bank. Bank dengan berbesar hati akan menyediakan pinjaman berlandaskan jumlah saham yang tertera di pink form. Pinjaman dari bank ini untuk membolehkan sang kroni membeli saham yang akan diapongkan.


Sebelum ini Menteri Keewangan akan meletakan harga terhadap saham air disyarikat baru ini. Biasanya akan dinilai dengan harga yang agak rendah. Ini untuk memastikan mereka yang dapat anugerah saham dan pink form akan dapat menjualkan balik dengan harga yang lebih mahal. Saham ini diapongkan – kerana dinilai murah - maka apabila diapongkan ramai pembeli sanggup membeli dengan harga yang mahal.


Maka tuan empunya pink form dan tuan empuya saham akan menjualkan saham dengan harga mahal. Inilah cara dasar penswastaan dimana kaum kerabat , kroni dan elit kawan kawan United Malays National Organisation dapat membuat – bukan mee segera tapi duit segera.


Justeru – para kroni, anak bini, kaum keluarga dan kawan kawan Pak Menteri akan jadi kaya raya melalui dasar penswastaan ini. Kerana mereka semua ini mendapat manafaat maka pastilah mereka akan menyokong dasar ini hingga ke liang lahad.


Tetapi bukankah amat jelas dasar penswastaan – memfaraidkan harta orang ramai - ini adalah kerja merompak disiang hari?


Betul. Ini satu rompakan resmi melalui penswastaan. Ini adalah dasar yang diajukan oleh United Malays National Organisation. Rompakan ini juga menggunakan parlimen untuk menghalalkan cara merembat harta orang ramai. Inilah caranya bagaimana air rakyat Selangor tetiba dimiliki oleh syarikat Syabas.


Kesah rompakan ini diteruskan lagi :

Untuk memastikan harta rompakan ini akan terus membawa keuntungan, United Malays National Organisation telah mengikat perjanjian dengan Syabas ketika menjual harta rakyat ini. Dalam perjanjian jual beli ini Untited Malays National Organisation telah memastikan setiap dua atau tiga tahun harga air wajib dinaikkan.


Kenapa kah ini berlaku? Tidak kah sesiapa nampak akan butir isi perjanjian ini?


Rompakan ini cukup licik – orang yang merompak dan orang yang membuat perjanjian adalah malaon yang sama. Ertinya Pak Menteri yang bertanggung jawab membuat perjanjian adalah juga pemegang saham dalam syarikat yang di swastakan ini. Pelik? Silap mata? Tidak!


Kalau diselidik nama menteri ini pasti tidak akan ditemui. Menteri ini bukan bangang. Pak Menteri akan menggunakan pelbagai cara – lihat bagaimana Khir Toyo menggunakan si pemandu pribadinya untuk menerima geran tanah seluas 200 ekar. Semua boleh diurus. Ini dasar Malaysia boleh !


Perlu diberitahu bahawa surat perjanjian ini tidak pernah diketahui oleh orang ramai. Perjanjian antara Syabas dan kerajaan Selangor telah menjadi rahsia dan jatuh di bawah Akta Rahsia Kerajaan. Ini lah cara si perompak merompak harta orang ramai dan menjaga hasil rompakan mereka.


Hanya apabila kerjaaan Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat barulah diketahui semua isi perjanjian ini. Kerajaan Selangor telah membakul sampahkan Akta Rahsia Kerajaan. Sekarang semua maklumat kerajaan Selangor boleh ditemui tidak ada lagi yang berahsia rahsia.


Rahsia Syabas sudah kantoi !

Hari ini kerajaan Pakatan di Selangor ingin mengambil alih kembali syarikat air Syabas. Ertinya dikembalikan kepada kedudukan asal dimana air dan semua yang bersangkutan dengan air di Selangor bukan milik syarikat atau saham individu tetapi milik kerajaan. Dari syarikat swasta dikembalikan untuk menjadi hak milik orang ramai sekali lagi.


Kenapa kerajaan Pakatan Selangor berbuat demikian?


Semenjak tahun 1997 apabila air di Selangor di swastakan amat jelas ianya telah merugikan orang ramai. Syarikat air Syabas selama 10 tahun ini telah dijadikan lombong emas untuk memperkayakan para kroni dan kaum keluarga. Buktinya amat jelas. Ini bukan fitnah dan tohmah. Bukti ini muncul dari laporan audit tahunan yang diteliti oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.


Tahukah warga Selangor dan warga Malaysia anak semua bangsa : bahawa gaji CEO Syabas, Tan Sri Rozali Ismail ialah 5.1 juta ringgit setahun atau 425,000 ringgit sebulan. Bayangkan kalau 5 juta ringgit ini duit lima sen sudah tenggelam seluruh tasik air di Hulu Langat.


Perlu juga diberitahu dari laporan audit ini , syarikat Syabas ini telah memberikan 72% kontrek bernilai 600 juta ringgit kepada syarikat kroni melalui rundingan sap sap sui. Juga dari laporan yang sama telah diketahui bagaiman 325 juta ringgit ‘tenggelam lesap’ entah kemana.


Melihatkan ini maka kerajaan Selangor sedang bertempur kuat untuk mengambil alih kembali kawalan terhadap syarikat Syabas. Sekarang ini warga Selangor telah mendapat 20 kubik meter air percuma. Air percuma ini diberi ketika Syabas masih lagi syarikat swasta. Bayangkan jika Syabas ini milik orang ramai. Berapa banyak keuntungan yang dapat kita sama sama rasa. Bukan hanya Tan Sri Ghazali sahaja yang dapat minum champagne Dom Perignon – malah seluruh warga Selangor dapat berenang dengan duit yang telah diselamatkan dari dirompak.


Apa yang sedang dilakukan oleh kerjaan Pakatan Rakyat di Selangor ini adalah permulaan untuk mengembalikan hak rakyat. Mengembalikan harta rakyat yang telah difaraidkan oleh Mahathir Muhamad dan konco-konconya. Perjuangan untuk mengembalikan hak rakyat masih jauh lagi. Api, lebuh raya, hospital, klinik – adalah diantara harta rakyat yang telah dirompak melalui dasar penswastaan.


Orang ramai – anak semua bangsa – tidak ada pilihan melainkan menolak dasar penswastaan. Amat jelas dasar ini adalah dasar yang tidak membawa kebajikan untuk orang ramai. Dasar ini hanya imembawa laba, untung, kekayaan dan kebajikan untuk pemilik saham.


Justru marilah kita turun sama berjuang di jalan raya pada 5 Disember ini. Pada hari Ahad yang akan datang ini warga Selangor akan berkumpul di Masjid Negara. Warga Selangor akan bersama Menteri Besar dan pimpinan Pakatan Rakyat untuk berarak menyampaikan memo kepada Yang Dipertuan Agong. Memo menuntut hak air mereka dipulangkan kembali.


Anak semua bangsa mari kita bersetikawan dan bersolidariti dengan warga Selangor yang berjuang untuk mendapatkan hak air mereka Hari ini air Selangor - esok api leterik dan hopital yang perlu kita sama-sama perjuangkan.
( TT )

nota:
tulisan ini telah difaraidkan
untuk kebaikkan orang ramai