Rabu, 18 Mei 2011

Putuskan Anwar bela diri, mahkamah berat sebelah- Suaram

KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyatakan rasa kesal dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri dalam kes fitnah II.

Koordinator Suaram, Hasbeemasputra Abu Bakar berkata prosiding perbicaraan terhadap Anwar dijalankan secara berat sebelah.

“Sepanjang perbicaraan kes Anwar, Suaram mendapati mahkamah berat sebelah terutamanya apabila menafikan akses peguam Anwar kepada laporan perubatan dan lain-lain dokumen yang merupakan hak asas mereka dalam perbicaraan.

“Hal ini lebih melucukan apabila hakim beranggapan Saiful Bukhari adalah “saksi yang jujur dan boleh dipercayai” sedangkan Saiful sendiri berulang kali memberikan kenyataan bercanggah malah didapati menjalinkan hubungan sulit dengan salah seorang pendakwa raya ketika perbicaraan berlangsung,” kata Hasbeemasputra dalam kenyataannya semalam.

Katanya, Suaram juga tidak bersetuju dengan penerimaan hakim tentang kesaksian tiga doktor, di mana ada percanggahan jelas dalam kesaksian mereka yang mengatakan wujud penetrasi.

“Tapi kemudian hakim menunjukkan keputusan yang tidak konsisten apabila dari awal menolak untuk menerima sampel DNA yang diperolehi daripada lokap di mana Anwar ditahan.

“Ini senario tidak masuk akal berdasarkan keterangan doktor apabila disoal peguam bela merujuk kepada laporan perubatan yang dibuat keatas Saiful,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan keputusan hakim, Mohamad Zabidin perlu dipertimbangkan semula kerana wujud elemen konspirasi politik dalam kes itu.

“Penting untuk diberikan perhatian bahawa asas penghujahan peguam Anwar adalah wujud konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar.

“Berkali-kali Suaram menyuarakan bahawa mahkamah telah dijadikan boneka oleh kerajaan yang memberikan keputusan berat sebelah bukan berdasarkan kepada keadilan,” tegasnya.

Tiada ulasan: