Khamis, 19 Julai 2012

Kakitangan SYABAS kekal kecuali pengurusan kanan dalam proses ‘step-in’, kata Xavier

Semua kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) akan dikekalkan dalam proses “step in” kerajaan negeri Selangor kecuali pengurusan kanan syarikat tersebut, kata Ahli Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar, dalam sebuah sidang akhbar hari ini.
“Semua kakitangan SYABAS dibawah kategori teknikal dan kakitangan serta pegawai pengurusan dan pentadbiran peringkat pertengahan akan dikekalkan manakala pegawai-pegawai di peringkat pengurusan kanan akan dirombak semula,” kata Dr Xavier.
Dr Xavier meminta agar kakitangan SYABAS bertenang dan tidak perlu merasa cemas.
“Kita harap kakitangan SYABAS yang banyak pengalaman serta berdedikasi kepada syarikat agar tidak berasa cemas terhadap masadepan mereka dalam proses ‘step-in’ Kerajaan Negeri tidak berapa lama lagi,” kata Dr Xavier lagi.
Kerajaan Negeri membidas saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, agar Selangor perlu mengemukakan rancangan dan pelan mereka untuk menguruskan bekalan air di negeri itu, jika berhasrat mahu mengambil alih peranan itu daripada SYABAS seperti yang disiarkan oleh beberapa media perdana pada hari ini.
“Kerajaan Negeri curiga dengan tindakan beliau sebagai orang nombor dua Negara dan juga seorang  penjawat awam yang bercakap menyebelahi SYABAS sebuah syarikat yang berpaksikan  keuntungan komersial, mendahului kepentingan syarikat dan pemegang-pemegang sahamnya sahaja,” kata Ahli Exco itu lagi.
“Dalam kata lain Muhyuddin lebih mengutamakan keuntungan sebuah syarikat melebihi kepentingan lebih 5.7 juta orang rakyat Selangor yang menggunakan air untuk keperluan harian mereka.
“Sepatutnya Muhyiddin menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat Selangor dan bukannya kepentingan sebuah syarikat semata-mata.”
Dr Xavier juga menegaskan SYABAS tidak mempunyai sebarang kuasa (authority) untuk mencadang atau mengumumkan sebarang bentuk program catuan air (water ration) kerana SYABAS tidak diperuntukan kuasa tersebut di dalam perjanjian konsesi air tersebut.
SYABAS juga katanya lagi, mempunyai tanggungjawab moral kepada rakyat Selangor.
“Hanya Kerajaan Negeri diberikan kuasa mengumumkan catuan air, itupun hanya dibenarkan dalam situasi kecemasan dan darurat setelah dibawa dalam mesyuarat Majlis Gerakan Negeri (Mageran),” kata Dr Xavier.
“Kita juga menyarankan SYABAS agar berhenti membuat kenyataan mengenai apa-apa catuan air kerana Syabas dilihat berlagak umpama sebuah parti politik.”
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengumumkan akan menggunakan kuasa di bawah klausa 32 perjanjian konsesi air untuk ‘step in’ dalam memantau perkhidmatan operasi SYABAS baru-baru ini.”

Tiada ulasan: