Isu Royalty minyak: Muhyiddin cuba memulas tangan rakyat Kelantan
TS Muhyiddin Yassin berkata isu royalti minyak akan mudah diselesaikan jika PAS dan UMNO berada dalam satu pasukan. Moral politiknya ialah Muhyiddin sedang cuba mengumpan PAS untuk bersama UMNO dan bersatu bagi penyelesaian isu royalti minyak yang sedang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan. Dengan ungkapan Muhyiddin ini ianya menjelaskan satu dua perkara kepada kita.
Pertamanya, UMNO dan kerajaan persekutuan mengakui yang kerajaan negeri Kelantan ada hak ke atas royalti minyak seperti yang termaktub di dalam perjanjian yang ditandatangani di antara Pertronas dan rakyat negeri Kelantan pada bulan Mei 1975 dahulu.
Keduanya, sekarang kerajaan persekutuan mengakui yang hak itu boleh diperolehi jika PAS bersatu dengan UMNO dan isu itu diselesaikan setelah PAS bersama UMNO. Masalahnya, dalam perjanjian pada 27 Mei 1975 itu adalah antara kerajaan dan rakyat Kelantan yang diwakili oleh Menteri Besar PAS semasa itu iaitu Dato' Mohamad Nasir.
Saya telah menulis secara terperinci dalam posting saya dua tahun yang lepas dan saudara masih boleh membacanya jika saudara mengambil sedikit usaha untuk mencarinya di dalam arkib blog http://aspanaliasnet.blogspot.com/. Jika kita kaji dalam-dalam, kita akan mendapat pelajaran perbezaan pemimpin dahulu dan sekarang. Muhyiddin nampaknya hendak menggunakan royalti minyak untuk mendapatkan sokongan PAS bagi membantu UMNO ketika parti itu (UMNO) sedang terdesak yang amat sangat.
Muhyiddin seorang Timbalan Perdana Menteri tidak faham atau saja-saja tidak mahu faham yang perjanjian itu adalah antara Petronas dan rakyat Kelantan, bukannya antara UMNO dengan PAS. Semasa perjanjian itu ditandatangani kerajaan Kelantan semasa itu, adalah kerajaan pimpinan PAS yang diketuai oleh Dato' Mohamad bin Nasir sebagai MBnya.
Minyak yang dikeluarkan di persisiran pantai Kelantan itu adalah kepunyaan rakyat Kelantan, tidak kira mereka ahli PAS, UMNO, MCA atau mana-mana parti sekali pun. Jelas dalam perjanjian itu bahawa Kelantan berhak menerima 5 peratus daripada harga FOB (free on board) minyak tersebut dan dibayar secara tunai dua kali setahun.; iaitu pada bulan Mac dan bulan September setiap tahun. Ini sudah ditandatangani.
Kenyataan Muhyiddin itu membayangkan yang beliau tidak menghormati semangat persekutuan seperti yang termaktub di dalam perjanjian persekutuan pada tahun 1948 dahulu.
Walaupun Muhyiddin seorang Timbalan Perdana Menteri, elok kita ingatkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu itu wujud hanya pada tahun 1948 setelah negeri-negeri yang berdaulat termasuk Kelantan bersatu dengan negeri-negeri lain dalam satu persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu dan selepas itu menjadi Persekutan Malaysia setelah Sabah dan Sarawak menjadi ahli-ahli baru kepada persekutuan itu.
Setiap negeri yang ada di dalam persekutuan ini adalah negeri-negeri yang berdaulat dan mempunyai Legislatifnya sendiri. Kedaulatan negara Persekutuan Malaysia itu datangnya daripada kedaulatan negeri-negeri yang berada di dalam persekutuan itu.
Di Putrajaya itu bukannya kerajaan pusat seperti negara-negara unitari, sebaliknya di Putrajaya itu adalah kerajaan Persekutuan. Takkanlah perkara yang begitu asas ini pun tidak difahami oleh seorang Timbalan Perdana Menteri yang sedang berusaha hendak menjadi PM dalam masa yang singkat ini.
Oleh kerana itu kerajaan persekutuan mesti menghormati rakyat negeri Kelantan yang berdaulat itu dan menghormati perjanjian pada Mei 1975 itu sebagai satu perjanjian dengan sebuah negeri dan rakyat yang berdaulat.
Kerajaan persekutuan tidak payah bersatu dengan PAS untuk memberikan royalti itu kerana perjanjian itu tidak kena-mengena dengan PAS atau UMNO. Ianya perjanjian antara Petronas dengan rakyat Kelantan. Parti mana pun yang memerintah di Kelatan itu berhak untuk mendapatkan royalti seperti yang telah di tandatangani itu.
Kalau parti KITA yang memerintah negeri Kelantan, rakyat Kelantan tetap berhak ke atas royalti minyak itu. Begitu juga kalau parti UMNO, MCA, MIC atau parti Cinta Malaysia yang mentadbir negeri Kelantan, rakyat Kelantan tetap berhak ke atas royalti minyak itu seperti yang termaktub di dalam perjanjian bulan Mei 1975 itu.
Tindakan Muhyiddin berkata-kata seperti ini menunjukan sifat UMNO itu sendiri. Muhyiddin seolah-olah memberitahu rakyat Kelantan, “Kamu ada duit royalti minyak. Kalau kamu mahukan wang royalti itu, kamu mesti sokong UMNO atau bekerja sama dengan UMNO. Kalau tidak aku takkan bagi duit kau yang ada pada ku.” Lain-lain perkataan Muhyidin sedang cuba untuk memulas tangan rakyat Kelantan untuk menyokong UMNO.
Tetapi rakyat Kelantan mempunyai maruah. Mereka tidak termakan dengan ugutan seperti itu. Mereka tahu hak mereka sedang di rampas oleh kerajaan persekutuan. Mereka juga tahu kerajaan persekutuan tidak menghormati kedaulatan rakyat Kelantan.
Mereka tahu kerajaan persekutuan telah merampas hak mereka. Untuk mendapatkan hak mereka itu mereka tahu caranya; iaitu menolak UMNO sebagai pemerintah kerajaan persekutuan. Waktu untuk melakukannya ialah semasa pilihan raya umum yang akan datang. Rakyat Kelantan tahu yang kerajaan persekutuan sedang memeras mereka dan mereka juga tahu yang usaha mereka itu akan berjaya jika diizin Tuhan.
Rakyat Kelantan juga tahu yang kerajaan persekutuan bersikap seperti sikap Malayan Union terhadap negeri-negeri Melayu dahulu. Kalau Malayan Union dulu adalah ciptaan Inggeris, sikap ala-Malayan Union terhadap Kelantan itu dilakukan oleh bangsanya sendiri. Itu sahaja perbezaannya.
Penarikan balik wang royalti minyak ini dimulakan oleh Dr Mahathir pada tahun 1999 dahulu apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS dan menggantikannya dengan wang ehsan yang dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
Etika dan undang-undang tidak lagi dihormati dan sekarang ianya menjadi ikutan kepada pemimpin-pemimpin selepas beliau. Saya tidak nampak undang-undang boleh menyelesaikan isu ini kerana badan kehakiman sendiri 'boleh dibicarakan oleh UMNO' sejak 1988 dahulu.
Hanya satu cara sahaja yang membolehkan isu ini diselesaikan; iaitu dengan memberikan mandat untuk memerintah kepada pihak yang lain, dan waktunya sudah hampir tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan