"UMNO-BN dengan bangganya mempertegaskan komitmen mereka untuk melayari ombak dan badai politik di Malaysia. Mereka dengan beraninya menyatakan kesiapsediaan menghadapi apa-apa juga rintangan yang menghalang mereka daripada terus berkuasa. Namun, suara itu amat aneh kedengarannya.
Keanehan itu disebabkan oleh gemanya bertembung dengan teriakan rakyat terhadap keserakahan mereka meratah kebahagiaan hidup rakyat.
Mereka terus bermain dengan semangat Ketuanan Melayu yang 100% perkauman walaupun perkara itu menimbulkan rendah hati bukan Melayu kerana terpaksa menerima hakikat sebagai 'hamba' di tanah tumpah darah mereka sendiri. Lebih aneh lagi golongan yang disifatkan sebagai 'tuan' itu jauh panggang dari api boleh digelar "cemerlang, gemilang, dan terbilang". Majoriti Melayu luar bandar masih dijadikan "hamba pilihan raya" dan perlu diberi rezeki sekali-sekala oleh Tuan UMNO-BN demi kuasa. Itulah hakikatnya.
Rakyat yang dibebani pelbagai masalah akibat kedudukan ekonomi yang sukar terus dibebani dengan kenaikan demi kenaikan harga barangan keperluan. Hal ini menjadikan bantuan yang diberi kepada kakitangan kerajaan dari masa ke masa sekadar RM500.oo itu tidak bernilai. Jika golongan ini merasa keperitan, bayangkanlah tahap keperitan rakyat di luar bandar yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Situasi ini tidak akan berlanjutan selamanya. Akan tiba juga ketikanya Melayu yang tertampan ke dinding tanpa pembelaan bangun menyatakan sikap dan tindakan mereka terhadap semua pengkhianatan yang mereka terima.
UMNOlah yang merompak tanah Melayu di Pulau Pinang. Mereka tidak dapat membuktikan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengambil tanah orang Melayu untuk diberi kepada pihak ketiga. Berjela-jela bukti telah diketengahkan tentang kegelojohan UMNO-BN merampas Tanah Simpanan Melayu. Bertong-tong peristiwa telah dibongkar tentang pengusiran Melayu miskin dari tempat tinggal mereka hanya atas nama pembangunan. Mereka terus merempat walaupun ramai kroni UMNO-BN kaya-raya.
UMNO terus berselindung di sebalik lalang apabila mengatakan perpaduan dalam BN berada pada tahap unggul. MCA tidak segagah mana pun apabila dipimpin oleh Aktor Porno. Imejnya merudum dalam kalangan orang Cina. Majoriti orang Cina lebih cenderung mempertahankan ketinggian moral, bukannya pemimpin yang gila seks.
Kita akan melihat pergelutan yang hebat dalam MIC tidak lama lagi. Palinivel bukanlah pemimpin yang berwibawa. Jika Najib sendiri tidak berani berhadapan dengan pemilihan, apatah lagi Presiden Gerakan yang lembek. Belum apa-apa sudah mengumumkan pengunduran. Anak buahnya pula tidak sudah-sudah menikam UMNO dari belakang, terutamanya isu menjadikan BN sebagai sebuah parti bukan gabungan. Bukanlah satu perkara yang aneh apabila UMNO tidak sedikit pun terusik dengan ngauman harimau kertas itu. Kesemua hal ini ternganga ketika Najib berhempas-pulas meminda peraturan dalam BN supaya lebih banyak kuasa diberi kepadanya.
UMNO perlu ingat bahawa parti-parti lain bukannya lembu yang boleh dicucuk hidungnya. Mereka pun akan bangun menyatakan hak, kecualilah mereka tiada maruah barang sekelumit pun. Mungkin ada pemimpin UMNO yang menyedari hal ini. Namun, seperti biasa, mereka akan mengambil jalan selamat. Idealisme inilah yang telah menjerumuskan UMNO-BN ke lembah kemusnahan dalam entah berapa ribu kali pilihan raya. Hakikatnya, mereka tidak pernah belajar daripada kesilapan itu. Yang pasti untung ialah Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan