KUALA LUMPUR: Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berwibawa dan tidak dibuat berasaskan angka unjuran defisit dan pertumbuhan yang tepat.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perbelanjaan besar RM233.8 bilion seperti yang diumumkan Najib juga tidak mengambilkira penambahan beban hutang rakyat dan negara.
“Unjuran defisit pada angka 4.7 peratus ini adalah tidak tepat dan tanpa wibawa kerana ia bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tahun 2011 dan unjuran 2012, serta unjuran jumlah pendapatan negara dalam tahun 2012.
“Unjuran pertumbuhan pada 5 peratus – 6 peratus bagi tahun 2012 perlu dibidas keras kerana ia ternyata terlalu tinggi sedangkan analisa dari sumber-sumber lain menunjukkan pertumbuhan yang lebih rendah,” kata Anwar ketika membahaskan belanjawan 2012 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, unjuran pertumbuhan terpilih yang dibuat oleh Bank Dunia ialah 5.7 peratus, MIER (5.5 peratus) dan RHB 4.5 peratus.
Unjuran yang lebih mutakhir, katanya dibuat Bank Pembangunan Asia di dalam “Asian Development Outlook 2011” yang diterbitkan pada pertengahan September lalu yang turut mengambil kira risiko ketidaktentuan ekonomi global.
“Bank Pembangunan Asia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2011 sekadar 4.8 peratus dan hanya menokok kepada 5.1 peratus dalam tahun 2012; jauh berbeza dari angka yang terlalu optimistik yang digunakan Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012 iaitu pertumbuhan di antara 5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun 2011 dan kekal pada 5 peratus hingga 6 peratus bagi tahun 2012.
“Begitu juga dengan unjuran pendapatan sebanyak RM186.9 bilion. Berdasarkan unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan, unjuran pendapatan mendedahkan niat tersirat Barisan Nasional untuk menuntut dividen yang tinggi dari Petronas,” kata Anwar.
Anwar berkata, unjuran-unjuran pertumbuhan ekonomi dan jumlah pendapatan yang terlalu optimistik dan tidak realistik akan memburukkan lagi keadaan defisit negara.
“Pertamanya, ia akan memburukkan lagi keadaan defisit negara kerana dakwaan perdana menteri bahawa belanjawan 2012 akan membawa defisit ke paras 4.7 peratus dari KDNK adalah tidak benar, selain tidak mengambil kira kecenderongan Barisan Nasional berbelanja lebih dan menyeludup peruntukan baru melalui belanjawan tambahan di pertengahan tahun.
“Keduanya, ia mengenepikan keperluan mendesak untuk mengamalkan disiplin fiskal dan pendekatan berbelanja wang rakyat dengan berhemah, pada kala ia sangat penting demi menjamin kelangsungan kewangan dan pertumbuhan sihat ekonomi negara,” katanya lagi.
Justeru itu, beliau mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional bahawa rakyat tidak mudah tertipu dengan hamburan data-data yang digunakan.
“Angka yang dipersembahkan kononnya untuk memberi gambaran bahawa keadaan defisit dan hutang dalam keadaan terkawal, sedangkan kita sedia maklum tabiat Barisan Nasional membentangkan belanjawan tambahan pada pertengahan tahun.
“Tabiat seperti itu menzahirkan niat sebenar pentadbiran ini untuk membelanjakan dana awam sewenang-wenangnya, seperti yang berlaku pada tahun 2010 dan 2011,” kata Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan