Isnin, 6 Disember 2010

SATU LAGI CARA UNTUK TIPU MELAYU

KENYATAAN RESMI

Model Ekonomi Baru dan Penarikan Subsidi: Bukti Dasar Barisan Nasional
Yang Berbolak Balik dan Berat Sebelah.


Kenaikan harga sebanyak 5 sen RON 95 merupakan kenaikan kali kedua
berturut-turut dalam masa 6 bulan. Pengumuman yang dibuat oleh Dato’
Seri Idris Jala juga meliputi penarikan subsidi terhadap beberapa
barang keperluan seumpama gula(kenaikan sebanyak 20 sen),
diesel(kenaikan sebanyak 5 sen) dan gas petroleum cecair(kenaikan
sebanyak 5 sen).

Manakala Barisan Nasional menegaskan peningkatan harga tersebut adalah
kecil dampaknya terhadap rakyat, namun hala tuju dasar negara yang
terbentuk kesan dari kenaikan tersebut tidak boleh dipandang ringan.
Barisan Nasional melalui PEMANDU telah membentangkan pada sesi Hari
Terbuka Rasionalisasi Subsidi bertarikh 27 Mei 2010, bahawa sudah ada
rancangan untuk menarik balik subsidi minyak jenis RON 95 pada setiap
6 bulan. Pengumuman semalam mengesahkan akan ada kenaikan harga pada
masa hadapan, berkemungkinannya kenaikan yang lebih besar jumlahnya
dari yang dicadangkan iaitu kenaikan 10 sen setiap 6 bulan.

Penarikan balik subsidi beberapa jenis barangan juga diusulkan
termasuklah subsidi gas yang berkait rapat dengan Janakuasa Bebas yang
dimiliki segelintir elit korporat dan kroni Barisan Nasional. Namun
sehingga kini kelihatannya kenaikan harga hanyalah terhadap barangan
keperluan dan pastinya rakyat keseluruhan yang merasa pedihnya,
bukannya kroni.

PEMANDU menganggarkan sejumlah RM 1.12 billion akan dijimatkan pada
tahun 2010 sekiranya subsidi gas untuk Janakuasa Bebas serta sektor
bukan tenaga dapat dikurangkan. Ini dapat dicapai sekiranya harga gas
untuk Janakuasa Bebas dan sektor bukan tenaga naik masing-masing RM
4.65 per mmbtu(million British unit haba) serta RM 2.52 per mmbtu.
Sehingga kini, kerajaan melalui PETRONAS, berhasil menyediakan subsidi
buat Janakuasa Bebas dan industri lainnya sejumlah RM 19 billion
setiap tahun kerana harga gas selepas subsidi hanyalah RM 10.70 per
mmbtu(untuk Janakuasa Bebas), harga yang dikira amat murah jika
dibandingkan dengan harga pasaran buat gas yang diimpot iaitu RM 38
per mmbtu (sekiranya negara terpaksa mengimpot akibat dari
kekuranganpengeluaran).

Oleh itu kita mahu Perdana Menteri dan pentadbiran beliau memberi
penjelasan mengapakah mereka terburu-buru untuk menarik balik subsidi
minyak, gula dan gas petroleum cecair, sedangkan kesan dari keputusan
tersebut hanya akan membebankan rakyat terbanyak. Pada masa yang sama
kita mempersoalkan tindakan mereka kerana kebijakan tersebut tidak
menjurus pula terhadap golongan elit korporat terutamanya mereka yang
rapat dengan pemerintah.

Tambahan pula sehingga kini kita hanya dihamburi janji sedangkan
perubahan yang dijanjikan hanya sekadar suatu wayang dan permainan
komunikasi terutamanya berkaitan sistem pengagihan subsidi. Kita
berpandangan Perubahan mesti disegerakan kerana ianya mustahak demi
memastikan bantuan dari pemerintah sampai kepada golongan
berpendapatan rendah sekaligus meringankan beban mereka berhadapan
dengan kos sara hidup yang meningkat.

PEMANDU begitu tangkas memastikan subsidi ditarik balik, akan tetapi
begitu perlahan mengungkapkan penyelesaian untuk mengagihkan semula
subsidi demi kepentingan rakyat terbanyak dan miskin.

Justeru kita ragu keberkesanan serta iltizam untuk melaksanakan
perubahan walaupun bahagian terakhir Model Ekonomi Baru baru sahaja
dibentangkan. Model Ekonomi Baru diwar warkan sebagai satu rancangan
untuk membawa perubahan terutamanya buat sistem ekonomi, namun sejarah
menjadi saksi apabila tiba waktu untuk melaksanakannya, mereka
sentiasa gagal.

Barisan Nasional cuba meyakinkan kita betapa penarikan balik subsidi
adalah perlu demi mengurangkan jurang defisit yang sebenarnya akibat
dari keborosan selama ini. Akan tetapi apa yang mereka cuba lakukan
hanya mengelak dari persoalan sebenar isu subsidi iaitu harga yang
tidak munasabah buat Janakuasa Bebas, kebanyakannya milik kroni.

Lebih menyedihkan, RM 126 juta yang berjaya dijimatkan dari penarikan
balik subsidi gula sebanyak 20 sen pada 16hb Julai lalu itu lebih
kecil jumlahnya jika hendak dibandingkan dengan bayaran kepada PEMANDU
sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini (pada 3hb Disember 2010). Di
mana letaknya keabsahan moral kerajaan memerintah ini yang mengambil
RM 126juta dari rakyat terbanyak demi untuk membayar RM 66 juta kepada
penasihat yang membantu menubuhkan sebuah unit kerajaan dan RM 65 juta
pula buat keseluruhan operasi PEMANDU untuk tahun 2010.

Pastinya saya mendengar pengumuman berkaitan dengan Model Ekonomi Baru
dengan rasa penuh curiga. Barisan Nasional akan cuba sedaya upaya
untuk mengelirukan rakyat dengan segala macam pengumuman kononnya demi
kebaikan sektor awam, namun pada masa yang sama boros membayar mereka
yang berkhidmat dalam PEMANDU dengan bayaran yang mampu menyaingi
sektor swasta.

Dokumen Model Ekonomi Baru menumpu mempromosi liberalisasi dan
pembatalan kawal selia, akan tetapi pada masa yang sama memberi lesen
kepada YTL untuk menjayakan projek 700MHz tanpa tender terbuka. Berita
ini pastinya mendapat cemuhan awam dan kalangan mereka dari industri
telekomunikasi.

Pastinya wujud corak ketidaktuntasan di antara pengumuman yang dibuat
dan pelaksanaan oleh pemerintah. Ini tidaklah mengejutkan kerana kita
sedar pemerintah kini taksub untuk mencipta ilusi indah hasil dari
bantuan firma perhubungan awam, yang mana upahnya dibayar dari dana
awam. Bagi mereka yang paling mustahak adalah untuk terus kekal
berkuasa.

Justeru Pakatan Rakyat bersama dengan rakyat keseluruhannya
bertanggungjawab untuk terus memerhati dan memastikan pemerintah
membuat keputusan demi kemaslahatan rakyat serta negara. Kita tidak
boleh gagal, kerana akibatnya ialah harga minyak RM 2.10 seliter dalam
masa setahun lagi.


ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
4HB DISEMBER 2010

Tiada ulasan: