Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak lagi mampu menangani merebaknya bantahan antarabangsa yang mempertikai kewibawaan sistem kehakiman negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Demonstrasi yang didalangi Umno BN di kedutaan Australia 17 Februari lalu tidak mungkin berulang kerana semakin banyak negara menyatakan bantahan termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Turki dan beberapa negara serantau.
Dengan nada tegas, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengingatkan semua pihak supaya mengambil kira bantahan antarabangsa terhadap amalan sistem perundangan di Malaysia.
Beliau berkata demikian depan lebih 10,000 pengunjung program Rumah Terbuka PKR di Bandar Utama, Damansara hari ini, yang turut dihadiri ramai duta negara termasuk India, Singapura dan Filipina.
“Sebab Australia cakap, mereka buat demonstrasi. Tapi Amerika juga buat kenyataan, jadi saya cadang buat tunjuk perasaan. Kemudian Turki berkawan dengan kita, kena buat demonstrasi lawan Turki pula.
“Semalam, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin tulis surat terbuka, maka kena tunjuk perasaan Kanada. Hari ini ramai wakil duta dari Filipina, Singapura datang sokong kita, jadi mereka kena buat demonstrasi.
“…jadi, kerja mereka hanya tunjuk perasaan kerana negara lain tetap mahu juga bercakap tentang kita,” katanya.
Anwar menyatakan cara Umno-BN berpolitik sudah ketinggalan zaman hingga menyebabkan imej Malaysia di mata dunia semakin menjunam dan tidak lagi dihormati seperti dulu.
Katanya, pandangan masyarakat antarabangsa perlu dihormati dan dinilai sebagaimana kritikan Malaysia dalam isu tuntutan pembebasan Aung San Suu Kyi dan kecaman negara penganiayaan rakyat Palestin.
“Sebab apa kita minta Aung San Suu Kyi dibebas? Sebab kita hormati prinsip kebebasan, hak asasi tanpa kira kaum, agama. Sebab apa kita sedih bila lihat rakyat Palestin dibom? Sebab kita tahu tanggungjawab kita sebagai manusia.”Jadi, kalau orang lain bagi pendapat, kita dengar, kena nilai. Adakah betul atau tidak,” katanya.
Selain negara berkenaan, Anwar turut mendapat sokongan jitu daripada negara Islam termasuk tokoh ulama paling terkemuka termasuk Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf al-Qaradawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan