Sabtu, 26 November 2011

Saksi kepada fenomena dalam diam.. Rakyat semakin di tindas.

Oleh : NURUL IZZAH

Ada kayu diukir indah berseni; Ada kayu dibakar merah membara; Diam-diam ubi, untunglah petani; Diam-diam korupsi, rugilah negara;

Dalam diam ramai mendapat laba dan dalam diam ramai mendapat habuan berjuta; tetapi sebenarnya rakyat Malaysia yang terdiam menyaksikan pelbagai fenomena dalam diam. Rakyat sengsara di dalam diam, tetapi sebahagian mereka yang terpilih gembira dalam diam kerana kebenaran sebelumnya tidak dimuatkan dalam akhbar; dalam makalah juga didiamkan, demikian di kaca televisyen. Apa tersiar hanya khabar gembira kejayaan hambar yang menjadi gugusan mimpi siang hari.

Pun begitu, dengan kewujudan laman-laman berita alternatif dan sumber maklumat lainnya, rakyat mengetahui juga, dalam diam berapa individu di lantik menjadi senator; atas dasar apa, kita hanya boleh berspekulasi dalam diam. Tahukah kita dalam diam sebanyak 44 Ahli Dewan Negara dilantik kerajaan tanpa rasional serta penjelasan sumbangan mereka ini kepada negara?

Ada juga yang merasionalisasi sumbangan mereka ada kaitannya dengan kicauan murai menghina dan mencerca burung personaliti pembangkang. Ya, dalam diam, murai-murai upahan ini dapat habuan lumayan, dalam diam, nilaian berpuluh ribuan. Dalam diam seorang senator yang hanya duduk diam memanaskan kerusi Dewan Rakyat mendapat habuan seperti berikut. (cuba baca dalam diam)

Elaun mesyuarat : RM200 sehari untuk hadiri persidangan Majlis Parlimen
Elaun keraian : RM1,500
Bayaran khas : RM750 sebulan
Elaun hidup harian : RM150 bagi tiap 24 jam bertugas rasmi di luar negara.
Elaun RM100 perjalanan: Jarak tidak kurang 32 km dari pejabat/tempat kediaman MP
Elaun bulanan tetap perjalanan: RM750 sebulan
Elaun tetap pemandu kereta : RM1,200 sebulan.

Dalam diam: berapa undi pos bertambah dan berapa pula undi askar Wataniah tersenarai selaku undi pos yang dirancang diwujudkan di seluruh kawasan Parlimen di bumi Malaysia. Hal ini berlaku sedang pengumuman dibuat kononnya sistem pilihan raya akan melalui proses reformasi yang menyeluruh!

Dalam diam: jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang diluluskan dari 2008 hingga Ogos 2011 sebanyak 27,293 permohonan. Jumlah ini tidak termasuk penduduk tetap yang sedang rancak diberikan hak mengundi setelah dijadikan warganegara. Dalam diam: RM437 bilion hutang ditanggung negara yang kini hampir mencecah 55 peratus daripada Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK) yang semakin menghampiri paras had yang bertentangan undang-undang negara, memetik Laporan Ekonomi Kerajaan Pusat 2010/11.

Dalam diam: inflasi naik mendadak tetapi kerajaan kata ia masih lagi rendah tahap 3.4 peratus. Mana mungkin boleh naik, kayu ukuran yang diguna hanyalah barang terkawal? Dalam diam: berapa jumlah jutawan dicatat di Malaysia, yang kini mencecah 39,000 -antara yang tertinggi di Asia Tenggara sedangkan negara berhadapan dengan hutang beratus bilion, bagaimana negara mencipta jutawan sedangkan berjuta-juta rakyat sengsara memikirkan setiap hari mencari sesuap nasi. Jumlah cukai yang dibayar mereka bergaji RM20,000 atau RM200,000 sebulan sama saja! Sebaliknya, hendak juga dipaksa rakyat, tidak kira miskin atau kaya, membayar cukai GST nanti!

Dalam diam: sejak April 2010 sehingga kini, hampir satu juta rakyat sudah meninggalkan negara mencari kemakmuran di negara lain, kerana mereka dalam diam berasa kecewa dengan apa yang berlaku di dalam negara ini. Dalam diam - rujuk laporan Ketua Audit Negara - saban tahun seribu satu pembaziran berlaku, namun bila diambang bankrupsi, rakyat dipersalahkan, kerana sudah terbiasa subsidi.

Dalam diam; kedai-kedai runcit orang Melayu dirubah imej dan wajah menerusi program Tukar. Sebenarnya bukan sangat nak menolong; Pak menteri nak pastikan kedai-kedai runcit luar bandar boleh Dicukai nanti menerusi cukai baru GST! Oleh itu, bukankah sudah tiba masanya rakyat Malaysia membuat keputusan dalam diam, seperti api di dalam sekam?

Tiada ulasan: