Selasa, 13 Julai 2010


ALAT CIA : UTUSAN BIADAP, UMNO TERDESAK

Tuduhan dangkal dan biadap ini datang selepas kenyataan tegas Datuk Seri Anwar yang menyelar tindakan Amerika dan regim zionis secara konsisten mutakhir ini. Malah, tambah menjengkelkan, kemunculan Datuk Seri Anwar di dalam temuramah CNN yang beroperasi di Amerika Syarikat juga dijadikan sebagai satu 'pembuktian longgar' Umno bahawa Anwar adalah alat CIA.

Serangan terbaru ini sekaligus menzahirkan Utusan telah menjadi akhbar nyamuk yang mengkhianati perjuangan tokoh-tokoh seperti Allahyarham Usman Awang, Keris Mas dan A.Samad Said. Utusan kini jelas bukan lagi satu institusi, tetapi media yang telah terlacur sepenuhnya.

Tuduhan alat CIA nyata berat dan biadap dalam keadaan segalanya bermula apabila beberapa isu yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar secara umumnya dan Keadilan khususnya mendapat perhatian rakyat dan gagal dijawab secara berfakta oleh Umno-BN. Ini termasuklah isu APCO yang kini disambung kontrak, penglibatan Asiasoft di dalam maklumat perisikan negara, dan yang terkini ialah isu mengenai potensi Felda untuk bankrap berikutan penurunan prestasi kewangan yang membimbangkan.

Jawapan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussien bahawa tindakan akan diambil sekiranya ada bukti menunjukkan Umno begitu terdesak untuk membunuh karakter Anwar. Jawapan itu juga menunjukkan bahawa institusi polis sekaligus telah hilang kredibiliti apabila setelah 12 tahun isu alat CIA dimainkan, Datuk Seri Anwar masih gagal disabitkan dengan sebarang bukti konkrit dan sahih.

Strategi membunuh karakter Datuk Seri Anwar ini mudah dibaca: untuk mewujudkan persepsi negatif ke atas Datuk Seri Anwar di kalangan masyarakat Melayu. Melihat kepada potensi pilihan raya umum diadakan pada tahun ini, taktik busuk ini dicatur meskipun longgar. Kesinambungan pemberitaan negatif ke atas Datuk Seri Anwar ini jelas tidak berasaskan bukti-bukti yang kukuh. Apatah lagi, kes konspirasi liwat yang dicatur ke atas Datuk Seri Anwar juga semakin menemui jalan buntu.

AMK percaya bahawa semua ini dicatur berpaksikan kepada kegagalan Umno untuk meyakinkan rakyat dalam beberapa isu yang membangkitkan kemarahan rakyat mutakhir ini, termasuklah pembaharuan kontrak APCO di dalam urusan pengurusan komunikasi kerajaan Umno-BN.

Malah AMK tidak menolak bahawa inilah hasil yang membanggakan hasil konsultansi APCO kepada Umno. Imej Datuk Seri Anwar 'dibunuh' sehabisnya, pimpinan Pakatan dilaga-lagakan dengan isu-isu lapuk, akhbar-akhbar Pakatan seperti Suara Keadilan, Harakah dan Roket juga sedang berhadapan masalah pembaharuan permit.

AMK mendesak Utusan Malaysia menarik balik tuduhan biadap ke atas Datuk Seri Anwar tanpa sebarang kompromi, atau AMK akan bertindak untuk memimpin rakyat melakukan protes ke atas Utusan Malaysia.

Boikot Utusan Malaysia!

Shamsul Iskandar Mohd Akin,

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Tiada ulasan: