KUALA LUMPUR 8 Oktober: Dasar gaji minima RM900 yang diumum Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin hanya dapat dilaksana pada 2014,
kata Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani.
Ini kerana katanya, dasar berkenaan yang akan dikuatkuasa pada 1
Januari 2013, memerlukan tempoh percubaan selama enam bulan dan perlu
dibawa semula ke Majlis Gaji Minima Negara.
Menyifatkan dasar itu masih belum selesai, beliau berkata, kerajaan
juga tidak memberi kuasa kepada mana-mana kementerian mengarahkan
majikan menetapkan dasar gaji minima tersebut.
“Akhirnya gaji minima akan ‘terkapai’. (Masalah) Ini turut melibatkan
pekerja di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam perbahasan Belanjawan
2013, hari ini.
Sebaliknya, kata beliau, dasar gaji minima Pakatan Rakyat sebanyak
RM1,100 lebih munasabah apabila mengguna peruntukan Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA) untuk kakitangan kerajaan.
Manakala baki kenaikan gaji kakitangan swasta pula akan ditampung Kementerian Sumber Manusia melalui peruntukan RM2 bilion.
“Industri Kecil Sederhana (IKS) akan dibantu kerajaan daripada tabung
khusus, seperti diumum Datuk Seri Anwar pada 26 September 2011. Jadi
syarikat kecil tak perlu melatah,” ujar beliau.
Katanya lagi, dasar gaji minima Pakatan berupaya menghapuskan 84,000
keluarga miskin tegar dan meningkatkan pendapatan dari RM300 kepada
RM550 sebulan
“Kalau kerajaan nak meningkatkan kadar pendapatan isi rumah, isu ini perlu ditangani secara serius,” tegas Abdullah.
Beliau turut membidas penguatkuasaan kerajaan yang lemah apabila
mengabaikan Akta Kerja 1955 terhadap pekerja asing yang bekerja lebih
lapan jam di sektor perkhidmatan.
“Difahamkan ada 3.8 juta pekerja asing di Malaysia tak termasuk PATI
(Pendatang Asing Tanpa Izin). Ini punca persaingan tidak sihat,”
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan