Ahad, 21 November 2010

Kepimpinan Anwar Yang Kucar-kacir


Soalan ke mana PKR selepas ini adalah satu soalan yang amat sukar dijawab. Ini adalah disebabkan Anwar sendiri menyerlahkan satu pola pemikiran yang tidak stabil.

Saya fikir ini adalah kesan bebanan emosi yang ditanggungnya dan campuran pengaruh dan hasutan yang didengarnya. Tak tahu mana satu mesti didengar. Cakap Azminkah, cakap Wan Azizahkah, cakap Nurul Izzahkah? Mungkin juga secara halus cakap Shamsidar?

Dengan lain perkataan, cakap-cakap akar umbi mudah tenggelam kerana Anwar kesuntukan masa. Dia suntuk masa kerana serangan bertubi-tubi pihak kerajaan melalui Kes Liwat Saiful Bahari.

Di samping itu dia juga mudah melatah apabila ada serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh politikus murahan seperti Nallakaruppan, Ezam, Lokman Adam dan Roslan Kassim. Semua ini adalah politikus upahan yang sudah tidak ada harga diri dalam dunia politik.

Yang paling galak mencaci Anwar sekarang ini ialah Zulkifli Nordin. Saya ingin rakamkan sesuatu mengenai politikus murahan ini untuk rakaman sejarah.

Kali terakhir saya bercakap dengan Zul ialah melalui telefon bimbit Gobalakrishnan di Restoran Junjung Kulim. Ketika itu ada hanya sebulan lagi sebelum mahkamah memutuskan kes rayuan Aziz Sheikh UMNO. Dia telah diugut untuk akur dan berpaling tadah kalau tidak mahu didakwa kerana memalsukan dokumen penyata akaun pilihan raya di Kuala Langat.

Zul terpaksa akur kerana kalau didakwa dia akan kalah dan gugur hak menerima pencen sebagai wakil rakyat.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Zul ini adalah insan yang mudah lupa daratan.

Semasa dia berkempen dahulu, dia dapat ihsan seorang tokoh korporat yang meminjamkan banglonya di Kulim secara percuma, dengan syarat selepas pilihan raya, Zul memulangkan kunci banglo itu.

Selepas menang, Zul berulang-alik KL-Kulim dengan menaiki bas, dan melawat kawasan pilihan raya dengan menggunakan kereta pembodeknya. Dia sudah pun melupakan wakil calon yang mempengaruhi para pengundi di Kulim Bandar Baru. Kalau bersua pun dia tak mahu belanja minum kerana katanya itu adalah satu rasuah.

Dalam satu masa yang singkat Zul mampu membina sebuah rumah baru di kampungnnya. Laman blognya tidak menceritakan perkara itu. Malahan tidak pula halaman blog itu menceritakan penyata akaun wang yang diterima sebagai sumbangan kempen pilihan raya yang diterima daripada para penderma.

Berbalik kepada cerita kunci banglo yang dipinjamnya, si pemilik terpaksa pergi berjumpa Zul untuk mendapatkan kunci banglonya. Bila dibuka rumah itu berserabut kerana tidak terurus. Terpaksalah tokoh korporat itu menggaji orang membersihkannya semula. Dia fikir setakat itu sahajalah hubungannya dengan Zul.

Beberapa minggu kemudiannya, dia pulang ke banglo itu dan mendapati keadaanya tunggang-langgang lagi.

Dipendekkan cerita, semasa Zul menyerahkan kunci banglo itu, dia sudahpun membuat kunci pendua rumah tersebut dengan niat mahu terus menggunakan banglo itu secara percuma. Saya tidak hairan kalau satu hari nanti ada berita mengatakan bagaimana Zul memberitahu orang, itu adalah banglonya juga.

Orang seperti Zul naik melonjak di persada politik kerana ditunjuk oleh Anwar bertanding mewakili PKR. Begitulah sikap Anwar memilih calon politik seperti orang biasa memilih kuih telunjuk di musim raya.

Kerana kesilapan itu, PKR kini mempunyai wakil rakyat daripada golongan posmen dan bekas guru dan pegawai tentera yang haprak sehingga mereka mudah berpaling tadah kerana dijulap oleh UMNO.

Kenapakah Anwar boleh buat silap memilih orang-orang seperti ini sebagai calon wakil rakyat?

Anwar ikut sahaja apa yang Azmin rekomen. Kerana Anwar tidak ada masa untuk menilai seseorang individu sebagai calon pelaris parti. Azmin tidak memberikannya ruang untuk berbuat demikian.

Oleh kerana calon-calon itu tidak berkalibar dan berwibawa, adalah amat mudah mereka diperangkap oleh BN agar melompat parti. Tidak perlu banyak wang kerana kesilapan setiap individu itu boleh dirujuk ke mahkamah membuatkan mereka gentar.

Seperti kes Zulkifli Nordin, dia sendiri buat salah. Kalau dia tidak akur pada ugutan dia boleh digugurkan sebagai wakil rakyat dan sijil amalan guamannya boleh digantung. Lantas Zul jadi seorang politikus yang tidak berprinsip, dan terpaksa menjadi burung tiung UMNO sekali sekala. Dia tidak malu berbuat demikian sebab ada elaun khas. Mungkin dia sudah dijanjikan jawatan senator untuk musim akan datang.

Status Zul sekarang ini tidak jauh bezanya dengan status Ustaz Duit yang pernah menjadi Imam di Masjid Negara, satu ketika dahulu.

Berbalik semula kepada Azmin, ada pihak yang menyangka bahawa Anwar terlalu rapat dengan Azmin kerana dua sebab.

Satu, kerana menyangka Azmin pernah menerima sumbangan penderma semasa Anwar dalam penjara. Itulah wang yang digunakan oleh Azmin untuk menyara kehidupan anak-anak Anwar termasuk kos pelajaran mereka di luar negara.

Kedua kerana Azmin mempunyai segala maklumat aktiviti Anwar semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Saya tidak fikir Anwar amat bergantung kepada Azmin untuk hidup.

Harus dirakamkan di sini, semasa Anwar dalam penjara, anak-anak beliau telah dihantar belajar ke luar negara, untuk mengelakkan mereka mengharungi tekanan kes liwat tersebut. Siapakah yang membiayai perbelanjaan mereka?

Orang yang mengongkosi pembiayaan pengajian anak-anak Anwar dan sara hidup kelurganya semasa Anwar berada di penjara ialah Dr. Munawar Anees. Inilah penulis upahan yang dirodok juburnya oleh polis untuk membuktikan jubur itu telah dibolosi oleh Anwar Ibrahim.

Saya batik spring kepada Dr. Munawar Anees. Dia bukan berdarah Melayu dan isterinya bukan orang Melayu. Dia adalah kelahiran Pakistan dan isterinya kalau tidak silap saya adalah Arab berketurunan Algeria.

Dr. Munawar Anees telah mengusahakan derma masyarakat Islam di Amerika dan luar negara dan mewujudkan sebuah tabung untuk membiayai belanja pelajaran anak-anak Anwar. Kerana itu saya percaya, sekali-sekala Anwar ke luar negara untuk berucap memenuhi program yang diatur oleh Munawar. Sayang, khidmatnya digunakan untuk membantu orang lain di negara Islam yang lain.

Kita boleh lihat sekarang ini, Anwar Ibrahim sentiasa sibuk kerana disibukkan. Dia menghadapi kes liwat supaya mahkamah sentiasa sibuk dan tidak perlu memikirkan kisah pembunuhan Altantuya, ataupun kes royalti minyak Kelantan ataupun rasuah Mahathir sepanjang pemerintahannya.

Anwar sibuk di luar negara kerana mahu membalas budi orang yang banyak berjasa kepadanya semasa dia dalam penjara.

Anwar sibuk di negeri sendiri kerana kes liwat Saiful Bahari yang sengaja diada-adakan supaya dia tidak ada masa untuk PKR. Jadi, setiap kali dia ditanya hal ehwal parti, dia beri jawapan yang disediakan oleh Azmin. Kesuntukan masa membuatkan Anwar silap pertimbangan.

Tiada ulasan: