Cebisan fakta yang saya tulis
tentang UMNO sejak dua hari yang lepas, susah untuk UMNO memahaminya. Dalam
UMNO hanya seorang sahaja ahli yang bekerja keras, iaitu Najib, Presidennya
sekarang. Penjelajahan Najib ke seluruh negara telah membelanjakan wang rakyat
ratusan juta ringgit. Di sini UMNO juga terlupa yang rakyat sedang memerhatikan
tindakan pimpinan UMNO dalam usaha mendapatkan mandat dalam PRU kali ini.
Akhir-akhir ini Dr Mahthir sahaja yang keluar untuk menyokong Najib
habis-habisan. Seorang sahabat saya berseloroh, “sokongan Mahathir itu ada makna
tu!”
Dalam dua posting saya yang
terdahulu, saya telah melepaskan apa
yang ada tersimpan di dalam jiwa saya dan orang-orang yang sama pemikiran
seperti saya memahaminya. Seperti biasa orang-orang UMNO tidak akan faham
sampai bila-bila.
Dalam keadaan yang tidak menentu
UMNO sendiri tidak dapat meyakinkan partinya sendiri yang mereka akan berjaya
mengekalkan kuasa di Putrajaya. Dr Mahathir kali ini bekerja keras untuk
mempertahankan UMNO, parti yang beliau tubuhkan dan juga parti yang beliau
sendiri mengakui sebagai sebuah pertubuhan yang telah busuk sampai ke ususnya.
Hasil dari warisan pimpinan UMNO
yang begitu lemah oleh Mahathir, rakyat tidak lagi memberikan penghormatan yang
tinggi kepada parti itu lagi. Di sinilah kegagalan Mahathir kerana semasa
beliau berkuasa beliau tidak pernah memikirkan nasib masa depan UMNO itu
sendiri. Beliau terlalu tertumpu untuk menguatkan kekuatan peribadi beliau dan
mengorbankan masa depan partinya. Beliau sendiri tidak dapat menerima kenyataan
yang pimpinan negara mesti dibentuk dan dibina.
Justeru apabila beliau meletakkan
jawatan maka yang ada di keliling beliau hanyalah kumpulan pemimpin yang tidak
sepatutnya menjadi pemimpin. Terlalu ‘engrossed’ untuk memperkuatkan kekuatan
peribadi beliau maka partinya secara tidak disedari telah menghadapi ‘vacuum’
kepimpinan yang serius. Maka Pak Lah lah yang beliau lantik untuk menggantikan
beliau berdasarkan kepada kenyataan yang Pak Lah merupakan Naib Presiden yang
tertinggi semasa itu.
Semalam Mahathir mengaku
kesilapan kerana memilih Pak Lah sebagai pengganti beliau. Kalau kita hendak
tuai apa yang terbit, kata-kata Mahathir ada kebenarannya. Pak Lah kepada beliau merupakan
pilihan yang salah. Mahathir sedang mengalih dan menganjakkan semua kesalahan
beliau kepada Pak Lah. Mentang-mentanglah Pak Lah tidak menjawab kerana beliau
tidak mahu lagi menyibuk setelah beliau bersara.
Kalau Mahathir tidak melantik Pak
Lah semasa beliau bersara siapa pula yang sepatutnya mengambil alih beliau? Kalaulah
beliau memilih Najib semasa itu, ramai merasakan yang keadaan sekarang akan
lebih teruk dari sekarang. Jadi kenyataan Mahathir yang beliau melakukan
kesalahan kerana memilih Pak Lah untuk menggantikan beliau itu amat ‘personal’
dan nampak sangat dendam kesumat beliau terhadap penggantinya itu.
Mahathir tidak menyedari
selembut-lembut Pak Lah, beliau adalah seorang yang degil dan sangkaan Mahathir
yang Pak Lah akan membenarkan beliau (Mahathir) masuk campur dalam
pentadbirannya adalah salah. Mahathir tidak mengenali Pak Lah dengan
sebenarnya. Walaupun Pak Lah itu seorang yang lembut, tetapi lembut beliau
bukan untuk disudu. Kalau Pak Lah itu keras orangnya, keras beliau itu bukan
untuk ditakek. Oleh kerana Pak Lah tidak membenarkan Mahathir untuk menyudu
atau menakek beliau (Pak Lah), maka Mahathir kecewa dan mula membidas Pak Lah
‘without mercy’. Kalaulah Pak Lah membenarkan Mahathir masuk campur seperti
Najib sekarang ini Mahathir tidak akan mengkritik Pak Lah sedemikian rupa.
Menyalahkan Pak Lah seratus
peratus adalah tidak rasional untuk Mahathir melakukannya. Kecelaruan negara
kita bukan dimulakan oleh Pak Lah. Ia bermula dari Mahathir lagi. Pengakuan
Mahathir yang beliau selalu salah memilih penggantinya itu adalah benar. Musa adalah lantikan beliau, Ghaffar Baba pun
lantikan beliau. Selepas Ghaffar, Anwar Ibrahim pula dan selepas Anwar, Pak
Lah. Semua lantikan beliau akhirnya tidak bersesuaian dengan beliau (Mahathir).
Kalau beliau tidak suai dengan semua pihak, maka Mahathir mesti melakukan introspeksi
dirinya sendiri.
Sesungguhnya yang membuatkan
beliau tidak bersesuaian dengan semua timbalan atau pengganti beliau itu sudah
cukup membuktikan Mahathir memang tidak boleh bersesuaian dengan semua orang
terutamanya mereka yang mempunyai pengaruh yang Mahathir takuti. Itu sahaja
yang boleh membuktikan kenyataan ini.
Sekarang timbul satu persoalan
lagi terhadap Mahathir. Jika semua orang yang disokongnya akhirnya terbukti
yang itu merupakan kesilapan Mahathir memilihnya, apa pula alasan untuk kita
yakini yang pilihan beliau untuk menyokong Najib untuk terus menjadi pemimpin
nombor satu negara itu adalah tindakan yang tepat untuk beliau.
Bagi saya, jika lantikan beliau
dahulu tidak seorang pun yang bersesuaian untuk negara, saya juga menjangka
yang suatu hari Mahathir akan bertelagah dengan Najib. Mahathir akan bergaduh
dengan Najib seperti beliau bergaduh dengan Pak Lah jika Najib tidak memberikan
keistimewaan terhadap anakandanya yang bernama Mukhriz untuk menjadi pemimpin
negara di masa depan.
Tindakan Mahathir semuanya
bersandarkan kepada politik peribadi dan keluarga beliau. Itulah sebabnya
rakyat tidak mahu memberikan sokongan kepada Mahathir kerana rakyat sudah
berfikir dan mereka tidak mahu lagi dilaga-lagakan oleh Mahathir kerana Mahathir
hanya bertindak untuk kepentingan beliau dan keluarga beliau sahaja.
Tindakan Mahathir dengan sukarela
melakukan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan kepada penyelia kemas atau
pegawai penerangan khas jabatan penerangan memang tidak ada siapa yang
mengagaknya akan berlaku. Kita memilih untuk menyakinkan diri kita yang
Mahathir akan menjadi seorang negarawan besar negara, tetapi tindakan beliau
sekarang telah menjatuhkan martabat beliau ke tahap penolong kepada Ahmad Maslan
sahaja.
Pendeknya kita memang sudah
bersetuju kepada satu formula baru dalam memilih seseorang pemimpin. Formulanya
senang sahaja. Formulanya ialah, kita jangan menyokong sesiapa yang disokong
oleh Mahathir, kerana sesiapa yang disokong oleh Mahathir suatu hari nanti
akan menjadi pemimpin yang lemah dan kurang kegunaan dan faedah untuk negara.
Seperti yang kita dengar
akhir-akhir ini Mahathir sedang menyokong Najib dan kumpulannya. Apabila itu
pilihan Mahathir maka benarlah tindakan ramai rakyat menolak pilihan Mahathir
kerana tidak seorang pun yang disokong oleh Mahathir itu tidak menghadapi
masalah. Baik Musa, Ghaffar, Anwar dan Abdullah Badawi semuanya bermasalah.
Kalau kita ikut kehendak Dr
Mahathir untuk menyokong Najib, ia bermakna kita menyokong calon yang
salah seperti yang terbukti dengan pewaris-pewaris kepimpinan Dr M yang
lalu. Ini merupakan satu kebenaran dan Mahathir sendiri mengakuinya
semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan