Teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum masih lagi hangat
dinujumkan. Selepas banyak sangkaan meleset, kali ini ramai menjangkakan
PRU ke-13 akan diadakan November depan, sebaik Parlimen meluluskan
Belanjawan 2013 dan sekembalinya jemaah dari Makkah.
Banyak faktor yang bakal menentukan tarikh PRU. Jika sesiapa pun pada
kedudukan Perdana Menteri, beliau harus terlebih dahulu mempertimbangkan
kekuatan dalaman organisasinya, sebelum mengambil kira faktor luaran.
Tidak guna hendak 'bertegang urat' dengan parti lawan jika parti sendiri
penuh dengan cacamerba dan hampir karam. Inilah yang berlaku kepada
Umno sebenarnya. Umno yang tidak pernah menafikan pengakuan bahawa
mereka adalah 'syaitan yang dikenali'.
Rupa-rupanya serangan bertubi-tubi ke atas PAS dan Pakatan Rakyat,
dilakukan secara terancang, dengan tujuan untuk menutup pekung dalaman
Umno yang semakin hari semakin membarah.
Media massa yang dikuasai Umno, ligat dikerah menutup karenah dalaman
Umno yang tidak pernah selesai sehingga kini. Sesiapa pun dalam Umno
sekarang berasa tidak selamat. Ada banyak faktor yang boleh unjurkan,
antaranya:
Pertama, selepas Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggantikan Tun
Abdullah Ahmad Badawi, sokongan terhadap Umno masih belum pulih sehingga
kini, akibat pembongkaran lebih banyak skandal membabitkan pemimpin
Umno-BN.
Kedua, kecuali kroni-kroni rapat, setiap orang Menteri dan Menteri
Besar, Timbalan Menteri, Exco dan Ketua Umno Bahagian tidak mendapat
indikator jelas dari Najib, apakah mereka akan dicalonkan semula sebagai
calon Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Ketiga, akibat daripada ketidak tentuan itu, tambahan pula Najib
mempunyai 'winnable candidate' sendiri, di semua negeri dan bahagian
Umno, masing-masing bergasak sesama sendiri. Rebut jadi Ketua Bahagian,
rebut menjadi calon Menteri Besar, rebut jadi calon Parlimen dan Dun.
Keempat, akibat dari permasalahan ini, penganalisis menjangkakan, wujud
ketegangan di antara kedua-dua pimpinan tertinggi Umno iaitu di antara
Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Umumnya, perselisihan wujud kerana haluan dan pendapat berbeza di antara
kedua-duanya, mengenai cara terbaik untuk menyelamatnya Umno daripada
terkubur dalam PRU depan.
Dalam diam 'fan' Muhyiddin giat berkempen dalam Facebook, menyebarkan
poster di Johor dan dibanyak tempat, bahawa TPM adalah calon terbaik PM
bagi menggantikan Najib.
Dilaporkan, bertebaran poster misteri menyokong Muhyiddin menggantikan Najib sebagai PM sebelum PRU, di Johor dan Pulau Pinang.
Umno Johor menafikan bahawa poster itu dicetak mereka dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Imej pada poster itu, bersama dengan potret Muhyiddin dan bendera Malaysia, telah disebarkan secara meluas di Internet.
Poster itu berbunyi 'Kami Mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai PM
sebelum PRU 13'di bahagian bawah dan 'Selamatkan Barisan Nasional' di
atas. Ia juga memaparkan logo BN dan Umno, serta tulisan 'Terbitan
Barisan Nasional Negeri Johor'.
Walaupun Umno Johor menafikan dan memang tidak rasional mendakwa mereka
yang mencetak poster tersebut, namun ianya tidak mampu menutup
pertelagahan di antara kedua-dua pemimpin mereka.
Muhyiddin mempunyai 'track-record' yang cemerlang, berjaya 'menghalau'
Abdullah dari kerusi PM dan Presiden Umno, dengan sokongan kuat Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Dengan keceluparan Dr Mahathir membuat pelbagai kenyataan mendahului
Najib dalam banyak perkara sebelum ini, apakah ianya bukan indikator
bahawa Presiden Umno itu tidak boleh diharap untuk mengekang kemaraan
Pakatan Rakyat?
Apakah dengan sebab itu kempen menjatuhkan Najib sedang giat dijalankan
kumpulan pro Muhyiddin? Kita nantikan episod seterusnya, apakah rumah
'syaitan' akan roboh akibat dimakan anai-anai belaan sendiri? Sama-sama
kita saksikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan