KUALA LUMPUR 8 Nov: Badan pemikir Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa) menggesa agar pertukaran saham AirAsia-Mas dikaji semula kerana ia kini mula mendatangkan keburukan kepada orang awam.
Suruhanjaya Sekuriti kini sedang menyiasat pertukaran saham MAS dan AirAsia jika kemungkinan terdapat unsur-unsur urusniaga dalaman (insiders’ trading) sewaktu pertukaran itu berlaku.
Menurut Refsa, terdapat petanda-petanda semasa yang membuktikan pengguna sudah mula merasa kesan buruk daripada pertukaran saham itu.
“Kurang tiga bulan daripada pengumuman kerjasama itu dilakukan, beribu-ribu pembeli tiket dari Johor ke Kuching, Kota Kinabalu, Surabaya, Bandung dan Bangkok mendapati penerbangan mereka dibatalkan oleh Firefly.
“Jika begini, apakah manfaat yang dimaksudkan?” tanya Refsa.
Menurut Refsa lagi, pembatalan penerbangan itu membuktikan pertukaran saham itu merugikan orang awam.
“Penerbangan sudah dikurangkan dan rakyat kecewa. Juruterbang dan kru kabin kini juga semakin kekurangan peluang pekerjaan.
“Kini kita menunggu masa sahaja sebelum harga tiket penerbangan naik dan lebih banyak penerbangan dibatalkan.
“Penerbangan yang semakin sedikit bukan sahaja menjejaskan pengembara dan staf syarikat penerbangan. Ia juga bermakna kurang peluang kerja untuk pemandu teksi, hotel, dan pengembara.
“Ia juga bermakna kurang peluang untuk usahawan berjumpa dan mewujudkan peluang perniagaan baru,” kata Refsa.
Perkara ini, kata Refsa berlaku kerana elemen ‘pilihan’ sudah tiada lagi apabila entiti korporat bergabung memonopoli industri dan mengenepikan kepentingan pengguna.
Justeru, Refsa percaya kepentingan rakyat Malaysia hanya akan terpelihara jika AirAsia dan Mas kekal sebagai pesaing dan bukannya rakan kongsi.
“Pastinya calon yang sesuai boleh dicari daripada industri penerbangan global untuk mengambil alih peranan MAS,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan