Rabu, 15 Jun 2011

Presiden Switzerland arah harta Taib Mahmud disiasat

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Switzerland, Micheline Calmy-Rey, mengarahkan satu siasatan dijalankan ke atas harta milik Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di dalam bank Switzerland.

Di dalam suratnya dengan tajuk “Pembekuan aset Abdul Taib Mahmud, ketua kerajaan negeri Sarawak di Malaysia” bertarikh 8 April kepada Yayasan Bruno Manser, Micheline berkata beliau sudah menyerahkan maklumat tentang aset Taib Mahmud di dalam institusi kewangan di Switzerland kepada badan FINMA (Swiss Financial Market Supervisory Authority), sebuah organisasi yang mengawal aktiviti pembersihan wang haram, untuk siasatan.

Yayasan Bruno Manser adalah satu badan bukan kerajaan yang berpengkalan di Switzerland dan berjuang menentang rasuah Taib di Sarawak. Ia ditubuhkan sebagai tanda ingatan kepada Bruno Manser, pejuang alam sekitar yang hilang di secara misteri di dalam hutan Sarawak selepas bertahun-tahun berjuang menetang pembalakan haram yang mengganggu kehidupan orang Penan di Sarawak, lapor Sarawak Report.

Di dalam suratnya itu, Micheline menyatakan bahawa pihak berkuasa negaranya mengambil serius kebimbangan di peringkat antarabangsa tentang kemungkinan Taib mengambil untung secara haram daripada rasuah hasil pembalakan di Sarawak. Beliau sendiri menyatakan rasa tidak gembiranya kemungkinan aset daripada rasuah itu dilaburkan di Switzerland.

Di dalam suratnya itu Micheline menegaskan bahawa perjuangan menentang rasuah dan mengembalikan semula dana yang dibawa keluar secara haram ke negara asalnya adalah satu keutamaan buat kerajaan Switzerland.

“Bertahun lamanya kita memperjuangkan usaha mewujudkan satu pusat kewangan yang bersih, dengan undang-undang anti pembersihan wang yang menyeluruh yang mengandungi tanggungjawab pelaporan oleh institusi kewangan, terutamanya apabila ia melibatkan wang daripada orang politik.

“Walaupun kita mempunyai pelbagai cara untuk mencegah perkara ini, jika kita dapati aset yang berasal daripada kegiatan jenayah ada dalam sistem kewangan Switzerland, kita tidak akan teragak-agak untuk mengembalikan semula wang tersebut kepada negara asal.

“Sejak 15 tahun lepas, kita telah memulangkan hampir 1.5 bilion ke negara asal wang-wang ini,” kata Micheline dalam suratnya kepada Yayasan Bruno Manser.

FINMA sendiri dilaporkan sudah menghubungi Yayasan Bruno Manser memaklumkan yang mereka sudah ditugaskan untuk menyiasat aset Taib Mahmud dan mereka meneruskan siasatan tidak lama lagi.

Beban kini terletak di bahu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak kerana di bawah undang-undang anti-pembersihan wang antarabangsa, beliau perlu mengarahkan pembekuan terhadap aset Taib Mahmud, salah satu daripada pembiaya terbesar partinya sendiri, Barisan Nasional.

Jika tidak, Switzerland terpaksa menunggu sehingga Taib disingkirkan daripada pemerintahannya.

Tetapi, jika Najib gagal berbuat demikian, perkara ini akan menjadi satu isu yang hangat diperbincangkan.

Tiada ulasan: