Khamis, 11 Oktober 2012

Bajet pakatan, ekonomi rakyat – negara berkat

oleh Subky Latif
 
Pakatan Rakyat adalah kerajaan menunggu. Apabila membentangkan versi bajetnya, tiadalah yang dapat dikuatkuasakannya selagi jadi kerajaan menunggu.
Lalu diperli BNlah, berangan-anganlah.
Tetapi ia adalah persediaan apabila Putrajaya dapat dibebaskan selepas PRU13 kurang daripada enam bulan dari sekarang. Apabila bertukar saja ia dari status kerajaan menunnggu kepada kerajaan betul, maka bajetnya itu akan diisinyalah.
Semua yang digaris dalam bajet itu adalah menjuruskan kepada keperluan ekonomi tuan punya Negara ini iaitu rakyat. Apabila ia diisi dengan keperluan rakyat, maka moga-moga negara pun berkat.
Ia menuju kepada sebuah negara yang berkat. Kerajaannya adalah kerajaan dunia, tetapi menyediakan segala yang diperlukan oleh orang yang hendak ke akhirat.
Doa dalam tema bajet itu ialah mencari sebuah negara yang berkat. Berkat itu adalah kata-kata menuju akhirat. Iaitu mencari kesenangan di dunia dan kesenangan di akhirat.
Itulah matlamat hidup Islam. Bagi orang Islam ia dapat semua – kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ia juga dengan sendirinya menjadi dunia yang disenangi oleh orang bukan Islam, baik mereka rakyat dan yang bukan rakyat yang bertandang ke sini.
Itulah tema dan persedia untuk menjadi sebuah negara berkebajikan. Pengisian terperincinya, bacalah keterangan pembentangan Ketua Pembangkang atas bajet itu.

Ia memberi tempoh kurang daripada enam bulan dari sekarang kepada penguasa yang ada sekarang untuk berbuat apa-apa yang suka sebelum Putrajaya terlepas daripada tangan.
Inilah masa untuk melarikan apa-apa yang ada di Petronas dan apa-apa yang boleh dicapai sebelum kerajaan menunggu mengambil alih kerajaan.
Lepas itu, Petronas tidak boleh buat apa-apa yang ia suka lagi. Ia akan ikut apa yang aktanya mahu dan apa-apa yang ia suruh buat.
Negeri yang berminyak iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan sedang menunggu akan ada syarikat minyak dan gasnya sendiri yang dinaungi oleh pentadbiran baru Petronas.
Berkata mereka itu, apalah untungnya Petronas selepas ini? Negeri yang ada minyak akan ambil panggunya dulu. Royalti terjamin dan untang syarikat pula melapangkan lagi. Yang Petronas dapat, tidak lagi akan dibolot klik Qarun seperti yang bersarang dalam Pertamina di seberang Selat Melaka dulu.
Pada peringkat mula ini, sekalian lintah darat yang gerun hilang harta Qarun yang disedutnya selama ini menakutkan orang-orang awam tentang banyaknya tawaran percuma yang hendak diberi kerajaan menunggu.
Tiada lagi pinjaman PTPTN. Boleh mengaji percuma, boleh lalu lebuhraya tanpa tol, motokar sudah murah kerana tidak banyak cukai lagi.
Cukup duitkah kerajaan? Royalti minyak naik sampai 20 peratus. Dulu semua duit masuk pada Petronas, lepas ini sebahagiannya diniagakan oleh syarikat negeri berminyak itu. Cukupkah duit?
Memang banyak yang kerajaan terpaksa tanggung bagi menampung segala pampasan konsesi lebluhraya dan lain-lain. Tetapi ketirisan dan duit yang disapu oleh lintah darat dan segala tumbuk rusuk lebih banyak lagi. Dengan segala beban yang kerajaan tanggung itu jadi sikit dibandingkan dengan yang lintah darat hisap.
Adapun kerajaan menunggu itu tiadalah memfaraidkan duit kerajaan dan duit rakyat. Segala-galanya akan dicurahkan balik kepada rakyat. Apabila rakyat tak payah bayar tol, belajar percuma, motokar murah dan minyak murah. Banyak duit mereka lebih.
Yang takut dengan bajet Pakatan itu ialah lintah darah dan klik Qarun. Rezeki sempit. Tetapi rakyat awam Insya-Allah akan dilimpahi barakah.

Tiada ulasan: