Selasa, 2 Februari 2010

Pelajaran sejarah untuk Dr Mahathir


Kesian Dr Mahathir. Semakin hampir ke destinasi akhir, semakin kurang daya fikir. Begitulah ragam manusia apabila sudah lanjut usia.

“Tun Dr. Mahathir Mohamed delivered a history lesson on Malay unity today and blamed PAS and PKR for dividing the community because of what he claimed was their greed for power.”

Maaf Tun, saya tidak dapat menerima pelajaran sejarah songsang, yang mengaitkan PAS dan PKR sebagai punca perpecahan Melayu. Disebabkan saya bukan balaci UMNO, tidak juga ahli PAS atau PKR, maka itu saya masih boleh membezakan antara ajaran sesat, fantasi dan kenyataan.

Mungkin kerana terlalu taksub dengan pujian juak-juak keliling, Dr Mahathir terlupa bahawa setiap telunjuk yang menuding, tiga jari lagi terarah ke diri sendiri. Itulah yang sebenarnya beliau lakukan, menepuk air di dulang, merecik ke muka sendiri.

Sejak PAS wujud pada tahun 1951 sehingga Dr Mahathir dinobatkan sebagai Perdana Menteri, berapa kali orang Melayu berpecah dan berapa ramai yang menganggotai parti bukan UMNO?

Mungkin kerana faktor usia, Dr Mahathir terlupa benih perpecahan yang beliau semai hidup subur dan masih lagi dituai hingga hari ini. Semasa berada di persada kekuasaan berapa kali pernah beliau menangani masalah mengikut tradisi orang Melayu, yang membolehkan kiambang bertaut setelah biduk berlalu? Sebaliknya, pecah dan perintah peningglan penjajah yang diamalkan. Setelah orang Melayu berpecah, maka mudahlah proses mengekalkan kuasa.

“Melayu mudah lupa”.ungkapan keramat Dr Mahathir. Oleh kerana beliau sudah tergolong sebagai Melayu, maka wabak pelupa orang Melayu pun sudah meresap ke dalam dirinya. Untuk memulihkan ingatan, saya catitkan rentetan peristiwa besar yang membawa kepada perpecahan.

Keretakan UMNO dan orang Melayu bermula pada tahun 1986 apabila timbalan beliau, Dato Musa Hitam meletakkan jawatan kerana tidak sehaluan. Amanat Musa “Jaga UMNO baik-baik” dipandang ringan oleh orang Melayu sendiri. Ramai pengikut fanatik berpendapat orang Melayu akan terus bersatu, mengangguk patuh macam abdi walau apa pun yang dilakukan oleh pemimpin.

Retak menjadi belah apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988. Susulan dari itu, wujud parti Semangat 46. Berduyun-duyun orang Melayu keluar parti kerana tidak mahu terus berada di bawah cengkaman kuku besi. Setelah menyedari Semangat 46 bukannya angsa yang bertelur emas, ramai berpatah balik termasuklah DS Rais Yatim yang pernah membakar jambatan. Namun, kembalinya mereka masih belum dapat menyatukan orang Melayu.

Retak yang belah terus berkecai macam kaca terhempas ke batu apabila Dr Mahathir melucutkan jawatan timbalannya pada tahun 1998. Kebencian orang Melayu memuncak setelah beliau sendiri mengaibkan bekas timbalannya menerusi media yang di kuasai kerajaan. Ramai yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi, termasuk saya, bergegas ke pusat pendaftaran kerana sudah hilang kepercayaan.

Dalam pilihan raya 1999, untuk pertama kalinya, UMNO kehilangan 32 kerusi dari 104 yang dipertandingkan. Terlepasnya Kelantan dan Terengganu bukan kerana keampuhan PAS dan Semangat 46 tapi kerana UMNO sendiri jadi lemah. Siapa yang menyuntik kuman polio ke dalam UMNO kalau bukan pemimpinnya sendiri? Siapa pencetus perpecahan?

Tiada ulasan: