KUCHING, 15 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri kempen pilihan raya malam-malam terakhir dengan meminta sokongan dan simpati pengundi apabila membangkitkan kekejaman kerajaan BN semasa beliau dipenjarakan.
Anwar dipecat pada September 1998 dan kemudian dipenjara berhubung tuduhan salah guna kuasa dan liwat.
Ketika menyampaikan ceramah yang dihadiri ribuan orang di BDC di sini malam tadi, bekas timbalan perdana menteri itu menceritakan detik-detik dipecat dan pengalaman dipenjara selama enam tahun.
“Saya dah melalui macam-macam dalam hidup saya — yang terbaik dan yang terburuk.
“Saya dah rasa masakan terbaik dengan semua Sultan. Saya juga pernah rasa makanan yang tidak sedap dalam penjara.
“Saya pernah memakai pakaian yang penuh dengan anugerah sehingga badan saya berat; pakaian yang paling mahal. Tapi saya juga pernah tidak berpakaian, tidak ada satu helai pun.
“Saya pernah berada dalam keadaan sihat dan saya juga pernah dipukul sehinga hampir mati.
“Pada masa itu dalam fikiran saya, saya rasakan saya akan dibiarkan dan mati,” katanya meminta simpati orang ramai menjelang hari penentuan pilihan raya negeri ke-10 esok.
Dengan pengalaman itu, Anwar berkata, beliau tetap mahu bangkit menentang penindasan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Adakah ia satu perkara buruk? Ya, tapi bagi saya, saya menjadi individu lebih baik. Saya menjadi lebih kuat untuk bantu rakyat, lebih komited untuk mempertahankan keadilan dan semua hak rakyat baik Melayu, Cina, Iban, Bidayuh — mari kita bekerjasama sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Ucapan Anwar itu memberikan impak kepada penonton apabila masing-masing memberikan respons sungguh menggalakkan.
“Saya merayu kepada anda. Saya tidak main-main.
“Hari ini saya kata Malaysia ada masa depan yang baik. Tapi Sarawak perlu memulakannya. Jika anda boleh kita akan mencipta sejarah pada 16 April (esok),” katanya dengan merujuk kepada pilihan raya negeri esok.
Orang ramai turut mendapatkan tandatangan Anwar, bekas timbalan perdana menteri.
Menyifatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai “orang gila”, Anwar berkata, terlalu banyak insiden kecil yang berlaku dalam kerajaan termasuk tuduhan rasuah, kematian pembantu politik Teoh Beng Hock dan terbaru skandal video seks.
“Saya pernah diserang dari depan dan belakang. Sebab itu saya kata ia perbuatan orang gila.
“Apa kerja Najib? Seks, seks, seks. Beliau tengok saya dan teringat tentang seks.
“Dan kemudian beliau gunakan (bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul) Rahim Thamby Chik. Tiada orang di Malaysia yang layak untuk bercakap soal seks daripada Rahim,” katanya.
Anwar berkata demikian dengan merujuk kepada pengakuan Rahim yang terlibat dengan pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan pemimpin kanan Pakatan Rakyat dan pelacur asing.
Ahli politik veteran itu juga mengingatkan orang ramai agar menolak sebarang urusan dengan jabatan kerajaan kerana mereka dengan “tidak sengaja” boleh jatuh.
Anwar merujuk kepada insiden yang menimpa Teoh pada 2009 dan terbaru kematian seorang penolong pengarah kastam yang meninggal dunia di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu.
“Selepas ini, sebarang temu bual yang anda perlu hadir atau membuat permohonan di pejabat kerajaan, jangan pergi ke tingkat atas.
“Jangan jadi bodoh. Jika saya mereka panggil untuk hadir mesyuarat atau beri keterangan kepada polis saya akan beritahu - tuan, tingkat satu atau tingkat bawah,” katanya.
Sambil berseloroh, Anwar berkata, tingkat bawah juga tidak selamat kerana beliau pernah dipukul pada 1998 dalam insiden “mata lebam”.
“Tapi (perdana menteri ketika itu) Tun Dr Mahathir Mohamad kata saya telah pukul diri sendiri,” katanya.
Anwar juga mengambil kesempatan dengan mendedahkan prestasi baik yang dicapai kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan berkata Sarawak juga berpeluang.
Beliau berkata Ketua Audit Negara telah berkata Pulau Pinang adalah salah sebuah negeri yang menguruskan kewangan dengan baik tapi di Sarawak, walaupun mempunyai banyak sumber semula jadi tetapi “ia tidak pernah dimasukkan dalam buku.”
Beliau juga berkata di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, kebebasan beragama dijamin dan hak kepercayaan lain dijaga.
Merujuk kepada Alkitab atau kitab Injil versi Bahasa Malaysia, Anwar mengkritik pemimpin Islam dalam pentadbiran negara yang tidak memahami Islam.
Larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada bukan Islam, kata Anwar ia belum pernah berlaku “di mana-mana negara Islam yang lain.”
“Hanya dalam 1 Malaysia ada dua Allah,” katanya.
Pengundi Cina yang turut hadir dalam ceramah itu memberikan tepukan gemuruh dan ketawa.
Ketika Anwar mahu meninggalkan ceramah itu, orang ramai menghampiri beliau sambil membawa buku, kertas dan menjerit “ubah”, meminta tandatangan Anwar.
Kempen Pakatan Rakyat dilihat memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi di kawasan bandar dan kawasan yang majoritinya pengundi Cina.
Dengan kempen anti-Taib, pemimpin Pakatan Rakyat berkata mereka akan merentasi semua komuniti termasuk Bidayuh, Cina, Iban, Orang Ulu dan Melayu/Melanau.