Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata, kepercayaan bahawa hanya Umno yang boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat sebenarnya hanya mitos lebih setengah abad.
“Hari ini, KEADILAN sudah bersedia untuk menerajui gerakan rakyat untuk memecahkan mitos ini. KEADILAN akan menerajui Malaysia tanpa Umno.
“Sudah tiada lagi harapan rakyat yang boleh disandarkan kepada Umno. Tidak ada lagi alasan rasional yang boleh mempertahankan kerakusan serta pengkhianatan Umno kepada rakyat.
“Fitnah, angkuh, zalim dan rasuah menjadi sebahagian dari jasad dan roh Umno. Umno kini menjadi teras kepada teras politik gelap,” kata Azmin dalam ucapan dasarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.
Tambah Azmin, Kongres kali ini adalah persediaan KEADILAN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dengan menjadikan Johor sebagai kubu terakhir yang akan ditembusi, meskipun dimomokkan bahawa negeri ini adalah kubu Umno.
“KEADILAN dan Pakatan Rakyat telah membuktikan keunggulannya mentadbir beberapa buah negeri berteraskan disiplin dan amanah. Prinsip KEADILAN jelas, khazanah adalah hak rakyat dan bukannya kurniaan penguasa.
“KEADILAN sebagai parti yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat harus menggalas tanggungjawab dan harapan rakyat seluruhnya untuk mempunyai kehidupan baru yang jauh lebih baik,” tegas Azmin.
Lebih 1,000 perwakilan termasuk jemputan pemerhati antarabangsa dan wakil-wakil Pakatan Rakyat hadir ke perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kali ke-8 di Pulai Springs Resort, Johor Bahru pagi ini.
Program pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang menyampaikan puisi.
Terdahulu, pembukaan majlis dimukan dengan bacaan doa oleh Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus. Perwakilan kemudiannya secara beramai-ramai menyanyikan lagu rasmi KEADILAN, ‘Arus Perjuangan’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan