KUALA LUMPUR 13 Julai: Pengarah Biro Perdagangan KEADILAN, Wong Chen
mempersoal ke mana perginya RM170 juta atau 71 peratus kos mengurus
persepsi awam dari peruntukan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Ini berikutan Pengarah Pencegahan Jenayah NKRA (Bidang Keberhasilan
Utama Negara) Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan), Eugene
Teh Yee mengatakan hanya 0.75 peratus daripada dana GTP dibelanjakan
untuk aktiviti ini.
“Cuba kira. Bukankah RM170 juta dari RM240 juta kos pengurusan NKRA bersamaan 71 peratus?
“Ia dilulus dalam Belanjawan 2012. Ke mana pergi wang ini?” katanya kepada Keadilan Daily.
Selasa lalu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
mempertikai kerajaan kerana membelanjakan RM170 juta dengan cara salah
hanya untuk membetulkan persepsi orang awam terhadap polis.
Wan Azizah berkata, 71 peratus daripada belanjawan NKRA tahun 2012
adalah untuk mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.
Justeru, kata Wong Chen, Pemandu perlu menjawab RM170 itu diguna dan dibelanjakan untuk apa.
“Kalau Teh Yee mengatakan Wan Azizah silap kerana menyangka kos
menghantar anggota polis ke lapangan sebagai kos perhubungan awam, ini
juga satu persoalan baru.
“Bukankah biaya anggota polis itu sendiri melalui pembekalan
Kementerian Dalam Negeri. Sepatutnya tiada kena mengena. Mereka ada
petuntukan sendiri. Dan apakah kos perhubungan awam itu?” soal Wong
Chen.
Pengurusan NKRA merangkumi lima dasar, iaitu pengurangan indeks
jenayah, pengurangan jenayah jalanan, meningkatkan pesalah kes ganas ke
mahkamah, menganjur lebih banyak acara komuniti dan mengurangkan
perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.
“Hanya satu aktiviti yang dinyatakan dalam Laporan Tahunan Pemandu
2011 iaitu Pentauliahan Kaji Selidik – ‘Perasaan Takut Menjadi Mangsa
Penyiasatan Jenayah’.
“Persoalannya, mengapa belanja mengurus persepsi terlalu tinggi
berbanding usaha pencegahan jenayah? Dilihat dari belanja besar
kerajaan, masalah jenayah masih tak selesai.
“Kalau rumah keluarga Ahli Parlimen pun dimasuki pencuri, rumah bekas
menteri dirompak, apa jaminan (kerajaan) kepada kita rakyat biasa?”
soal Wong Chen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan