KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas mengatakan penggantungan beliau dan tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dari Dewan Rakyat selama enam bulan, sebagai tidak sah.
Anwar dan tiga lagi ahli parlimen berkenaan iaitu Azmin Ali (KEADILAN-Gombak), R.Sivarasa (KEADILAN-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), digantung pada Disember tahun lalu.
“Saya kembali menyambung tugas tapi masih berpendirian penggantungan itu tidak sah, yang tidak memberi ruang kepada saya dan rakan-rakan untuk membela diri kami dan ini satu kecacatan dalam Parlimen Malaysia,” kata beliau ketika sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Manakala Azmin yang turut mengecam tindakan itu menyifatkan prinsip dan peraturan diambil mudah oleh Barisan Nasional (BN) bagi menggantungkan seseorang Ahli Parlimen.
“Kita dapat lihat pimpinan hari ini khususnya BN tidak lagi berpegang kepada perinsip dan peraturan tapi berpegang kepada majoriti mudah yang ada dalam dewan untuk menafikan kesemua hak yang dijamin dalam perlembagaan.
“Kita akan bongkar banyak penyelewengan yang berlaku dalam tempoh enam bulan yang lalu dan kita akan mengambil bahagian secara aktif untuk memastikan perkara ini tidak mudah dilakukan pimpinan kerajaan pusat,” kata beliau.
Sementara itu, Sivarasa pula menyifatkan penggantungan mereka sebagai titik hitam dalam sejarah Parlimen yang mencerminkan BN tidak mampu menjalankan Parlimen yang demokrasi.
“Penggantungan kami pada 16 Disember merupakan satu tanda hitam yang kekal di Parlimen di Malaysia di mana cara penggantungan melanggar peraturan dan ini mencerminkan BN tidak sedia menjalankan Parlimen yang demokrasi. Ini membezakan BN dengan Pakatan Rakyat,” katanya.
Pada 16 Disember tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Anwar dan tiga wakil rakyat terbabit daripada menghadiri persidangan selama enam bulan.
Ia berhubung pendedahan Anwar mengenai konsep 1Malaysia, yang menyamai konsep One Israel yang diperkenalkan syarikat firma perunding antarabangsa yang pro Israel, Apco Worldwide.
Karpal, Sivarasa dan Azmin digantung kerana menghina dewan apabila menyokong Anwar dan menuntut speaker membenarkan Ketua Umum KEADILAN itu mempertahan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan