Rabu, 1 Ogos 2012

Rakyat dipaksa berhutang demi BN

Manusia sering membuat pertimbangan antara keuntungan dan kerugian lebih daripada membuat penilaian antara benar dan palsu. Ini dapat dilihat apabila menyingkap sejarah mahupun di dalam retorik politik.
Pengumuman Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan cukai eksais, cukai jualan dan cukai import semua kenderaan dapat dinilai daripada perspektif untung-rugi dan benar-palsu yang saya maksudkan tadi.
Jika dihapuskan beban cukai tiga ganda ini, harga kereta nasional akan turun ke sekitar RM30,000, manakala harga kereta seperti Honda dan Toyota turun RM50,000 secara purata. Ini memberi rakyat peluang untuk memiliki kenderaan, yang kini bukan lagi satu barang mewah tetapi satu keperluan asas tatkala sistem pengangkutan awam masih pincang dan jarak antara tempat tinggal dan tempat kerja semakin jauh akibat penempatan yang bertambah luas.

Siapa yang akan untung? Sudah tentu rakyat daripada semua lapisan. Sebanyak 20 peratus daripada RM580 bilion hutang isi rumah sekarang adalah disebabkan pinjaman kereta, mengakibatkan pendapatan boleh guna yang rendah kerana perlu membayar hutang kereta, juga hutang rumah dan hutang kad kredit.

Jika diambil kira hutang PTPTN, beban hutang isi rumah jauh tinggi daripada yang sepatutnya. Tangga gaji yang bukan sahaja rendah malah membeku – ia hanya meningkat 2.3 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan, seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan – hanya menambahkan bukti bahawa rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi berbanding piawaian antarabangsa.

Ini terbukti apabila nisbah harga rumah kepada gaji yang lazimnya lima kali ganda (purata antarabangsa) hampir 15 kali ganda di negara kita.

Penghapusan cukai tiga ganda akan menyebabkan Proton lebih berdaya saing kerana ia mesti bertambah baik dan mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti. Selain menghapuskan cukai tiga ganda ini, sistem AP akan turut dirombak agar kereta reconditioned akan menjadi lebih murah.

Inilah perbezaan Agenda Reformasi Ekonomi Pakatan Rakyat yang berteraskan ‘merakyatkan ekonomi’ dan ‘keadilan ekonomi’ (economic justice) di dalam sebuah negara berkebajikan. Dengan merangka dasar ekonomi tanpa pengherotan yang menjadi teras ekonomi BN, harga barangan dan perkhidmatan akan turun untuk keperluan dan keselesaan rakyat.

Selain cukai tiga ganda ini, Pakatan Rakyat akan menghapuskan hutang PTPTN, menurunkan harga minyak petrol, dan juga harga gula (dengan menghapuskan monopoli ke atas komoditi ini). Harga rumah mampu milik juga akan turun apabila tiada kolusi dan korupsi antara pemerintah, pembangun hartanah dan pembina. Harga perkhidmatan kesihatan akan turun hasil daripada penambahan kapasiti perkhidmatan kesihatan kerajaan yang lebih efisien. Keutamaan juga diberikan kepada pemerkasaan dan integrasi perkhidmatan pengangkutan awam termasuk komuter, LRT, dan MRT.

Amat menyedihkan lagi kadar kemiskinan buat kali pertamanya semenjak 1999 telah meningkat 1.5 peratus. Kita juga kena ingat bahawa angka kadar kemiskinan atau Poverty Line Index rasmi pada RM800 adalah tidak tepat di mana ia sepatutnya RM1,300 juga menutup kebenaran kadar kemiskinan rakyat di negara ini, di mana koefisien Gini setinggi 0.46 (anggaran Bank Dunia) – antara yang tertinggi di Asia.

Usaha PR untuk merakyatkan ekonomi sering dibantah kerajaan Barisan Nasional dengan hujah seperti negara akan muflis nyata tidak benar, kerana apabila ada Reformasi Ekonomi akan berlakunya pengagihan ekonomi yang lebih adil lalu memaksa sektor ekonomi bertambah efisien dan berdaya saing.

Ternyata dengan pengurangan harga barang dan bebanan hutang, rakyat akan menikmati pendapatan boleh guna yang lebih tinggi untuk disimpan, dilabur atau mempelbagaikan perbelanjaan langsung merangsang ekonomi negara dengan lebih mampan serta melimpah kepada lebih banyak syarikat dan bukan kepada segelintir syarikat kroni yang miliki monopoli komoditi. Inilah keuntungan untuk rakyat, yang akan merdeka daripada menjadi tawanan ekonomi kapitalisme kroni dan hamba hutang.

Siapa yang akan rugi? Penganut kapitalisme kroni akan merasakan kerugiannya tatkala tiada lagi penswastaan keuntungan dan liabiliti sektor swasta tidak lagi dinasionalisasikan. Lubang ketirisan ekonomi akibat rasuah, pemerolehan projek terlalu mahal, dan amalan menjarah kekayaan negara akan tertutup. Malah projek seperti LRT Ampang akan diberi secara tender terbuka kepada syarikat yang benar-benar layak.

Insya-ALLAH, tahun depan sekiranya melalui pilihan raya yang bebas dan adil sebuah era baru akan diundi masuk ke Putrajaya, lebih ramai rakyat akan pulang ke kampung halaman dengan memandu kereta baru masing-masing.
- Nurul Izzah Anwar
(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 31 Julai 2012)


PEMOTONGAN CUKAI EKSAIS KERETA: PENGURUSAN PERMIT IMPORT (AP) YANG LEBIH BAIK JANA SUMBER KEWANGAN NEGARA MENGGANTIKAN CUKAI EKSAIS

Kebimbangan yang dimainkan oleh Umno/Barisan Nasional dan sesetengah pihak bahawa penghapusan cukai eksais kereta demi menurunkan harga kereta akan mengurangkan hasil kerajaan dan menjejaskan ekonomi adalah tidak tepat.

KEADILAN telah menjelaskan bahawa jumlah cukai RM8 bilion yang dianggarkan dikenakan ke atas rakyat sekarang ini sebenarnya akan dipulangkan kepada rakyat.

Jumlah ini akan dibelanjakan oleh rakyat di dalam ekonomi negara yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi ini akan meningkatkan hasil kerajaan melalui kutipan cukai pendapatan syarikat dan individu. Kesan berganda kepada ekonomi negara jika jumlah RM8 billion ini dipulangkan kepada rakyat adalah lebih tinggi berbanding jika ia berada di dalam poket kerajaan.

Malah, pengurusan permit import (AP) kereta yang lebih baik juga akan menambahkan lagi pendapatan negara.

Gabungan kedua-dua langkah ini akan memastikan pendapatan negara tidak terjejas secara mendadak hasil dari penghapusan cukai eksais secara berperingkat.

Perlu diingatkan, Umno/Barisan Nasional telah mungkir janji dengan rakyat untuk menghapuskan AP seperti yang diumumkan di dalam Dasar Automotif Negara yang berkuatkuasa bermula 20 Oktober 2005. Janji untuk menghapuskan AP menjelang 31 Disember 2010 tidak ditepati, sebaliknya kini sasaran itu ditangguhkan pula ke 31 Disember 2015.

Sistem AP bukan sahaja menyebabkan harga kereta yang lebih tinggi tetapi hanya menguntungkan sesetengah pihak yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional.

Janji Umno/Barisan Nasional supaya hasil dari AP ini akan digunakan untuk membantu usahawan Bumiputra di dalam sektor automotif juga tidak ditepati. Di dalam ucapan belanjawan 2010, Dato' Seri Najib telah mengumumkan bahawa setiap AP akan dijual pada harga RM10,000 dan hasilnya akan dimasukkan ke dalam satu tabung untuk membantu usahawan Bumiputra.

Bagi tahun 2011, sebanyak 600,123 unit kenderaan didaftar. Dari jumlah itu, 533,515 unit dikeluarkan dan dipasang di Malaysia, bermakna sejumlah 66,608 AP telah dikeluarkan dalam tahun 2011 bagi kenderaan import. Jika benar hasil AP yang bernilai RM10,000 setiap satu ini telah dimasukkan ke dalam satu tabung untuk usahawan Bumiputra, sepatutnya pentadbiran Dato' Seri Najib telah membelanjakan RM666 juta setiap tahun untuk membantu usahawan Bumiputra dalam sektor automotif seperti yang dijanjikan.

Sehingga kini, kita masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai tabung ini atau pun hasil AP yang telah dibelanjakan untuk rakyat.

Sebab itu, KEADILAN mencadangkan supaya kerajaan akan datang kekal dengan komitmen untuk menghapuskan AP menjelang tahun 2015 supaya tidak melanggar peraturan WTO dan AFTA yang telah dipersetujui.

Dalam tempoh 3 tahun di antara 2013 dan 2015, langkah-langkah berikut wajar dilaksanakan bagi mendapatkan nilai terbaik dari AP yang dikeluarkan:

1.      Penjualan AP akan dibuka kepada bidaan umum bermula dengan harga-harga tertentu mengikut kategori kereta dan penggunaan bahan api, demi menggalakkan lebih banyak kereta yang menjimatkan bahan api diperkenalkan;

2.      Harga permulaan bidaan ditetapkan pada RM10,000 bagi kategori jimat bahan api, RM20,000 bagi kategori kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kategori kenderaan berkuasa tinggi yang menggunakan bahan api yang lebih;

3.      KEADILAN percaya harga purata bagi setiap AP yang dikeluarkan boleh mencecah RM40,000 apabila penjualan AP dibuka kepada proses bidaan

4.      Dengan anggaran sebanyak 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa hasil sebanyak RM2.8 bilion setiap tahun kepada kerajaan walaupun harga AP akan ditentukan oleh proses bidaan untuk mendapatkan hasil terbaik kepada negara, penghapusan cukai eksais secara berperingkat bermakna harga kereta secara purata akan tetap turun.

Pendapatan tambahan dari hasil AP yang dirombak dianggarkan akan memastikan perbendaharaan negara kekal mendapat di antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun bagi mengimbangi penurunan kutipan cukai eksais.

Pada masa yang sama, hasil kutipan cukai yang lain juga dijangka akan meningkat apabila perbelanjaan rakyat berikutan suntikan RM8 bilion merancakkan ekonomi negara.

KEADILAN merasakan formula ini adalah lebih baik berbanding pendekatan mencekik darah rakyat melalui cukai eksais berkali ganda yang menyebabkan rakyat terpaksa berhutang untuk membayar cukai kepada kerajaan.

Isnin, 30 Julai 2012

Kurangkan cukai yang membebankan rakyat


1. Kurangkan cukai ke atas rakyat marhaen, jika perlu mansuhkan cukai yang jelas membebankan rakyat menengah ke bawah, sebaliknya perkasakan sistem percukaian ini secara adil dan telus kepada pihak yang layak dan wajar membayar cukai. Sistem zakat ke atas ummat Islam adalah terbaik selaku produk Tuhan yang Maha Mencipta yang juga perlu diperkasakan perlaksanaannya dalam negara kita.

2. Malaysia antara negara yang banyak mengenakan cukai ke atas rakyat dan tinggi pula nilai cukai tersebut berbanding negara - negara jiran seperti Thailand. Antara cukai yang dikenakan seperti :

a] Cukai pendapatan
b] Cukai pintu rumah kediaman
c] Cukai bakul penjaja kecil dan juga
d] Cukai jalan
e] Cukai kenderaan import
f ] Cukai stamp dan pelbagai cukai lain yang dilihat membebankan rakyat.
3. Malaysia sedang menghadapi 2 keadaan yang tidak membangunkan rakyat .

Pertama : Hasil mahsulnya yang banyak, tetapi kekayaan itu masih berlegar dikalangan orang - orang kaya dan elit tertentu. sedang inilah yang dilarang oleh syara'. Firman Allah swt :

مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian)

supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Al Hasyr : 7


Kedua : Ialah ketirisan dana perbelanjaan awam yang banyak merugikan demikian juga pembaziran dengan melakukan projek mega yang tidak membawa impak maksima kepada rakyat.

4. Antara contoh yang boleh saya tunjukkan di sini ialah :

a] Laporan Ketua Audit Negara baru - baru ini menjelaskan ketirisan dalam perbelanjaan dana awam sebanyak RM 28 bilion.

b] Dakwaan Global Financial Integrity [ GFI ] bahawa RM 889 bilion wang haram telah mengalir keluar dalam tempoh 8 tahun [ 2000 - 2008 ]

c] Menurut laporan Majalah International Living tahun 2010 : Kos hidup di Malaysia adalah ke 21 paling tinggi di dunia.

5. Kos hidup meningkat antaranya kerana :

a] kenaikan harga barang keperluan termasuk harga rumah dan tanah. sedang pendapatan masih perlahan ditambah pula terpaksa membayar pelbagai kadar cukai.

b] Statistik Bank Negara Malaysia pada akhir Nov 2010 menjelaskan mengenai :

Hutang Isi Rumah rakyat Malaysia : RM 577 bilion

Ia bersamaan 74 % dari Keluaran Dalam Negara Kasar [ KDNK ] sekaligus ia menampakkan keupayaan berbelanja rakyat sangat rendah.

6. Realiti ini tentunya menekan rakyat terutama generasi muda. Saya tertarik dengan hasil kajian Pemuda BN sendiri [ melalui Makmal Pemuda BN ] menampakkan trend serupa mengenai suara anak muda :

40 % : anak muda bimbang masa depan negara
48 % : Kualiti hidup mereka di Malaysia tidak terjamin
39 % : hidup di Malaysia sukar & hanya cukup keperluan
9 % : sangat sukar & tdak cukup keperluan.

81 % anak muda pernah habis wang sebelum dapat gaji berikutnya.

10 % anak mudankerap mengalami situasi tersebut iaitu habis wang sebelum dapat gaji bulan berikut.

7. Malaysia bukan negara gersang tanpa hasil mahsul. Malaysia memiliki bijih, minyak, gas, emas, getah, sawit, balak, padi, ikan dan sebagainya. Gamat pun banyak . Semuanya adalah amanah Allah swt dan selayaknya diurus oleh kerajaan yang TELUS dan AMANAH.

8. Kekayaan negara yang berlonggok dikalangan tertentu, bukan sahaja melebarkan jurang kaya miskin, tetapi sering menjadikan mereka angkuh dengan kekayaan dan kuasa yang mereka miliki. Persis rakaman kisah yang disebut oleh Allah dalam al Quran :

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ

Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).


وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ

Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

Surah al Qasas : 76 - 78

9. Mengurangkan kadar dan jumlah cukai yang dikenakan keatas rakyat akan banyak membantu rakyat membina kehidupan yang lebih baik dan selesa. Sekaligus  berpotensi menjana kitaran ekonomi yang sihat melalui tahap upaya rakyat berbelanja.

10. Negara dan pemimpinnya juga mesti yakin pada berkat dan rahmat Allah swt tuhan yang memberikan rezeki. Pastikan negara bertaqwa dan tidak derhaka kepada Allah swt dengan  tidak melakukan mungkar samaada dalam sosial, politik mahupun ekonomi, nescaya negara akan diberkati dan dirahmati Allah swt. Pastinya rezeki atau pendapatan negara akan bertambah tanpa perlu bergantung dengan pelbagai cukai  yang disedut daripada rakyat.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah Al A'araf : 96