Ahad, 1 Mei 2011

Hari Pekerja: Malaysia perlu belajar ekonomi Korea, kata Guan Eng


KUALA LUMPUR, 1 Mei - Malaysia harus belajar daripada pengalaman Korea Selatan yang Keluaran Kasar Negara (GDP) hanya satu pertiga berbanding Malaysia sebelum 1970 tetapi kini tiga kali ganda jika dibandingkan dengan negara ini, kata Lim Guan Eng (gambar) sempena sambutan Hari Pekerja hari ini.

Setiausaha Agung DAP berkata, GDP per capita sekarang pun lebih dua kali ganda Malaysia kerana penduduknya 49 juta jauh melebihi 27 juta rakyat negara ini.

Oleh itu kata beliau, Malaysia tidak boleh bergantung pada alasan mudah kegagalan menandingi Korea Selatan adalah kerana penduduk Malaysia jauh lebih kecil.

"Salah satu punca utama kebangkitan ekonomi Korea Selatan adalah penekanan dan tumpuan kepada bakat-bakat dan pembangunan sumber manusia.

"Inilah perkara yang cuba ditutup bahawa kegagalan dasar ekonomi adalah kegagalan satu dasar pelaksanaan dasar sumber manusia yang mementingkan pekerja dan produktiviti," kata beliau dalam ucapan sambutan Hari Pekerja di sini hari ini.

Dalam teks ucapan yang diedarkan kepada media, Lim berkata, pergantungan terhadap pekerja asing dengan kadar gaji yang murah mencacatkan kenaikan gaji selaras dengan peningkatan produktiviti dan penyelidikan dalam teknologi tinggi.

"Lagipun latihan semula diberikan bukan kepada pekerja tempatan tetapi pekerja asing yang merugikan negara," katanya lagi.

Kesannya, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, para pekerja sama ada kolar biru atau kolar putih terpaksa menanggung beban kesan negatif ekonomi seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan, kedudukan gaji tidak berganjak serta masalah-masalah sosial yang berlaku akibat keadaan semasa.

Lim juga berkata, laporan terbaru Bank Dunia mengenai Malaysia mengesahkan aliran keluar negara cerdik pandai atau “brain drain” menunjukkan Malaysia kehilangan bakat dan pakar yang mampu meningkatkan kemajuan ekonomi, taraf hidup dan kemakmuran rakyat.

"Adalah dianggarkan dua juta rakyat Malaysia telah berhijrah ke negara lain sejak merdeka kerana tidak dapat peluang yang sama rata," katanya lagi.

Sehubungan itu kata Lim, DAP kecewa dengan reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menolak laporan Bank Dunia dengan mendakwa “brain drain” bukan punca masalah ekonomi dan pelaburan negara, malah beliau dengan bangga mengatakan aliran masuk pelaburan telah meningkat enam kali ganda tahun lalu berbanding 2009.

Kelmarin, Najib yang juga Menteri Kewangan menafikan Laporan Bank Dunia yang mendakwa dasar yang memberi keutamaan kepada Bumiputera menyebabkan berlaku masalah "brain drain" dan kurang kemasukan pelaburan ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia sebaliknya meningkat kepada RM9 bilion tahun lalu daripada RM1.4 bilion pada 2009.

Lim menjelaskan, sungguhpun ketidakadilan social dan dasar-dasar diskriminasi membawa kerugian kepada negara, tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak kerajaan BN.

"Lihatlah negeri Sabah dan Sarawak yang merupakan simpanan hayat BN yang paling miskin dan susah sekali. Sabah memiliki 42.9 peratus daripada kadar kemiskinan negara diikuti oleh Sarawak sebanyak 12 peratus.

Dengan kehilangan 20 peratus daripada golongan pintar, kata beliau, Malaysia mendapat lebih dua juta warga asing yang bekerja di negara ini, di mana 60 peratus hanya kelulusan sekolah rendah dan tentunya tidak mempunyai kemahiran tinggi.

"Dengan kata lain, tidak hairan mengapa Malaysia tidak dapat mengecapi kemajuan ekonomi yang cergas berbanding dengan negara jiran, bila Malaysia kehilangan dua juta rakyatnya berkemahiran tinggi yang digantikan dengan pekerja asing yang 60 peratus adalah berpendidikan rendah," kata Lim lagi.

Katanya, keadaan yang tidak seimbang ini memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia tetapi kerajaan BN lebih mahir bermain politik perkauman daripada menarik balik aliran bakat atau pintar.

Tiada ulasan: