KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, didakwa bertemu Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi baru-baru ini, yang dikatakan mempunyai hubungkait dengan keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penulis politik dan juga Ketua Editor akhbar Siasah, Sayuti Omar di dalam blognya memberitahu, pertemuan tersebut didedahkan seorang tokoh dan juga bekas pemimpin kanan negara.
Pertemuan itu tulis sayuti, berlaku selama enam jam dan mempunyai kaitan dengan keputusan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah semalam, yang memutuskan supaya Anwar membela diri dalam kes fitnah liwat yang dihadapinya.
“Bohong dia (tokoh itu) bohonglah saya. Tetapi dengan ketokohan dan kredibiliti yang ada kepada sang tokoh ini saya percaya dia tidak berbohong. Sebelum ini pun banyak maklumat sulit yang beliau perolehi, baik disebut atau tidak ternyata benar.
“Hubungan beliau sebagai bekas pemimpin kanan negara juga meletakkan dirinya sebagai berstatus boleh dipercayai. Berpandukan kepada track rekodnya tahap kebolehpercayaan itu melebihi 90 peratus dan lebih baik dari Dr Mahathir,” tulis beliau.
Tulis Sayuti, menurut tokoh berusia lebih 70 tahun itu, pertemuan itu diatur sebelum Najib berlepas ke luar negara baru-baru ini.
Namun tokoh berkenaan tidak menyebut di mana pertemuan itu berlaku samada di pejabat Perdana Menteri atau di tempat lain.
Sayuti berkata, tokoh itu juga memberitahu adalah menjadi amalan biasa apabila Perdana Menteri bertemu individu penting seperti Ketua Hakim Negara atau Ketua Polis Negara sebelum berlepas ke luar negara.
Namun kata tokoh berkenaan tempoh pertemuan selama enam jam itu terlalu lama dan beliau yakin pertemuan itu membawa tujuan dan maksud yang besar.
Selain itu, Sayuti berkata, beliau juga difahamkan Najib turut berbincang mengenai blogger, Raja Petra Kamaruddin dan beberapa perkara lain.
Ia berhubung kemungkinan Raja Petra tidak dikenakan apa-apa tindakan undang-undang selepas dikatakan berpaling tadah dan ‘menjilat segala ludahnya’ selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan