Sabtu, 4 Mei 2013

Daim yang ku kenali...



Artikel Terbitan Semula ini, pertama kalinya telah disiarkan kira-kira 12 tahun lalu (sekitar tahun 2001) iaitu di era pentadbiran Mahathir.
Artikel ini akan dapat memberikan kefahaman kepada para pembaca mengenai perkembangan semasa dan menjawab persoalan mengapa Mahathir dan Daim tidak dapat duduk diam ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan menjelang dalam tenpoh sehari dua lagi.
Kedua-dua bekas pemimpin kanan Umno / BN ini memiliki beban yang amat besar yang sedang masing-masing pikul. Sekiranya kuasa pentadbiran kerajaan Persekutuan berpindah tangan (in sya Allah) kepada kerajaan Pakatan Rakyat, harta dan kekayaan yang telah dirembat secara haram oleh kedua-dua Qarun Moden dan semua proksi mereka akan dikorek semula dan dikembalikan kepada khazanah milik Rakyat.  M@RHAEN
Daim Yang Kukenali
Daim Zainuddin adalah orang yang bertanggungjawab terhadap polisi ekonomi dalam kerajaan Mahathir iaitu: jualan borong pengswastaan kerajaan Malaysia, "siapa cepat dia dapat".

Sesungguhnya kelihatan seperti setiap pengendalian dan perkhidmatan kerajaan adalah untuk dijual dan dalam kes-kes tertentu diberi percuma kepada mereka-mereka dari kalangan rakan-rakan Daim dan Mahathir.

Loteri yang dipunyai dan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan, contohnya, diberikan kepada Vincent Tan Chee Yioun, berasaskan tidak lebih dari 1 1/2 muka surat jaminan untuk mengendalikannya secara lebih cekap dan menjanakan hasil cukai yang lebih untuk negara dan ini bukanlah ‘pemberian’ yang terakhir yang bakal dimiliki oleh Tan.

Kenaikan pangkat Daim yang cepat seiringan dengan bertambahnya tekanan politik yang dihadapi oleh Dr. M dalam partinya, dan juga pada masa yang sama bertambah gawatnya keadaan ekonomi di Malaysia. Pentadbiran pimpinan Mahathir menghadapi kemungkinan akan hancur.

Kemungkinan ini akan menjadi nyata sekiranya Dr. M tidak bertindak tegas, tindakan yang selalu diambilnya apabila berdepan dengan keadaan yang mendesak.

Pada Daim, Dr. M telah menemui seorang rakan yang boleh dipercayai. Waktu ini adalah sekitar pertengahan hingga akhir tahun 80-an. Daim mungkin bukanlah orang yang paling sempurna untuk tugas itu, tapi dia melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan dan dia adalah seorang yang paling setia dalam keadaan apa sekali pun. Pun begitu, Daim tiada banyak pilihan. Dr. M adalah satu-satunya penaungnya ketika itu.

Daim diberi kebebasan untuk menyelesaikan masalah ekonomi Malaysia pada tahun 1985-86, sementara Dr. M menangani musuh-musuhnya dalam UMNO. Dia juga mempunyai kepentingan peribadi di dalam memastikan Malaysia pulih dengan cepat daripada resesi (kemelesetan) tahun 1985-86 itu. Nasib Dr. M sendiri bergantung kepadanya dan juga nasib UMNO di mana aset-aset korporatnya mengalami kerugian yang teruk.

Daim Bergantung Kepada Cara-cara Lama Di Dalam Menangani Resesi (Kemelesetan) Yang Lalu


Jika ditinjau kembali, pelan pemulihan ekonomi yang digariskan oleh Daim dan disokong sepenuhnya oleh Dr. M adalah berasaskan kepada prinsip ekonomi yang standard dan ortodoks.

Pada dasarnya merupakan langkah-langkah memotong perbelanjaan kerajaan, mengecutkan hutang luar negara, dan membuka halangan-halangan perdagangan. Ianya telah didrafkan oleh teknokrat dalam kementerian Daim dan merupakan pendekatan yang biasa kepada musibah yang melanda negara ketika itu. Akan tetapi untuk memahami bagaimana berbezanya kegawatan sekarang ini ditangani, kita dengarkan respons Daim tentang resesi yang terdahulu :

"Benar, cara yang cepat untuk memulihkan ekonomi boleh dilakukan. Kita cuma perlu pinjam lebih banyak duit, dan mengadakan pertumbuhan yang tidak menggambarkan keadaan ekonomi yang sebenarnya di Malaysia. Walaupun begitu satu penyelesaian yang lebih bertanggungjawab mestilah mengandungi langkah-langkah jangka panjang dan juga jangka pendek. Ianya mengambil masa untuk menarik minat pelabur-pelabur untuk membina kilang-kilang di sini."

(Sudah tentu ada benteng-benteng yang melindungi projek-projek kesayangan Mahathir pada resesi 80an seperti Program Kereta Nasional supaya ianya tidak mengalami apa-apa kesan. Daim, seterusnya memerah wang dari bank-bank di Malaysia dan KWSP untuk melabur dalam beberapa kaunter di KLSE yang mana ada antaranya mempunyai kepentingan untuk dirinya sendiri.)

Formula yang sama juga telah digunakan oleh pengganti Daim, Anwar Ibrahim dalam menangani kegawatan hari ini. Tetapi kali ini, Dr. M telah memecat Menteri Kewangan dan penggantinya itu, menangkap dan menuduhnya dengan berbagai-bagai kesalahan dan kemudian mengarah polis memukulnya. Penyelesaian ekonomi yang ortodoks – yang sekarang ini menampakkan hasil (tanpa kawalan matawang yang kompleks dan menakutkan itu) bagi Thailand, Korea Selatan dan lain-lain negara serantau - telah menjadi satu strategi subversif asing bagi Anwar Ibrahim. Sama-sama fikirkanlah….

Era 90-an


Seperti yang dijangka ekonomi Malaysia melonjak kembali pada lewat 80an dan pada tahun1990 mula menampakkan rekod pertumbuhan yang menakjubkan. Daim dan perniagaan-perniagaan UMNO telah pulih. Kejayaan ini banyak bergantung kepada program pengswastaan di Malaysia. Dia dan kroninya telah mengumpul sebahagian besar manfaat dari program tersebut, termasuklah projek penswastaan terbesar iaitu Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang merentangi sepanjang semenanjung Malaysia.

Tuduhan-tuduhan yang berasas tentang kronisme dan rasuah – secara halusnya disebut politik wang di Malaysia – membayangi Daim berterusan dari dekad pertama pentadbiran Mahathir sehinggalah kepada tahun 90an. Tetapi kejutan dan kemarahan yang dirasai oleh penduduk Malaysia yang rata-rata mewah itu kemudiannya mula hilang. Mereka mula menerima gejala akibat dari permainan politik dan ekonomi ini sebagai satu hakikat dalam kehidupan.

Dalam keadaan apa sekali pun, hanya sedikit yang dapat dilakukan oleh beberapa orang yang masih melaung-laungkan tentang keadilan. Sistem Kehakiman yang pada suatu ketika dahulu adalah bebas telah dilemahkan pada tahun 80-an dan kemudiannya diterima pakai oleh Dr. M.

Tuduhan-tuduhan rasuah dan aktiviti jenayah, terutamanya terhadap mereka-mereka yang ada kaitan dengan Mahathir dan Daim, tidak pernah diadili secara adil oleh mahkamah-mahkamah atau melalui penyiasatan terperinci oleh polis, yang mana semua ini di kawalselia oleh Dr. M dan Kementerian Dalam Negerinya.

Pada tahun 1991, Daim bersungguh-sungguh hendak meninggalkan perkhidmatan kerajaan dan menumpukan sepenuh masa terhadap dunia perniagaannya yang penuh dengan rahsia itu. Jawatannya di Kementerian Kewangan hanya melembabkan pergerakannya.

Dia tidak mahu ketinggalan dalam mengejar nikmat kemewahan ekonomi yang sedang meletup dan perebutan dalam pasaran saham yang secara pasti memihak kepadanya, terutamanya apabila waktu itu kesemua rakan perniagaannya berada di sektor-sektor penting ekonomi.

Perniagaan keluarga yang dahulunya menghadapi masalah kewangan telah mula stabil semula. Dan yang lebih menekan lagi, dia mempunyai beberapa isteri dan bekas isteri, juga teman-teman wanita yang mana gaya hidup mewah mereka perlu disara kerana mereka semua telah terbiasa dengan keadaan sebegitu.

Tetapi sebelum meletak jawatan, Daim memastikan yang penggantinya tidak akan mengganggu-gugat kedudukannya dengan membongkar kesemua jaringan yang telah dibuatnya. Adalah pasti, dia tidak menginginkan seorang pengganti yang akan menaja kepada kader-kader yang akan bersaing dengan jaringan ahli politik dan ahli perniagaan yang telah dimilikinya.
Daim Memilih Anwar dan Meyakini Anwar Tidak Akan Menggugat Kedudukannya

Daim memilih Anwar atas sebab penggantinya ini, mempunyai sedikit latarbelakang perniagaan dan tidak menunjukkan minat untuk mengembangkannya. Lebih-lebih lagi, Anwar adalah penyokong kuat Dr. M, terhutang budi kepada Perdana Menteri di atas kerjaya politiknya dan juga kenaikannya dengan cepat dalam barisan UMNO.

Daim juga yakin Mahathir tidak akan membangkang pilihannya itu. Tetapi untuk betul-betul yakin, Daim mengekalkan kedudukannya sebagai Bendahari UMNO. Pertukaran itu telah berjalan lancar, memastikan gelaran media terhadapnya kekal iaitu, "Penyelamat Ekonomi Malaysia" dan lebih pentingnya, kuasa di belakang tabirnya tidak terjejas.

Tetapi setelah masa berlalu, keadaan menjadi lebih jelas kepadanya, Dr. M dan juga kuncu-kuncunya, iaitu Anwar mempunyai pendiriannya sendiri. Lebih membimbangkan Anwar mula bertanya – mula-mula secara tertutup dan kemudiannya secara terbuka – tentang rasuah, kronisme dan nepotisme dan juga tentang nepotisme yang telah berakar umbi dalam jaringan ekonomi di Malaysia.

Sehinggalah kepada permulaan krisis kewangan di Asia, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Daim dan Mahathir untuk menghalang cita-cita Anwar, di samping hakikat yang tidak ada orang lain yang berpotensi sebagai pengganti kepada Mahathir.

Anwar adalah pengganti yang pasti. Beliau adalah ahli UMNO yang paling popular dan kelihatan sebagai pemimpin paling layak. Dan beliau telah berjaya membina hubungan yang teguh dan mesra dengan pemimpin dunia yang berkuasa, sama ada di negara membangun dan juga negara maju. Kesimpulannya, beliau adalah pengganti yang paling layak dan bakal menggantikan Dr. M sebagai Perdana Menteri.

"Kesilapan" Yang Sukar Dibersihkan

Daim tidak memerlukan Dr. M untuk meyakinkannya yang Anwar adalah merupakan ancaman kepada jaringan korporat yang telah ditubuhkannya jika sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri ketika Malaysia dilanda kegawatan ekonomi yang menyerang Asia ketika ini. Anwar telah menggunakan penyelasaian yang sama yang telah dipakai oleh Daim ketika memerangi resesi pada pertengahan 80an dahulu.

Tetapi ada satu perbezaan ketara yang telah digunapakai oleh Anwar : Rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah penyebab utama krisis yang melanda, jadi penyebab-penyebab ini mesti dihapuskan! Sama ada Anwar dapat melakukannya adalah sesuatu yang boleh dipertikaikan. Ancaman yang digambarkan ini sudah cukup untuk membuatkan Daim dan Dr. M bangun menentangnya, seperti mana yang Daim telah secara terbuka menyatakan yang dia akan menghancurkan musuh-musuh penaungnya pada dekad yang telah lalu.

Pada tahun-tahun yang lampau, bangunan besar korporat Daim yang rapuh telah diancam dengan berbagai-bagai pergolakan ekonomi . Tanpa bantuan kerajaan yang berterusan, ianya pasti telah ranap. Adalah nyata, yang perniagaan yang dibina hanya dengan sokongan kerajaan akan musnah apabila bantuan itu telah tiada lagi.

Perniagaan yang sebegini, tidak kira berapa banyak duit yang dihasilkan dan tidak kira berapa banyak urusniaga yang dilakukan, tidak dapat tidak, akan menjadi tidak cekap berbanding dengan perniagaan yang sebenarnya. Ianya mempunyai terlalu banyak kepentingan yang hendak dijaga. Perniagaan sebegini memang tidak layak untuk menjalankan apa-apa perniagaan, satu pengajaran kenapa ahli-ahli politik yang tamak harus dijauhkan daripada mana-mana perniagaan bagi sesebuah negara.

Ini juga menunjukkan kenapa Abdul Daim bin Zainuddin tidak layak menjadi seorang ahli perniagaan dan juga seorang pegawai kerajaan kanan. Namun alangkah bernasib baiknya dia di bawah pentadbiran Dr. M. dan alangkah malangnya ekonomi Malaysia walaupun apabila dia telah tidak lagi berada dalam kerajaan Malaysia.

Sebab Ezam dan teman-teman diISAkan

Sejak Daim mengarahkan Kementerian Kewangan membeli MAS, tekanan yang beliau hadapi cukup hebat, sama ada dari dalam UMNO tambahan lagi dari parti pembangkang. Ezam- ketua pemuda keadilan adalah antara orang yang cukup hebat membangkitkan cerita Daim menolong Tajudin. Tekanan-tekanan begini menyebabkan Daim berbisik kepada Mahathir andai Ezam dan konco-konconya tidak ditangkap maka Mahathir dan kerajaannya akan disalahkan oleh rakyat.

Mahathir tidak punya alasan yang kukuh untuk mendakwa Ezam di mahkamah terbuka, selain dari bimbang Ezam akan mendedahkan segala bukti di mahkamah-yang hanya akan tambah memburukkan kerajaan. Lalu cara mudahnya adalah dengan menangkap di bawah ISA.

Daimlah manusia yang bertanggungjawab ke atas semua ini- bukan sahaja menjual Malaysia- lihat sahaja baru-baru ini warga asing yang mahu membeli hartanah di Malaysia bebas membeli tanpa dikenakan syarat. Ini bermakna bahawa tanah di Malaysia boleh bertukar milik kepada rakyat asing semudah menandatangani beberapa dokumen sahaja. Daim sengaja memohon cuti 2 bulan- dan sengaja menunjukkan kepada dunia yang seolah-olah beliau bergaduh dengan PM. Sebenarnya beliau mahu lari dari tanggungjawab atau disalahkan apabila Ezam dan teman ditahan di bawah ISA.

Daim- Laman Anti ISA suka memberikan ingatan kepada anda. Bahawa kami akan dedahkan segala dokumen penyelewengan anda dan para kroni- yang dengan jelas merompak wang rakyat. Rakyat perlu sedari bahawa Daim telah memunggah wang negara RIBUAN JUTA dan Malaysia ini akan muflis andai kita membiarkan keadaan ini berterusan.

Jumaat, 3 Mei 2013

DSAI: Insan Pilihan Ujian Tuhan (3)


Sejarah membuktikan bahawa DSAI adalah anak emas Mahathir satu ketika dahulu, Beliau diperkenalkan kepada Mahathir oleh Tengku Razaleigh Hamzah setelah Anwar diperkenalkan kepadanya oleh Sanusi Junid. Itu jalan ceritanya.
Tetapi nama Anwar naik melonjak dalam peristiwa Kelaparan di Baling, dan peristiwa itu telah digunakan oleh Mahathir dalam surat layangnya untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman Putra.
Anwar telah meniti heirarki UMNO dan memainkan peranan besar menonjolkan nama Mahathir di arena antarabangsa melalui pengaruhnya dengan pemimpin negara-negara Islam. Harus diingat bahawa itulah salah satu strategi Mahathir mendekati Anwar kerana kemampuan beliau meyakini pemimpin dunia Arab memberikan biaya kepada perjuangannya dalam ABIM. Sekali gus Mahathir menjadi terkenal dengan dunia Selatan-Selatan dan melonjak naik sebagai suara perjuangan negara yang sedang membangun.

Keghairahan Mahathir mendekati pemimpin negara Islam telah membuka ruang kepada beberapa ilmuwan UMNO yang berpendidikan Arab dan Islam. Muncullah, Dr. Yusuf Nor, Hamid Othman, Zainal Abidin, dan ramai lagi. Oleh kerana ruang untuk mereka rapat akrab dengan Mahathir amat sempit dan terhad, maka para ulama UMNO ini telah berlumba-lumba menjuarai diri antara satu sama lain dan ini mereka lakukan melalui pelbagai cadangan dan isu yang membuatkan Mahathir merasakan dia perlu bertindak untuk terus popular.
Maka muncul isu pengharaman Al Arqam sedangkan itulah rangkaian yang banyak berjasa dalam pembukaan industri kecil dan sederhana Melayu. Mahathir akur kepada cadangan untuk mengharamkan Al Arqam setelah melihat dan diberitahu bahawa Al Arqam adalah penyokong kuat PAS. Kononnya, kalau Al Arqam dibiarkan terus hidup, masa depan UMNO akan tergugat.

Pengharaman Al Arqam ternyata satu tindakan yang besar silapnya, kerana kalau berdasarkan akidah yang songsang, masih terdapat lebih 70 buah tarikat Islamiyah yang dikatakan menyimpang daripada ajaran Sunnah wal Jamaah. Malahan pada hari ini kita boleh persoalkan apakah sebenarnya ajaran Islam Hadhari? Bayangkan berapa ratus juta telah dibazirkan untuk mempromosikan Islam Hadhari sedangkan wang sebanyak itu boleh digunakan untuk memperbaiki cara hidup umat Islam di negara ini.

Pergeseran Anwar-Mahathir bergelegak sebaik sahaja Anwar bertanyakan kedudukan wang orang Melayu dalam simpanan UMNO. Adalah dianggarkan pada tahun 1997, terdapat sekurang-kurangnya RM27 Bilion wang simpanan dalam Khazanah Perbendaharaan UMNO.

Semasa TKT Mahathir menjadi Presiden UMNO orang yang mengendalikan wang simpanan dalam UMNO ialah Tun Daim Zainuddin. Hasil pengalaman mereka semasa pembubaran UMNO asal dahulu, Daim telah ‘melarikan’ wang Melayu dalam UMNO ke luar negara untuk dilaburkan kononnya. Hasilnya dia telah membeli beberapa buah bank di Afrika dan memproksikan pengurusan bank itu kepada abang kepada Arif Shah (calon yang bertanding di Permatang Pauh).
Banyak lagi pelaburan yang dibuatnya dan diproksikan kepada beberapa korporat Melayu anak didiknya seperti Dato’ Shamsuddin Hassan di Afrika Selatan, Tajuddin Ramli, dan ramai lagi sekadar menyebut namanya sahaja. Ada juga pelaburan yang dibuatnya dengan mewakili beberapa orang wanita kesayangannya.

Satu ketika dahulu, keakraban Mahathir bersama Daim adalah laksana kuku dengan isinya. Tidak ada yang silap pada Daim walaupun apa yang dibuatnya ialah membalun wang orang Melayu dan menggunakan nama-nama proksi yang dia sahaja mengetahuinya. Adalah mustahil Mahathir tidak tahu menahu jenis pelaburan yang dibuat itu. Malahan besar kemungkinan Mahathir sengaja buat bodoh kerana dia tahu habuan komisen untuknya yang dijanjikan oleh Daim.

Oleh kerana Anwar prihatin dengan harta pusaka orang Melayu tentulah dia mahu tahu apa jadi dengan wang besar yang ada pada UMNO. Untuk mengelak Anwar mendedahkan perkara sebenar kepada persidangan UMNO, dia mesti dihalang dengan apa cara juga.

1997 merupakan tahun celaka kepada Anwar. Kegawatan ekonomi meruncing dan George Soros telah menyerang mata wang setiap negara Asia. Ironisnya kerja-kerja menyerang mata wang ringgit oleh George Soros adalah dengan kerjasama Daim juga.

Oleh kerana ekonomi Malaysia ketika itu banyak bergantung pada pelaburan asing, berlaku sahaja kegawatan, orang asing pun mengambil balik wang pelaburan mereka. Tinggallah Malaysia terkapai-kapai mencari arah. Keadaan menjadi parah apabila Bank Dunia mahukan Malaysia mengikut rentak ajarannya. Sekali lagi Anwar dan Mahathir berbalah tentang cara menyelamatkan kewangan negara.
Negara Asia lain yang turut berhadapan kegawatan ekonomi, telah menerima pakej penyelamatan Bank Dunia. Cuma Malaysia yang degil dengan alasan Mahathir bahawa cadangan pakej itu akan menjahanamkan Malaysia. Yang sebenarnya Mahathir tidak mahu dengar saranan Bank Dunia agar segala bisnes yang dikendalikan oleh anak-anaknya dikecutkan untuk mengurangkan risiko perbankannya,

Pada waktu yang sama hampir semua syarikat perniagaan anak-anak Mahathir sedang tercungap-cungap. Maklumlah, perniagaan yang bukan berasaskan pengetahuan mendalam terhadap sesuatu bidang, tetapi lebih kepada hubungan dan kaitan rapat si pemilik dengan Perdana Menteri. Salah seorang anak lelaki Mahathir telah meminta bantuan Anwar agar diselamatkan syarikatnya dengan memberikan wang Petronas sebanyak dua billion ringgit. Anwar menolak permintaan itu. Bermulalah dendam kesumat Mahathir terhadap Anwar.

Cara Mahathir mahu gunakan wang Petronas untuk menyelamatkan syarikat anak-anak dan kroni amat difahami oleh Pengerusi Petronas ketika itu. Beliau adalah Almarhum Tan Sri Azizan yang telah menghembuskan nafas terakhirnya tidak lama selepas Anwar dipenjarakan. Pada satu hari Almarhum telah mendapatkan DSWA dan menyatakan betapa kesalnya beliau dengan kisah penghinaan yang dialami oleh Anwar Ibrahim. Dia telah meminta DSWA bersabar banyak-banyak. Tidak berapa lama kemudian Tan Sri Azizan menghembuskan nafas terakhirnya.

Dendam kesumat Mahathir tidak ada batasnya. Beliau telah merancang satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar. Beliau telah gunakan semua institusi kerajaan untuk kerja-kerja busuk itu. Dia gunakan media dan akhbar, TV dan radio. Apa sahaja yang boleh direncana untuk mengaibkan Anwar telah digunakannya,

Kes Anwar telah dibela oleh satu panel peguam bukan-Melayu. Kalau ada segelintir peguam Melayu seperti YB Zulkifli Kulim Bandar-Baru, mereka hanya setakat membawa fail dan pencatat peristiwa sahaja. Peguambela telah bekerja keras di mahkamah mematahkan hujah pihak pendakwaraya dan hanya berjaya ke satu tahap sahaja kerana Mahkamah Malaysia sudah dikuasai oleh fenomena ‘correct, correct, correct’ dan ‘Tidak relevan’

Anwar Ibrahim terpenjara juga walaupun Mahathir sendiri telah mengaku segala tuduhan terhadapnya adalah satu konspirasi kerana dia mempunyai kuasa. Mudah sungguh cakap Mahathir . Dia seolah-olah mempersenda kerja-kerja tuduhan liwat dan sodomi serta pelbagai lagi kerja kotor itu sebagai satu lakonan. TKT Mahathir tidak terfikir bahawa apa yang dilakukannya ke atas Anwar adalah satu penghinaan besar kepada orang Melayu dan Malaysia.

Perbuatan Mahathir tidak boleh dimaafkan secara total. InsyaAllah dia akan terus bernyawa. Dia kena merasa balasannya.

Orang barat sendiri hairan bagaimana mungkin kes Anwar boleh laku di muka pengadilan. Mereka juga hairan kenapa orang Melayu secara keseluruhannya sanggup membisu bila melihat Anwar dianiayai sebegitu dahsyat oleh Mahathir.

Saya yakin setiap kejadian ada hikmahnya. Yang jelas Allah telah memilih Anwar sebagai insan pilihan untuk menjalani ujiannya. Ini termasuk nasib beliau dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Khabarnya Paklah telah memberi arahan bahawa Anwar tidak boleh diberikan kemenangan walau apa cara sekali pun. Dia mengugut pihak polis dengan berkata kalau Anwar naik menjadi Perdana Menteri, KPN dan AG beserta pegawai tinggi polis termasuk KP Penang akan dipenjarakannya.

Kenapakah Paklah semakin gelabah? Apakah akan terdedah nanti tipu muslihat penjualan saham Augusta dengan harga 1 Euro oleh kroni beliau yang kemudiannya menjual kepada Syarikat Harley Davidson dengan harga 600 juta ? Ataupun Paklah semakin tertekan dengan kisah ‘Oil For Food Program’ yang dibalunnya sendiri sedangkan projek itu sepatutnya diserahkan kepada Dewan Perniagaan di negara ini?

Retro: Daim... masihkah engkau ingat?



Artikel terbitan semula (circa 2001): Adalah tidak menjadi rahsia lagi bahawa Bendahari UMNO, Menteri Kewangan dan Penasihat Ekonomi Daim Zainuddin telah berpuluh tahun mengumpulkan harta dan mengkayakan diri dan proksi-proksinya dengan menggunakan kedudukan dan hubung-kait politik. Satu semakan pada rekod-rekod ‘am akan mengesahkannya.
Tetapi yang lebih memeranjatkan ialah bagaimana rakus dan tamaknya untuk mengumpulkan harta di mana beliau dan kroni-kroninya telah menyelinap ke seluruh tahap dan bentuk perniagaan di Malaysia.
Sesungut (feelers) Daim sentiasa meresap jauh ke dalam urat saraf ekonomi Malaysia menyedut bahagiannya di dalam banyak syarikat perindustrian dan perniagaan.

Salah satu perindustrian kecil tetapi menguntungkan yang merupakan jendela untuk melihat sejauh mana kepentingan Daim di dalam beraneka perniagaan telah meledak dengan ganasnya pada 7 Mei 1991.  (Tragedi 'Hiroshima Sungai Buloh' 1991)

Pada hari Selasa berkenaan sebuah syarikat membuat bunga api, mercun yang terletak di kawasan perumahan Sungai Buloh telah meletup. Para pembaca tentu masih ingat ledakan yang dahsyat tersebut telah mengorbankan lebih 20 orang kebanyakannya penduduk berhampiran serta mencedera dan mencacatkan berpuluh yang lain.

Bagi sebuah negara yang dikejutkan dengan tragedi industri paling dahsyat, akhbar-akhbar tempatan segera membuat laporan bahawa kilang berkenaan tidak pernah mendapat permit untuk mengilang atau mengeluarkan barangan yang amat berbahaya. Malahan mereka mendapat tahu bahawa syarikat yang sama telah beberapa kali gagal pemeriksaan keselamatan.

Akhbar The Malay Mail dua hari kemudian menambah bahawa ‘campur tangan politik’ telah menghalang penguatkuasa tempatan untuk menutup kilang berkenaan, walaupun terdapat aduan-aduan dari penduduk berhampiran bahawa telah berlaku 4 kali letupan yang membawa maut sebelum letupan pada 7 Mei. Syarikat Bright Sparklers telah beroperasi tanpa gangguan selama 20 tahun. Ianya merupakan malapetaka pada tengah-tengah kawasan perumahan yang menunggu masa untuk berlaku. Mengapa?

Tiba-tiba ketika akhbar dan media tempatan baru hendak mengguris kulit skandal mereka telah di ‘black-out’. Semua akhbar tempatan dan media telah ditegah untuk memaparkan berita mengenai Bright Sparklers lebih lanjut.

Walau bagaimanapun pendedahan oleh media asing telah memaksa pendedahan dalam negara bahawa Daim yang dua kali menjadi Menteri Kewangan ialah pengasas dan pemegang saham syarikat Bright Sparklers. Daim sendiri telah membantu menubuhkan dan mendapatkan lesen perniagaan/mengilang untuk syarikat berkenaan.

Walaupun Daim telah menjualkan bahagian sahamnya di dalam syarikat berkenaan dan telah mengundurkan diri dari lembaga pengarah pada tahun 1977, anak saudara beliau Zahari Abdul Wahab masih mengekalkan sebahagian besar saham syarikat dan menduduki kerusi lembaga pengarah.

Walaupun akhbar dan media tempatan mendiamkan diri, bukan bermakna mereka tidak mengetahui hubungan Daim dengan Bright Sparklers. Wartawan dari Bernama telah pergi ka Pejabat Pendaftar Syarikat untuk meneliti rekod-rekod Bright Sparklers. Merekalah yang mula-mula mengetahui maklumat lanjut mengenai penglibatan Daim dan Zahari.

Malangnya walau banyak mana maklumat yang mereka perolehi, mereka telah diberi arahan oleh ketua-ketua pengarang mereka untuk ‘membunuh’ laporan-laporan mereka. Sememangnya Mahathir tidak akan membenarkan Menteri Kewangan dan rakan karibnya disangkut pautkan dengan kecelakaan yang paling dahsyat.

Keesokan harinya apabila wartawan lain pergi ke pejabat Pendaftar Syarikat mereka dapati fail-fail mengenai Bright Sparklers telah hilang. Jawapan yang diterima dari pegawai-pegawai yang bertugas adalah ‘tidak diketahui’ ‘telah hilang’ atau ‘tidak tahu’.
Walau bagaimanapun segala rahsia buruk itu akan terbongkar juga akhirnya.

Terlalu ramai rakyat yang tidak berdosa telah terkorban, dan kerajaan tidak boleh lagi menutup pekong di dada. Satu salinan asal file dari Pejabat Pendaftar Syarikat telah disampaikan ke pejabat media asing di Kuala Lumpur.

Selepas liputan dari media asing disiarkan, pemimpin pembangkang Lim Kit Siang telah ‘menghentam’ Daim di Parlimen mengenai hubungannya dengan syarikat Bright Sparklers. Dengan bukti-bukti yang sudah tersebar luas, Daim tidak lagi dapat berdalih. Dia mengaku telah menjadi penasihat guaman kepada syarikat berkenaan walaupun ketika itu dia tidak lagi menjalankan kerja-kerja guaman.

Dia mengaku telah ditawarkan saham di dalam syarikat berkenaan yang kemudiannya dipindahkan kepada syarikat keluarganya. Dia juga mengaku telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan modal dari pelabur asing tetapi menegaskan bahawa kepentinganya di syarikat berkenaan adalah terhad kepada pemegang saham yang pasif.

Mungkin, ..tetapi beliau adalah jenis pemegang saham yang kehadirannya di syarikat berkenaan boleh menimbulkan rasa gentar dan hati-hati kepada penguatkuasa undang-undang syarikat yang berhasrat untuk mengambil tindakan ke atas Bright Sparklers yang tidak menghormati undang-undang!

Tambahan, Daim juga disebut telah membantu mendapatkan lesen perniagaan/ pengilang untuk syarikat berkenaan. Kebolehannya untuk melintasi halangan-halangan birokrasilah yang telah memaksa pelabur modal Bright Sparklers datang kepadanya. Sebagai imbuhan dari ‘pertolongan’ yang diberi oleh Daim, maka pelabur berkenaan bersetuju untuk meluluskan permohonan beliau mendapatkan saham di dalam syarikat berkenaan.

Ada berapa banyak lagikah syarikat seperti Bright Sparklers di luar sana? Walaupun Bright Sparklers tidak pernah mendapat semua permit untuk beroperasi secara sah, dengan memberi lesen mengilang/memproses bahan-bahan letupan yang berbahaya seolah-olah telah membebaskan syarikat berkenaan dari diambil tindakan oleh penguasa-penguasa tempatan. Tambahan pula berapa ramaikah para penguasa yang sanggup berhadapan dengan seorang kanan UMNO dan kroni Mahathir?

Malahan panel Suruhanjaya yang dilantik untuk menyiasat malapetaka berkenaan merasa serba salah dengan apa yang mereka jumpa. Hasil siasatan berkenaan tidak pernah diumumkan. Tidak sekali pun penjelasan dibuat kepada rakyat terutamanya keluarga mangsa. Ini membuat orang ramai tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pintu bilik Suruhanjaya Penyiasat.

Tambahan pula semasa peringkat awal operasi Bright Sparklers Daim mempunyai kawan di Kementerian Perdagangan dan Industri, yang mana beliau boleh hubungi jika menghadapi masalah dengan pihak-pihak penguatkuasa. Siapakah kawan ini… kalau bukan Mahathir ?

Kita mungkin tertanya-tanya, berapa kalikah kerja-kerja Daim di Bright Sparklers diulang-tayang di dalam syarikat-syarikat lain ketika orang kerdil ini masih menampal dindingnya dengan jutaan ringgit, sebelum beliau mampu dengan berbilion ringgit. Berapa banyakkah ‘khidmat’ telah dilaksanakan dengan mudah menggunakan mesin pencetak wang Daim bukan susah untuk kita bayangkan.

Tragedi Bright Sparklers menimbulkan satu persoalan kepada kita. Berapa kalikah Daim dan kroni-kroni nya telah memperjudikan nyawa rakyat Malaysia dalam keghairahannya membina kekayaan yang menggila?

Kita hanya mendapat tahu yang satu ini kerana ia ‘meletup’ dalam erti kata sebenar!

Daim Yang Diam



Kebelakangan ini Daim Zainuddin telah bersuara semula, Sekali gus mentohmah Anwar Ibrahim sebagai calon yang tidak tepat untuk dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia lebih suka kalau Najib terus menjadi Perdana Menteri.
“Anwar bukan seorang yang pintar ekonomi” demikian katanya.
Memang Anwar bukan seorang kelulusan ekonomi, tetapi dia berjaya menentukan hutang Malaysia tidak seteruk semasa Daim menjadi Menteri kewangan.
Kini, Daim dan TKT Mahathir merupakan dua Melayu yang terkaya di Malaysia. Cuma tidak disenaraikan. Yang menonjol sebagai Melayu terkaya ialah Syed Bukhari sedangkan hutang Syed Bukhari bertapuk sehingga RM35 billion.

Bayangkan dengan harta Daim di luar negara. Dia memiliki 59 buah bank di Indonesia, 23 bank di Afrika dan 9 bank di Eropah. Bolehkah Syed Bukhari menandingi Daim?

Saya kenal Daim secara ‘accident’ di zaman mudanya dahulu. Ketika itu dia ada projek buat garam di Kuala Selangor. Ketika itu Pegawai Daerah Kuala Selangor adalah seorang kawan lama saya bernama Abu Hassan yang kemudiannya bergelar Tan Sri dan menjadi Menteri Besar Selangor.

Ini projek cara lama di mana air laut dibiarkan masuk petak-petak yang dibenteng dengan tanah. Bila air laut kering dan menjadi garam, barulah garam itu dimasukkan dalam guni untuk dijual. Ketika itu sekilo garam kasar berharga sepuluh sen.

Selepas itu Daim berjaya memikat seorang model Marjerin Planta bernama Mahani yang merupakan (ketika itu) isteri kepada seorang PTD bernama Dato Baharuddin Musa. Daim berjaya memikat hati Mahani kerana Mahani ketika itu berkawan baik dengan Datin Salmah isteri kepada Dato Haron Idris, Menteri Besar Selangor.

Dengan jasa baik Mahani, yang sudah menjadi isterinya, dan Datin Salmah, Dato Harun bagi Daim sekeping tanah yang ketika itu digunakan oleh orang Cina untuk tanam sayur. Tanah itu kini dikenali sebagai Taman Maluri.

Cukup dahulu kisah bagaimana Daim menjadi kaya raya. Tetapi dia menjadi maha kaya apabila dia dengan Mahathir dan dengan persekongkolan Tenku Adnan melesapkan duit simpanan orang Melayu dalam khazanah UMNO.

Harus diingat semasa Anwar Ibrahim melancarkan proses penswastaan firma-firma besar kepunyaan Kerajaan, banyak ‘pink form’ yang dikeluarkan oleh Anwar kepada semua lapisan orang Melayu dan UMNO. Sebahagian peratus tertentu (saham keluaran baru) Anwar masukkan dalam khazanah kewangan UMNO.

Sehingga hari ini dan setiap tahun UMNO bersidang, penyata kewangannya tidak dibentangkan dengan jujur.

Bayangkan seorang tauke garam kasar bertukar menjadi tauke Taman Maluri. Berapa sangat keuntungan Daim?

Jangan lupa kisah Hiroshima Kilang Mercun di Sungai Buluh. Inilah syarikat yang wujud selama 20 tahun tanpa lesen. Bila meletup segala dokumen mengenainya di Pendaftar Syarikat telah lesap. Hanya di Parlimen, bila Lim Kit Siang asak beliau barulah Daim mengaku dialah tuan punya syarikat itu. Sila baca “Retro: Daim... masihkah engkau ingat?

Bila bercerita kisah Daim ini saya masih ingat kisah seorang pegawai Melayu yang masih bekerja di Bank Dunia di Jabatan Flight Capital Recovery Department. Kerja dia amat mudah kerana dia kena pergi merata tempat dan mencungkil segala wang yang dilarikan daripada Malaysia untuk disimpan di bank luar negara.

Setiap kali insan ini pulang ke Malaysia dia datang berjumpa kawan lama dia ini dan menceritakan bagaimana dia dapat mengesan duit simpanan beberapa orang tertentu pada zaman pemerintahan TKT Mahathir.

Yang paling menarik ceritanya ialah kisah bagaimana dia berjaya menyelongkar sebuah rumah seorang VVIP di Malaysia yang mempunyai satu banglo besar di Kuala Lumpur. Di banglo ini tidak ada pekerja Melayu, kecuali seorang pemandu. Pekerja rumah semuanya adalah berbangsa Vietnam, mungkin juga ada seorang dua berbangsa Indonesia.

Berasaskan risikan Bank Dunia, kawan saya telah dapat mengesan bagaimana banglo besar ini mempunyai dua tangki najis (sanitation tank). Satu tangki memang untuk najis, tetapi satu tangki lagi mengandungi lebih 200 juta ringgit Malaysia yang tidak dicatatkan nombor sirinya.

Ini bermakna si malaun yang menyorok duit ini membawanya masuk ke Bank Negara sedikit demi sedikit dan menukarkannya dengan wang yang halal.

Saya tidak mahu sebut nama si VVIP ini kerana mahu lindungi nama pewarisnya. Tetapi, Daim Zainuddin amat kenal orang ini.

Mungkin semua cerita ini akan terdedah kalau PR naik memerintah.

Sementara itu bacakanlah surah Al-Fatihah kepada sekitar 50 nyawa yang terkorban dalam letupan Bright Sparklers itu. Bagaimana pula dengan lebih 100 orang yang cedera termasuk ahli-ahli bomba yang hampir maut dalam letupan itu.

Saya harap apabila PR menang, Lim Kit Siang boleh buka semula kes ini dan minta Daim Zainuddin bayar pampasan dan ganti-rugi kepada pewaris pekerja kilang Bright Sparklers yang terkorban,