Regim yang hampir tumbang sepatutnya melakukan usaha pembaharuan bagi
merebut kembali sokongan rakyat, dengan berusaha sebaik mungkin
menjinakkan hati dan minda pengundi, supaya dapat terus bertakhta.
Malangnya,
apa yang sering berlaku, kebanyakan penguasa yang dibenci massa itu,
selalu bertindak di luar jangka, dengan meneruskan -- malah meningkatkan
lagi -- tahap kejahatan dan kezaliman, sehingga menyebabkan kebencian
dan kemarahan orang ramai bertambah. Mereka seolah-olah gagal membaca
isyarat kejengkelan rakyat yang muncul di mana-mana.
Sekadar
contoh, perhatikan saja bagaimana perilaku bekas Presiden Indonesia di
ambang kejatuhannya, 14 tahun lalu. Di kala rakyat mula memberontak dan
menunjukkan aksi protes secara terbuka, ketika itu jugalah Suharto cuba
memperkukuh kedudukannya dengan melantik suku-sakat dan anak-anaknya ke
jawatan atau posisi strategik, yang menambah-parah amarah rakyat. Dua
bulan sebelum berundur secara paksa, selepas 31 tahun memerintah,
Suharto masih ghairah bertanding untuk penggal ketujuh.
Bagaimana
pula dengan Hosni Mubarak, yang memerintah Mesir sejak 1981 dan dihukum
penjara seumur hidup baru-baru ini? Masakan agensi perisikan yang
berpengaruh besar di zamannya gagal mengesan mood rakyat, hinggakan
menjelang perletakan jawatan pada Februari 2011, Hosni tetap angkuh mahu
mewariskan Mesir buat anak-anaknya, menyebabkan kemarahan rakyat yang
tertindas sejak sekian lama meledak.
Di negara kita, Najib Razak
dan pemimpin-pemimpin Umno-BN kelihatan resah gelisah mencari strategi
terbaik untuk memastikan kekal berkuasa. Jangkaan tarikh PRU13 -- ibu
segala pilihan raya -- terus berubah-ubah, tanda sang penguasa tidak
yakin bahawa rakyat sekali lagi akan memberi mandat, walaupun pelbagai
insentif one-off dicurahkan, selain dana "durian runtuh" ditabur,
misalnya kepada peneroka Felda.
Malah, semasa berkempen di Kulim,
dalam program Jelajah Janji Ditepati, pada 8 Jun lalu, Najib
membayangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk
keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan diberikan buat
pusingan kedua. Ternyata, peruntukan hampir RM3 bilion untuk giliran
pertama baru-baru ini belum cukup untuk membeli sokongan rakyat.
Najib
tidak senang duduk berkejar ke sana sini melaksanakan program yang
diatur buatnya, semata-mata untuk meraih simpati pengundi. Ada segmen
berbeda buat khalayak berlainan, bukan saja dikategorikan oleh perbedaan
kaum dan agama, juga meliputi himpunan khusus buat anak-anak muda,
terutama pemilih yang baru pertama kali mengundi.
Himpunan Jutaan
Belia di Putrajaya hujung Mei lalu, digambarkan Menteri Belia dan
Sukan, Ahmad Shabery Cheek, sebagai mendapat sambutan luar biasa, dengan
2.4 juga pengunjung. Hanya segelintir yang percaya angka tersebut,
namun lebih ramai mengingati program itu dengan kemunculan artis Korea
dalam persembahan sensasi K-Pop, yang turut dihadiri Perdana Menteri dan
isteri di atas pentas. Gambar Najib bersalaman dengan penyanyi
berpakaian seksi itu menjadi bualan ramai.
Kontroversi timbul
bukan saja berpunca daripada bentuk persembahan dan pakaian menjolok
mata tiga kumpulan K-Pop itu, tetapi kos besar membawa mereka datang ke
Malaysia. Ada blogger mendedahkan invois bernilai RM2.4 juta tetapi
Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan jumlah itu dibuat berdasarkan
perkiraan awal dan hasil perbincangan kos akhirnya adalah RM900,000
(masih terlalu tinggi, 'kan?).
Sukar untuk dipastikan apakah kos
yang membazir itu boleh membawa keuntungan politik kepada Umno-BN?
Terujakah generasi muda untuk menyokong BN selepas menghadirinya? Apakah
formula lapuk BN, dengan menyogokkan hiburan tanpa adab itu kepada anak
muda, akan memberi kelebihan kepada mereka, bagi memastikan Putrajaya
tidak terlepas? Saya yakin, jika itulah strateginya, dengan melekakan
generasi muda, target tersebut pasti tersasar.
Sekonyong-konyong,
debat Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin, yang disiarkan secara
langsung Astro Awani, membicarakan isu yang menarik tumpuan anak-anak
muda, berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN). Rata-rata penonton berpendapat hujah dan argumen Pengarah
Strategi KeADILan itu lebih memikat dan bernas. Generasi muda terpelajar
dapat diyakinkan bahawa Malaysia di bawah Pakatan, yang memerangi
rasuah dan ketirisan, mampu menyediakan pendidikan percuma, apabila
khazanah kekayaan negara dilindungi oleh pemerintah yang beramanah.
Dua
tahun lalu, dalam jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pengajian Tinggi,
Khaled Nordin menjelaskan, sehingga April 30 April 2010, seramai 1.5
juta pelajar mendapat pinjaman PTPTN. Tentulah jumlah peminjam sehingga
kini menghampiri 2 juta orang, satu angka yang cukup besar dan dapat
mempengaruhi PRU13. Pengundi seramai itu, dan mempunyai kelayakan
akademik yang tinggi, tidak boleh diremehkan kecenderungan mengundi
mereka.
Seterusnya, Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yasin (juga
mentornya, Dr Mahathir Mohamad) dikejutkan dengan kehadiran lebih
100,000 ahli dan penyokong PAS di Himpunan Hijau ke Putrajaya, di
Stadium Darul Aman, malam 1 Jun lalu. Siapa sangka, dengan persiapan
tidak sampai dua minggu, gelombang lautan hijau mencipta sejarah baru
dan menggegarkan Alor Setar?
Gugup dengan situasi yang semakin
mengasak Umno-BN itu, tanpa diketahui siapa perancang dan penasihatnya,
tiba-tiba, pada Selasa lalu, kita dikejutkan dengan berita pembekuan
pinjaman PTPTN untuk pelajar baru Unisel dan Kuis, dua IPT di bawah
Kerajaan Negeri Selangor.
Tidak syak lagi, ini merupakan amalan
politik dendam kesumat berniat jahat Umno-BN, bukan saja untuk merampas
Selangor tetapi bertujuan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat yang
menjanjikan pendidikan percuma. Umpama kata pepatah, tiada tanduk,
telinga dipulas. Pelajar yang tidak berdosa -- dan 80 peratus daripada
mahasiswa baru Unisel itu adalah Melayu -- menjadi mangsa politik bebal
Umno.
Arahan yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi Khalid Nordin
-- seperti disahkan Pengerusi PTPTN, Ismail Mohamad Said, yang juga Ahli
Parlimen BN Kuala Krau -- yang direstui Muhyiddin dan pastinya disokong
sepenuhnya oleh Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, telah
mendapat reaksi yang cukup mengejutkan Najib: Tentangan dan kecaman
cukup meluas dan merata!
Beberapa pemimpin Umno, misalnya Khairy
dan Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
secara terbuka membantah langkah primitif itu.
Ya ... dalam
suasana genting BN mengharapkan undi anak muda, tiba-tiba Umno
mempamerkan wajah hodoh dan jelik. Tentu pelik dan aneh, 'kan? Reaksi
awal MB Khalid Ibrahim bahawa Unisel akan mencairkan asetnya, hartanah
seluas 500 ekar yang diperolegi hasil penyusunan semula hutang Talam,
makin menambahkan gelabah Umno.
Noh, yang selalunya kelihatan
berang dan garang, terkedu seribu bahasa. Sebelumnya, beliau berkata
pembekuan PTPTN hanya akan ditarik balik jika kerajaan PKR (istilah
ciptaannya) "mengaku salah dan mengiytiharkan tidak mampu memberikan
pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong".
Setiausaha
Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin melihat daripada perspektif
yang menarik: "Nampaknya kedua-dua menteri (Khalid dan Muhyiddin) dari
Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor
yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama
Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang, Pakatan Rakyat akan
pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN.
"Kita
percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan
dalaman dan luaran atau juga Khaled baru sedar bahawa pembekuan ini
seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno. Kita berterima kasih
kepada Khaled yang juga disebut-sebut bakal menggantikan MB Abdul Ghani
Othman ... Selepas ini, Khaled akan dijadikan kambing hitam sebagai
punca kekalahan Umno-BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo."
Mungkin
suasana kelam-kabut, flip-flop dan keliru ini, membayangkan Umno
sengaja menempah maut, sepertimana tindak-tanduk penguasa zalim atau
diktator tua di penghujung pemerintahan mereka, misalnya kes Hosni
Mubarak dan Suharto tadi.