Hiruk pikuk jadinya apabila kelas kami tidak memiliki ketua. Semuanya tidak mahu menggantikannya. Akhirnya saya membuat tindakan drastik dengan merampas kuasa dan dilantik sebagai ketua baru.
Lantikan secara sokongan minoriti ini tidak bertahan lama. Dua minggu kemudian saya digulingkan dan pilihanraya kelas terpaksa diadakan semula. Keputusannya majoriti masih mahukan ketua lama jadi saya tersingkir.
Katakanlah cikgu menyokong perlantikan saya sebagai ketua sekalipun sudah pasti saya menolak kerana takut diboikot kawan - kawan sekelas. Di sekolah asrama merekalah yang paling rapat dengan kita. Susah senang pahit maung makan nasi kawah ikan jaket sekalipun kami menghadapinya bersama - sama.
Ini cerita 10 tahun lalu cerita lucu anak remaja yang sedang membesar. Biarpun naif dari sudut usia namun kami memahami sosok daulah dan konsep demokrasi. Sesiapa yang memegang suara majoriti bermakna dialah yang menang.
Di negeri Perak 56% rakyat menyokong Pakatan manakala 44% masih bingung mengundi Barisan. Suara majoriti mahukan Nizar sebagai Menteri Besar yang sah. Tidak timbul isu Najib jumpa Sultan bersama - sama 28 Adun BN dan 3 Bebas. Ini kerana status ADUN Bebas itu boleh dipertikai kerana terdapat surat letak jawatan yang ditandatangani sendiri oleh mereka.
Katakanlah surat itu tidak lengkap sekalipun kita masih boleh mempersoal isu moral -- di mana terdapat dakwaan mereka memperoleh habuan sebagai dorongan untuk menyokong pembentukan kerajaan baru.
Jika kes ini disiasat rapi dan didapati ada unsur rasuah maka status sokongan mereka boleh dipertikai.
Secara teknikalnya Zambry tidak memiliki sokongan majoriti. Dia sendiri sudah dihalau keluar dewan oleh tuan speaker Sivakumar. Turut digantung adalah beberapa ADUN BN yang mengaku diri mereka Exco kerajaan negeri Perak.
Arahan Speaker yang membuat keputusan mengikut peraturan mesyuarat wajib diikut. Di sebalik garangnya Gobind Singh Deo sekalipun dia tetap akur pada keputusan tuan Speaker yang menggantungnya di Parlimen. Zambry ini sudah bertaraf lanun gangsta 5 star. Bukan saja arahan malah speaker itu sendiri pun turut sama dibakul sampah.
Jika usul undi tidak percaya dilancarkan di Sidang DUN Perak nescaya Zambry sudah pasti rebah tersungkur kerana tidak memiliki kuasa majoriti di dalam dewan. Maka Istanalah premis terbaik untuk dia menggonggong kuasa yang bukan haknya.
Menggunakan Istana samalah seperti meminta sokongan Cikgu kelas dalam kes saya sedekad lalu. Apakah Zambry tidak sedar tindakan dia ini menyebabkan prinsip - prinsip Gentleman yang seharusnya luhur dan bermaruah terhakis lalu memusnahkan jati dirinya sebagai anak jantan?
Atau demi kuasa dunia yang sementara ini dia sanggup dipandang keji oleh majoriti rakyat Perak?
Sebagaimana nasib saya yang hanya mampu bertahan 2 minggu sebagai ketua kelas seperti itulah jua nasib sama yang bakal menimpa Zambry.
Cuma dia kini hanya menghitung hari sebelum tersingkir dalam keadaan aib lagi mengaibkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan