Jumaat, 3 Mei 2013

Retro: Daim... masihkah engkau ingat?



Artikel terbitan semula (circa 2001): Adalah tidak menjadi rahsia lagi bahawa Bendahari UMNO, Menteri Kewangan dan Penasihat Ekonomi Daim Zainuddin telah berpuluh tahun mengumpulkan harta dan mengkayakan diri dan proksi-proksinya dengan menggunakan kedudukan dan hubung-kait politik. Satu semakan pada rekod-rekod ‘am akan mengesahkannya.
Tetapi yang lebih memeranjatkan ialah bagaimana rakus dan tamaknya untuk mengumpulkan harta di mana beliau dan kroni-kroninya telah menyelinap ke seluruh tahap dan bentuk perniagaan di Malaysia.
Sesungut (feelers) Daim sentiasa meresap jauh ke dalam urat saraf ekonomi Malaysia menyedut bahagiannya di dalam banyak syarikat perindustrian dan perniagaan.

Salah satu perindustrian kecil tetapi menguntungkan yang merupakan jendela untuk melihat sejauh mana kepentingan Daim di dalam beraneka perniagaan telah meledak dengan ganasnya pada 7 Mei 1991.  (Tragedi 'Hiroshima Sungai Buloh' 1991)

Pada hari Selasa berkenaan sebuah syarikat membuat bunga api, mercun yang terletak di kawasan perumahan Sungai Buloh telah meletup. Para pembaca tentu masih ingat ledakan yang dahsyat tersebut telah mengorbankan lebih 20 orang kebanyakannya penduduk berhampiran serta mencedera dan mencacatkan berpuluh yang lain.

Bagi sebuah negara yang dikejutkan dengan tragedi industri paling dahsyat, akhbar-akhbar tempatan segera membuat laporan bahawa kilang berkenaan tidak pernah mendapat permit untuk mengilang atau mengeluarkan barangan yang amat berbahaya. Malahan mereka mendapat tahu bahawa syarikat yang sama telah beberapa kali gagal pemeriksaan keselamatan.

Akhbar The Malay Mail dua hari kemudian menambah bahawa ‘campur tangan politik’ telah menghalang penguatkuasa tempatan untuk menutup kilang berkenaan, walaupun terdapat aduan-aduan dari penduduk berhampiran bahawa telah berlaku 4 kali letupan yang membawa maut sebelum letupan pada 7 Mei. Syarikat Bright Sparklers telah beroperasi tanpa gangguan selama 20 tahun. Ianya merupakan malapetaka pada tengah-tengah kawasan perumahan yang menunggu masa untuk berlaku. Mengapa?

Tiba-tiba ketika akhbar dan media tempatan baru hendak mengguris kulit skandal mereka telah di ‘black-out’. Semua akhbar tempatan dan media telah ditegah untuk memaparkan berita mengenai Bright Sparklers lebih lanjut.

Walau bagaimanapun pendedahan oleh media asing telah memaksa pendedahan dalam negara bahawa Daim yang dua kali menjadi Menteri Kewangan ialah pengasas dan pemegang saham syarikat Bright Sparklers. Daim sendiri telah membantu menubuhkan dan mendapatkan lesen perniagaan/mengilang untuk syarikat berkenaan.

Walaupun Daim telah menjualkan bahagian sahamnya di dalam syarikat berkenaan dan telah mengundurkan diri dari lembaga pengarah pada tahun 1977, anak saudara beliau Zahari Abdul Wahab masih mengekalkan sebahagian besar saham syarikat dan menduduki kerusi lembaga pengarah.

Walaupun akhbar dan media tempatan mendiamkan diri, bukan bermakna mereka tidak mengetahui hubungan Daim dengan Bright Sparklers. Wartawan dari Bernama telah pergi ka Pejabat Pendaftar Syarikat untuk meneliti rekod-rekod Bright Sparklers. Merekalah yang mula-mula mengetahui maklumat lanjut mengenai penglibatan Daim dan Zahari.

Malangnya walau banyak mana maklumat yang mereka perolehi, mereka telah diberi arahan oleh ketua-ketua pengarang mereka untuk ‘membunuh’ laporan-laporan mereka. Sememangnya Mahathir tidak akan membenarkan Menteri Kewangan dan rakan karibnya disangkut pautkan dengan kecelakaan yang paling dahsyat.

Keesokan harinya apabila wartawan lain pergi ke pejabat Pendaftar Syarikat mereka dapati fail-fail mengenai Bright Sparklers telah hilang. Jawapan yang diterima dari pegawai-pegawai yang bertugas adalah ‘tidak diketahui’ ‘telah hilang’ atau ‘tidak tahu’.
Walau bagaimanapun segala rahsia buruk itu akan terbongkar juga akhirnya.

Terlalu ramai rakyat yang tidak berdosa telah terkorban, dan kerajaan tidak boleh lagi menutup pekong di dada. Satu salinan asal file dari Pejabat Pendaftar Syarikat telah disampaikan ke pejabat media asing di Kuala Lumpur.

Selepas liputan dari media asing disiarkan, pemimpin pembangkang Lim Kit Siang telah ‘menghentam’ Daim di Parlimen mengenai hubungannya dengan syarikat Bright Sparklers. Dengan bukti-bukti yang sudah tersebar luas, Daim tidak lagi dapat berdalih. Dia mengaku telah menjadi penasihat guaman kepada syarikat berkenaan walaupun ketika itu dia tidak lagi menjalankan kerja-kerja guaman.

Dia mengaku telah ditawarkan saham di dalam syarikat berkenaan yang kemudiannya dipindahkan kepada syarikat keluarganya. Dia juga mengaku telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan modal dari pelabur asing tetapi menegaskan bahawa kepentinganya di syarikat berkenaan adalah terhad kepada pemegang saham yang pasif.

Mungkin, ..tetapi beliau adalah jenis pemegang saham yang kehadirannya di syarikat berkenaan boleh menimbulkan rasa gentar dan hati-hati kepada penguatkuasa undang-undang syarikat yang berhasrat untuk mengambil tindakan ke atas Bright Sparklers yang tidak menghormati undang-undang!

Tambahan, Daim juga disebut telah membantu mendapatkan lesen perniagaan/ pengilang untuk syarikat berkenaan. Kebolehannya untuk melintasi halangan-halangan birokrasilah yang telah memaksa pelabur modal Bright Sparklers datang kepadanya. Sebagai imbuhan dari ‘pertolongan’ yang diberi oleh Daim, maka pelabur berkenaan bersetuju untuk meluluskan permohonan beliau mendapatkan saham di dalam syarikat berkenaan.

Ada berapa banyak lagikah syarikat seperti Bright Sparklers di luar sana? Walaupun Bright Sparklers tidak pernah mendapat semua permit untuk beroperasi secara sah, dengan memberi lesen mengilang/memproses bahan-bahan letupan yang berbahaya seolah-olah telah membebaskan syarikat berkenaan dari diambil tindakan oleh penguasa-penguasa tempatan. Tambahan pula berapa ramaikah para penguasa yang sanggup berhadapan dengan seorang kanan UMNO dan kroni Mahathir?

Malahan panel Suruhanjaya yang dilantik untuk menyiasat malapetaka berkenaan merasa serba salah dengan apa yang mereka jumpa. Hasil siasatan berkenaan tidak pernah diumumkan. Tidak sekali pun penjelasan dibuat kepada rakyat terutamanya keluarga mangsa. Ini membuat orang ramai tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pintu bilik Suruhanjaya Penyiasat.

Tambahan pula semasa peringkat awal operasi Bright Sparklers Daim mempunyai kawan di Kementerian Perdagangan dan Industri, yang mana beliau boleh hubungi jika menghadapi masalah dengan pihak-pihak penguatkuasa. Siapakah kawan ini… kalau bukan Mahathir ?

Kita mungkin tertanya-tanya, berapa kalikah kerja-kerja Daim di Bright Sparklers diulang-tayang di dalam syarikat-syarikat lain ketika orang kerdil ini masih menampal dindingnya dengan jutaan ringgit, sebelum beliau mampu dengan berbilion ringgit. Berapa banyakkah ‘khidmat’ telah dilaksanakan dengan mudah menggunakan mesin pencetak wang Daim bukan susah untuk kita bayangkan.

Tragedi Bright Sparklers menimbulkan satu persoalan kepada kita. Berapa kalikah Daim dan kroni-kroni nya telah memperjudikan nyawa rakyat Malaysia dalam keghairahannya membina kekayaan yang menggila?

Kita hanya mendapat tahu yang satu ini kerana ia ‘meletup’ dalam erti kata sebenar!

Tiada ulasan: