KUALA LUMPUR: Malaysia jatuh di tangga ke 78 dari 141 negara dalam Senarai Indeks Kebebasan Ekonomi Sedunia, dalam laporan tahunan 2011 yang dikeluarkan Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS).
“Pada tahun lalu, Malaysia berada pada tangga ke 77. Tetapi tahun ini, kita jatuh satu tangga ke angka 78. Sebenarnya, kedudukan Malaysia jatuh sejak beberapa tahun dan ini trend membimbangkan,” Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan dipetik sebagai berkata.
Indeks berkenaan mengukur kebebasan ekonomi dari skala 0 hingga 10, dengan 0 adalah yang terendah dan 10 yang terbaik.
Skor Malaysia dalam setiap ukuran kategori pada tahun ini menurun berbanding tahun lalu dari segi saiz kerajaan (merosot kepada 5.5 mata) , laluan kepada kewangan yang mantap (merosot kepada 6.50 mata) dan kebebasan untuk berdagang di arena antarabangsa (merosot kepada 7.23 mata).
Menurut Wan Saiful, masalah utama yang membawa kepada penurunan itu ialah saiz kerajaan.
“Sejak 1995, saiz kerajaan kita telah meningkat. Lebih buruk, kita mencatat sifar di bawah sub-kategori ‘Perusahaan kerajaan dan pelaburan’.
“Ini menunjukkan tahap penglibatan kerajaan dalam ekonomi melalui GLIC (Syarikat berkaitan pelaburan kerajaan) dan GLC (Syarikat berkaitan kerajaan) adalah membimbangkan,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan perlu mengakui keperluan merasionalisasi penglibatannya dalam ekonomi dan telah terdapat rancangan melucutkan pegangan kerajaan dalam pelbagai GLC serta meliberalisasi berbagai sektor ekonomi.
“Ini penting dan ia mesti diperbaharui sekarang,” katanya.
Laporan kebebasan ekonomi dunia menggunakan 42 ukuran untuk mencipta kedudukan indeks negara-negara di seluruh dunia berasaskan dasar yang menggalakkan kebebasan ekonomi.
Tahap kebebasan ekonomi diukur dalam lima bidang berikut: (1) saiz kerajaan, (2) struktur undang-undang dan keselamatan hakmilik harta, (3) laluan kepada kewangan yang mantap, (4) kebebasan untuk berdagang di arena antarabangsa, dan (5) regulasi kredit, tenaga buruh dan perniagaan.
Hong Kong mencatatkan kedudukan pertama kebebasan ekonomi yang baik diikuti Singapura dan New Zealand. Manakala Zimbabwe menerima sekali lagi skor terburuk diikuti Myanmar, Venezuela dan Angola.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan