Rabu, 10 Februari 2010

Saya tidak terkejut dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan pagi tadi yang mengisytiharkan Dato’ Seri Nizar bukannya Menteri Besar Perak yang sah. Umno sedang kuat mencengkam segala institusi agar memenuhi hasrat mereka untuk terus kekal berkuasa. Pimpinannya sanggup melenyapkan siapa dan apa sahaja yang menghalang mereka. Namun yang pasti mereka tidak berani berhadapan dengan rakyat.

Hanya mereka yang sudah usang dan sebati dengan kezaliman sahaja menyanggupi serta gembira dengan tindak tanduk kerajaan sekarang.

Kepada mereka yang mahu terus hidup mengabdi kepada kekuasaan, silakan, nikmatilah segala laba yang dihamburkan selagi masih berpeluang. Tunggulah saatnya nanti apabila laungan Rakyat Hakim Negara bergema menggegar bongkah-bongkah keangkuhan yang dibina dari darah dan air mata rakyat!

Saudara saya rakyat Malaysia sekalian, ini bukannya masa untuk berputus harap. Ini adalah waktunya kita menggembeling daya dan upaya kita untuk membawa Perubahan. Teruskan usaha membawa getar Perubahan ini di segenap pelusuk desa dan bandar. Tidak ada dolak dalih lagi, nyatakan dengan penuh keyakinan bahawa Perubahan ini demi kemaslahatan semua.

ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan: