Isnin, 6 Disember 2010

POLITIK KEMISKINAN ALA-KETUANAN MELAYU UMNO

Aku tahu benar rasa keperitan kerana miskin semenjak kecil lagi. Ibu yang mengajar otak durianku erti kemiskinan. Ibu mengopek udang. Kakak mengopek udang. Aku satu-satunya anak jantan “keluarga tanpa ayah” juga mengopek udang. Di tempat perempuan mengopek udang dan berbicara panjang lebar mengenai politik kehidupan harian dan politik suami isteri, aku seekor jantan wujud tanpa disedari untuk satu tempoh yang agak panjang kerana ibuku menurunkan kromosom X yang terlampau berpengaruh terhadap rupa wajahku. Maka mengalirlah di seluruh susuk tubuhku keinginan untuk melepaskan diri daripada belenggu gelanggang kewanitaan yang hanya aku sedar kemudian hari.

Kromosom X yang diturunkan oleh ibu kepada aku bukan sahaja mengubah cara aku menguruskan rambut otak durianku, tetapi yang paling berharga buat diriku ialah cara bagaimana aku mengharungi, merasai dan memahami kemiskinan sebelum aku sempat membaca karya Edward Said yang membuka mataku terhadap wacana orientalisme. Jangan kita menghakimi kemiskinan orang Melayu dengan kaca mata orientalisme sehingga terpedaya dengan mentaliti pemikiran kolonialis lampau dan masa kini. Lebih kurang begitulah salah satu dimensi penafsiranku terhadap teguran Allahyarham Syed Hussein Alatas yang meskipun pada satu ketika dahulu berderingan kuat dari jauh tetapi kini semakin sepi dan lembut suaranya.

Siapakah “kolonialis masa kini” dalam konteks politik kemiskinan domestik hari ini? Bacalah paparan berita media perdana saban hari. Perhatikanlah senarai syarikat yang mendapat projek besar setiap kali pengumuman dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Telitilah ke mana perginya hasil ekonomi negara setiap tahun Belanjawan Negara diumumkan oleh Menteri Kewangan. Kebarangkalian kumpulan-kumpulan orang yang sama mendapat projek besar terlalu tinggi.

Secara ringkas, dalam kalangan kumpulan tersebut, ada yang bergelar “kelompok Umnoputra”, ada juga yang bergelar “kelompok GLC”, yakni mereka yang berselindung di sebalik syarikat kerajaan berkaitan kerajaan.

Kumpulan-kumpulan sedemikianlah yang berbicara kuat mengenai pembasmian kemiskinan. Bahawa Dasar Ekonomi Baru masih diperlukan bagi mencapai objektif kerajaan berdasarkan statistik kerajaan mengenai kadar kemiskinan di Malaysia seperti berikut:

Pembasmian Kemiskinan Yang Telah Dilakukan Kerajaan BN

Tahun Peratus (%)
1970 52.4
1988 17.3
1990 16.5
1999 7.5
2002 5.1

Bahawa Model Ekonomi Baru wajar dilihat sebagai kesinambungan Dasar Ekonomi Baru kerana Kerajaan Persekutuan yang kononnya prihatin terhadap kemiskinan rakyat akan meneruskan projek dan program yang dapat membantu dan menaik taraf status golongan rakyat dalam kategori 40% berpendapatan rendah.

Tidak cukup setakat retorik mengaitkan politik kemiskinan dengan program ekonomi yang sebenarnya lebih menguntungkan sekumpulan “kelompok Umnoputra” dan “kelompok GLC”. Kelompok-kelompok elit seumpama yang kononnya prihatin dengan kemiskinan rakyat bawahan acap kali mengaitkan “Ketuanan Melayu UMNO” dengan politik kemiskinan. Bahawa “Ketuanan Melayu UMNO” merupakan pembela orang Melayu maka akan membawa penyelesaian kepada kemiskinan orang Melayu.

Ironisnya, siapakah yang menghakimi kemiskinan Orang Melayu dengan kaca mata orientalisme tetapi bertopengkan Dasar Ekonomi Baru dan “Ketuanan Melayu UMNO” yang pada satu ketika dahulu berniat baik tetapi hari ini bercampur-adukkan dengan budaya “rent-seeking” yang terlalu “embedded” dalam sanubari Melayu UMNO?

Oleh kerana tidak berupaya menjalani proses transformasi diri secara yang berimpak, maka “kelompok Umnoputra” terus-menerus membawa wacana “Ketuanan Melayu UMNO” ke seluruh pelosok desa dan berbicara tanpa segan silu mengenai politik kemiskinan.

Tetapi yang jarang-jarang sekali dianalisi dalam mesej politik kemiskinan seumpama ialah: Pertahankan “Ketuanan Melayu UMNO” maka dipertahankan kepentingan “kelompok Umnoputra”. Pertahankan kesinambungan politik kemiskinan ala-Dasar Ekonomi Baru meskipun dalam penjelmaan terbaru seperti Model Ekonomi Baru maka dipertahankan kepentingan “kelompok Umnoputra”.

Lihatlah senarai projek permulaan (EPP) yang ditandatangani sempena pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Program transformasi bukan mimpi, projek mana satu merupakan program pembasmian kemiskinan?

  • Syarikat Jerman, LFoundry menempatkan dan melabur lima loji Fabrikasi Wafer di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah dalam tempoh lima tahun dengan pelaburan permulaan RM214 juta dan pelaburan keseluruhan RM1.9 bilion.
  • Pemborong dan pengusaha peruncit tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd melabur RM1 bilion bagi membuka 14 cawangan baru dalam tempoh tiga tahun.
  • St Regis, jenama antarabangsa dalam bidang hospitaliti bertaraf enam bintang membina hotel 208 bilik dan 160 unit kediaman di KL Sentral membabitkan pelaburan RM1.2 bilion.
  • Syarikat perkhidmatan medan minyak, Schlumberger membuka hab perkhidmatan, Eastern Hemisphere Global Financial Services Hub di Bandar Utama, Petaling Jaya bagi menarik 100 syarikat multinasional untuk menempatkan operasi di Lembah Klang menjelang 2020.
  • Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberi konsesi 25 tahun kepada syarikat pembinaan dan infrastruktur, WCT Bhd untuk membina dan mengendalikan operasi kompleks integrasi di Terminal Tambang Murah (KLIA2), Sepang bernilai RM486 juta.
  • Syarikat pelaburan Asia Barat, Mubadala bekerjasama dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur bernilai RM26 bilion di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
  • Premium Renewable Energy Sdn Bhd akan membina lima loji minyak bio dalam tempoh lima tahun dengan kos loji pertama RM124 juta di Lahad Datu, Sabah.
  • Asia e-University dilantik Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Universiti Gateway untuk pembangunan pembelajaran dalam talian dan jarak jauh antarabangsa dijangka menghasilkan pendapatan negara kasar (PNK) RM341 juta.
  • Genting Berhad membina Johor Premium Outlets di Genting Indahpura merangkumi hotel, taman rekreasi air antarabangsa dan pusat beli-belah besar membabitkan pelaburan RM150 juta.

Sebab itu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (gambar kiri) ketika menyampaikan syarahan di Universiti Nasional Australia (ANU) pada 15 November 2010 berkata, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan Perdana Menteri hanya menumpukan perhatian kepada projek mega yang mengenyangkan kelompok kroni UMNO-Barisan Nasional tanpa perincian kepada program untuk membasmi kemiskinan tegar dan projek berteraskan kebajikan rakyat.

Jika aku orang Melayu yang hidup papa dan merana, setiap kali aku membaca berita atau mendengar pembesar politik berbicara mengenai kewajaran kelangsungan Dasar Ekonomi Baru dan Ketuanan Melayu pada abad ke-21, akan ku dapatkan segera pembesar suara, menghadapkannya ke arah akhbar atau pembesar politik tersebut, lalu aku memekik dengan kuat sekali: Hentikanlah ketaksuban berpolitik yang kononnya dapat menyelesaikan masalah kemiskinan orang Melayu dengan menggadaikan maruah orang Melayu. Melayu bermaruah tidak lahir dalam konteks politik kemiskinan ala-Ketuanan Melayu UMNO. Melayu bermaruah akan lahir dalam konteks baru Ketuanan Rakyat yang berjiwa rakyat dan berpaksikan keperluan golongan miskin dan golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Tiada ulasan: