Selasa, 8 Mei 2012

Senator Australia saman NST, Utusan

Senator Nick Xenophon dari Australia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia, yang mengambarkannya sebagai anti-Islam dan pejuang hak gay.
Dalam kenyataannya di News.com.au, beliau berkata: “Laporan itu palsu sepenuhnya. Ia fitnah dan saya akan ambil tindakan”.
NST melaporkan, Xenophon anti Islam semasa berucap dalam Parlimen Australia padahal katanya, dalam ucapan itu beliau menggunakan perkataan ‘Scientology’ dan bukannya Islam.
Xenophon berada di Malaysia termasuk hari perhimpunan Bersih 3.0 dan membuat kenyataan menyesali kejadian dalam perhimpunan itu dengan berkata: “Ia aman (sehingga pendemo diprovokasi)”.
Beliau mengkritik laporan berat sebelah media arus perdana terhadap Bersih 3.0 kerana mementingkan wajah Datuk Seri Najib Razak di Sabah daripada perhimpunan terbesar di Malaysia.
“Media perdana memihak dan tidak adil,” katanya yang kemudian dipetik media Australia menyatakan: “Saya terkejut ada yang pergi hingga sebegitu rendah.”
NST kemudian mendakwa sedang menyiasat laporan wartawannya ekoran bantahan itu dan membuang berita berkenaan dari laman web.
Utusan Malaysia milik Umno pula yang menerbitkan berita yang sama dan memutar belitkan kenyataan Xenophon, telah mengeluarkan laporan itu di laman webnya tetapi tidak memohon maaf.
Xenophon merupakan sebahagian daripada pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia.

Tiada ulasan: