Rabu, 18 Mei 2011

Subsidi: Kroni IPP diselamatkan, rakyat dimangsakan – Rafizi

KUALA LUMPUR: Setiap kali harga minyak dinaikkan, kerajaan akan menjadikan rakyat sebagai mangsa dengan mengurangkan subsidi tetapi tidak berbuat demikian terhadap syarikat kroni seperti Penjana Tenaga Bebas (IPP).

Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli berkata, terbaru kerajaan turut menarik subsidi gula bernilai RM116 juta, tetapi mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada syarikat IPP seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen.

“Mengapa kerajaan masih tidak menarik subsidi gas kepada penjana tenaga bebas (IPP) yang berjumlah RM 19 bilion setiap tahun?

“Sedangkan beban kenaikan minyak dikenakan langsung terhadap rakyat. Bahkan, ia mengakibatkan peningkatan kos perkhidmatan dan barangan keperluan harian,” katanya kepada Keadilandaily.com.

Rafizi menjelaskan, harga minyak mentah adalah sekitar USD 105 hingga USD 130 setong dan berubah mengikut pasaran dunia. Terbaru, harga minyak semasa di pasaran Asia turut jatuh kepada USD 101 setong pada Selasa lalu.

Kerajaan Umno pada minggu lalu menaikkan harga minyak RON97, sebanyak 20 sen kepada RM2.70 seliter, menjadikan kenaikan itu kali ke tujuh sejak ia diapung mengikut pasaran semasa.

“Persoalannya, mengapa logik yang sama tidak digunakan dengan meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat. Kemudian kerajaan beralasan bahawa pemberian subsidi kepada IPP kononnya untuk mengekalkan kos operasi tarif elektrik yang rendah,” Soal Rafizi.

“Di Thailand, penjana kuasa bebas di sana membayar mengikut harga pasaran dan lebih rendah daripada Malaysia. Ini adalah tidak adil kerana penarikan subsidi tersebut melibatkan orang ramai secara langsung dan poket syarikat korporat kroni diselamatkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beban kehidupan rakyat akan bertambah berikutan langkah kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST).

“Alasan Najib bahawa pengenalan GST diimbangi penurunan cukai pendapatan tidak relevan kerana kelompok yang membayar cukai pendapatan di negara ini hanyalah sekitar 10%.

“Sedangkan mereka yang akan membayar cukai GST adalah seluruh rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tidak bekerja dan melibatkan semua jenis barangan dan perkhidmatan.

Rafizi berkata, perbezaan Malaysia dengan negara yang mempunyai cukai GST seperti Singapura dan Australia, kedua-dua negara tersebut mempunyai skala penduduk yang berpendapatan tinggi, iaitu sehingga 60% hingga 70 %.

“Sedangkan di Malaysia hanya 10% sahaja di kalangan mereka yang berpendapatan tinggi, justeru membolehkan mereka mampu untuk membayar cukai pendapatan.

“Bakinya, iaitu 10 juta orang yang tidak dikenakan cukai pendapatan akan berhadapan dengan cukai GST yang akan diperkenallkan.Dalam masa yang sama, akta gaji minimum di negara ini tidak dikuatkuasakan,” katanya.

Tiada ulasan: