Sabtu, 13 Oktober 2012

100,000 tetamu nikah anak Ali Rustam

Subky Latif, 12 Okt 2012
Bukan 100,000 hadir kahwin anak Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam. Bahkan lebih. Ada yang istimet hingga 130,000.

Satu kenduri kahwin yang meriah. Bahasa sekarang, kahwin mega.

Anak Raja England pun tidak kenduri sehebat itu. Tetapi tidak mustahil bagi nikah anak Muammar Gadaffi. Anak Raja England tidak terdaya menghadapi audit  jika nikah seramai itu. Tidak ada masalah bagi nikah anak Gadaffi kerana ia tidak perlu  audit.

Yang kenduri itu Ketua Menteri Melaka. Mewahnya membayangkan apa yang diceritakan dalam kisah meminang Puteri Gunung Ledang. Hantaran dan emas kahwin yang Puteri itu tuntut daripada Sultan Melaka lebih besar daripada peruntukan yang dijangka bagi bertunang puteri Perdana Menteri Najib dengan putera isteri Presiden Asia Tenggah.

Raja Melaka naik takhta tidak atas undi rakyat, menolak tuntutan yang menggunung yang lebih diperlukan oleh rakyat berpendapatan rendah. Ali Rustam yang naik atas undi rakyat miskin, dalam suasana Ketua Audit Negara tidak teragak-agak mendedahkan laporannya, dia terdaya mengadakan sambuntan nikah yang Sultan Melaka pun tak tergamak melakukannya.

Tiada larangan fikah mana-mana mazhab bagi kenduri sebesar itu kiranya yang kahwin itu anak Qarun. Sekalipun cateringnya RM200 sekepala, pendapatan seharinya  lebih daripada itu.

Tetapi yang menjadi persoalan, tetamu yang hadir itu semuanya makan. Jika yang hadir itu sekadar bersalam, lepas itu balik, tiada masalah. Yang hadir semua makan. Maka ia mendatangkan fitnah.

Jika satu kepala RM20, untuk 100,000 kepala jadi dua juta ringgit. Belum termasuk semua perbelanjaan. Mungkin tidak banyak bagi Ali Rustam, tetapi ia tetap ditakwil. Dari duit mana? Adakah dari baitul mal atau mana-mana sumber negeri?

Titah Almarhum Sultan Idris Shah, Sultan Perak sebelum Sultan Azlan Shah, malu orang Melayu menggunakan orang atau kerajaan untuk menikahkan anak. Maka sanggup bergadai golok menikahkan anak.

Maka kita  cuba percaya Ali Rustam menggunakan duit sendiri. Apapun, tetamu yang seramai itu adalah luar biasa. Patutkah kenduri nikah luar-biasa begitu?

Belum tentu ia elok. Berbeza dengan orang mati. Jika jenazah seorang mukmin/mukminah diziarahi ratus ribu manusia, ia suatu yang baik. Ia tanda kebahagian. Lebih ramai lebih bahagia.

Apa lagi yang datang itu bersolat jenazah dan mengiringkannya ke kubur. Tambah bahagialah si mukmin itu.

Tetapi bagi perkahwinan mega, banyak tetapinya. Ibu bapa pengantin memerlukan satu rasa rendah diri yang tidak terperi. Yang dilakukannya adalah untuk mendapat kerdhaan Allah. Tetamu yang berduyun-duyun datang bagi merestui perkahwinan, moga-moga doa sekalian memberkati perkahwinan itu.

Jika perkahwinan itu oleh wali-wali yang ikhlas dan merendah diri, matlamat kenndurinya diliputi barakah. Persiapan kahwin itu dari duit dan rezeki yang berkat. Jamuan yang barakah adalah serba sederhana, tetapi justeru barakahnya ia boleh dimakan oleh ratus ribu tetamu.

Nasi dan lauk hanya beberapa  kawah, tetapi ia cukup untuk seramai mana saja yang hadir. Biasa kenduri wali seperti ini tidak menjemput tetamu yang ramai, memadai diumumkan di masjid saja supaya datanglah beramai-ramai. Kadang-kadang yang dilihat ramai itu ialah malaikat.

Yang makan hanya manusia. Malaikat nampak meramaikan itu tidak makan. Kalau kenduri rumah Ali Rustam itu kenduri wali yang  diberkati, maka yang dilihat beribu-ribu itu antaranya malaikat.

Oleh sebab wali tidak ada dalam masyarakat sekular, yang ramai di rumah Ali Rustam itu adalah manusia. Maka bagi memuaskan supaya hati tidak berkata-kata, Ali mesti diaudit, duit apa yang digunakananya. Kerana  dia  Ketua Menteri, dia kena akauntabiliti.

Tiada ulasan: