Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir meradang ketika diajukan soalan berhubung kontroveri melibatkan satu rakaman video lucah yang didedahkan oleh trio Datuk T pada Mac lalu.
Isu berhubung seutas jam tangan yang dikatakan telah diambil daripada lokasi rakaman video berkenaan merupakan antara perkara yang sering menjengkelkan Anwar terutama ketika ditanya wartawan.
Anwar bagaimanapun menjelaskan, beliau bersikap demikian kerana sudah penat dan tidak tahan lagi dengan tohmahan demi tohmahan yang dilemparkan ke atas dirinya sejak 13 tahun lalu.
Tegas Anwar, beliau tetap berpeluang menyerang balas dan bukannya bersikap defensif semata-mata.
Bagi Anwar, isu berhubung video lucah ini tetap melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan beliau tidak akan memberi laluan mudah kepada perdana menteri itu.
Anwar juga berkata, teka-teki mengenai identiti sebenar individu dalam video berkenaan juga tidak menggusarkannya, namun perkara itu tetap juga bersarang di fikirannya.
Anwar sekadar berkata, polis mengambil risiko besar sekiranya menamakan beliau sebagai individu berkenaan.
Selain itu, Anwar juga mengakui bahawa beliau pernah bertemu dengan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, lama sebelum ahli perniagaan itu bertindak mendedahkan video berkenaan pada Mac lalu.
Eskay disifatkan Anwar sebagai seorang individu dalam pasukan Tun Dr Mahathir manakala pertemuan berkenaan, pada 1998, telah diatur oleh seorang lagi orang kuat Mahathir – Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.
Pertemuan berkenaan adalah berhubung projek jambatan baru untuk menggantikan Tambak Johor yang kemudiannya menemui kegagalan di bawah pentadbiran perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pembatalan projek berkenaan juga merupakan salah satu punca permusuhan di antara Mahathir dan Abdullah. Anwar bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada isu melibatkan projek berkenaan merupakan punca rakaman video berkenaan ditimbulkan.
Ikuti petikan daripada wawancara Malaysiakini dengan Anwar:
BN dan Pakatan Rakyat kini perlu meraih sokongan daripada sebanyak 5 hingga 7 peratus pengundi atas pagar. Sejauh mana isu video seks ini akan memberi kesan kepada sokongan pengundi. Isu ini juga ditimbulkan dalam ceramah Pakatan.
Saya merujuk kepada kes itu kerana ia ditimbulkan setiap hari, tetapi dalam perbincangan dengan pasukan saya, selain deripada mengedarkan risalah berhubung isu ini, saya tidak fikir kita patut fokus kepada bagaimana kita hendak tanganinya. Ia akan terbias daripada isu utama tentang tataselia dan perubahan.
Tentulah strategi (mereka) adalah menggunakan khalayak Melayu, tetapi mungkin juga akan wujud kesan negatif kerana ramai golongan ustaz dan guru agama yang diketahui tidak bersama Pakatan telah menyuarakan pandangan bahawa (tuduhan) itu keterlaluan.
Saya tidak tahu sejauh mana impaknya kerana saya tidak peduli sangat.
Tetapi PKR tetap lancarkan kempen anti fitnah, menunjukkan bahawa tuduhan itu ada impaknya?
Kempen anti fitnah itu bukan sahaja dijalankan oleh PKR tetapi juga DAP dan PAS. (Timbalan presiden PAS) Datuk Tuan Ibrahim (Tuan Man) mengetuainya.
(Pakatan) menggunakan (isu) ini bagi menunjukkan betapa terdesaknya Umno, betapa korup politik pornografi ini, seperti saya kata 'pandi kutty', yang saya tidak rujuk kepada sesiapa, tetapi menunjukkan betapa terdesak mereka ini. Ini yang saya maksudkan dengan pentadbiran yang teruk.
Saya tidak rasa garis tindakan ini defensif. Garis tindakannya 'kami akan tunjukkan betapa teruknya mereka,' itu ofensif.
Hanya sebab kita sebut mengenai video seks atau perbicaraan kes liwat (menunjukkan) kami defensif? Tidak semestinya begitu. Cara ianya diulas... Bagaimana mereka menggunakan agama untuk mengangkat sumpah bagi mempertahankan seorang pembunuh, seorang perogol, sesiapa saja boleh pergi angkat sumpah.
Dan ianya kembali kepada isu pentadbiran, rasuah, subsidi, kenaikan harga barang, maka ia sangat penting untuk kami gunakan, malah ianya isu yang bagus kerana ia menyemarakkan perasaan orang ramai, mereka akan berasa marah terhadap betapa buruknya isu ini.
Polis berkata mereka tidak akan dedahkan identiti individu dalam video seks ini, bagaimana reaksi Datuk Seri?
Saya tidak pernah beri reaksi, Saya tidak pernah risau kerana saya telah pergi kepada polis, saya telah pergi ke makamah Syariah, jadi sama mahu lihat apa yang mereka akan lakukan?
Kemudian barulah kita akan tangani (isu identiti individu) pada masa yang sesuai. Kami tidak akan dipaksa oleh (polis) kerana apa yang mereka lakukan ialah memberi kenyataan politik, bukannya tindakan, macamlah siasatannya begitu kompleks seperti kes pembunuhan Altantuya (Shaariibuu).
Dalam kes video ini, sehingga kini tidak ada tindakan. Ianya mudah, sesiapa saja yang pergi ke hotel dan umumkan 'saya akan tayang satu filem' tentu ditahan dan didakwa. Tapi bukan dalam kes ini.
Kalau polis kata individu itu ialah Datuk Seri?
Kita akan tangani bila tiba masanya., Saya fikir (polis) mengambil risiko besar jika mereka bertindak begitu.
Apa risikonya?
Saya tidak boleh beritahu. Peguam saya akan tanganinya.
Cara Datuk Seri beri reaksi kepada wartawan apabila ditanya mengenai jam Omega, sumpah laknat, sampel DNA, nampaknya Datuk Seri sangat...
Marah?
Nampaknya...
Bukan, bukan, dengar sini. Jika saya tuduh anda buat hubungan seks setiap malam, adakah anda berasa gembira atau marah?
Tapi Datuk Seri sudah biasa menghadapi tuduhan seperti ini?
Anda juga tahu saya juga seorang manusia, saya ada keluarga. Jangan layan saya seperti seorang perogol. Itu satu perkara, dan sesiapa saja yang tanya saya soalan ini dengan cara biadap, daripada TV3 dan Utusan...
Bukan untuk salahkan mereka semata-mata, tapi mereka boleh kata, 'Datuk Seri, saya minta maaf, boleh saya tanya...' tapi tidak. Omega. Omega Omega. Ianya (ditanya) dengan sangat biadap. Jagi bagaimana saya hendak hadapinya? Saya beri sedikit pengajaran. Mereka kata saya buat budak (wartawan) itu menangis, tapi itu bukan masalah saya.
Jika anda bersedia untuk menggadai jiwa untuk duit, jangan cakap dengan saya soal moral. Isu Omega ini, pada saya, bukan satu isu. Adakah saya betul? Sekarang anda boleh lihat bahawa saya betul.
Anda perlu ada kesabaran selama beberapa minggu. Jika saya beri respon, (saya) akan terperangkap. Anda akan tanya, 'Omega mana?'. Anda akan memperpanjangkannya... Anda akan beri kredibiliti.
Mungkin lebih baik jika Datuk Seri kata 'saya tidak mahu komen' dan biarkan saja.
OK, terima kasih atas nasihat anda tentang kesabaran. Azizah ada pandangan begitu. Dia kata, 'tak apalah, sabar.' Dia penyabar. Tapi jika akan perlu laluinya selama 13 tahun... Jadi saya mahu beri mereka satu pengajaran dengan memberikan respon.
Datuk Seri nampak panas...
[Ketawa] Tidak, ia sangat tidak adil. Saya faham bahawa anda mahu dilihat sebagai media independen tapi anda perlu ingat bahawa anda berdepan dengan kehidupan orang, keluarga orang.
Secara tidak langsung, walaupun anda mendakwa bahawa anda buat kerja secara profesional, anda juga menjadi suruhan kepada pemimpin korup itu. Mahu atau tidak, anda perlu jual (berita), jadi anda perlu lapor. Maka anda juga sebenarnya mengikut tindak tanduk mereka.
Anda tidak bercakap tentang (manifesto Pakatan Rakyat) Buku Jingga, anda tidak bercakap tentang rasuah, anda tidak bercakap tentang reformasi ekonomi, sebab anda kena ikut tindak tanduk siapa? Tindak tanduk Umno dan Utusan.
Bagaimana pula Datuk Seri berjumpa Eskay. Sejauh mana hubungan Datuk Seri dengan beliau?
Saya jumpa semua orang. Semuanya kata mereka kawan baik saya... Semua yang lompat parti adalah kawan saya yang paling baik. Sesetengahnya saya tidak tahupun nama keluarga mereka, atau nama penuh mereka. Anda boleh bayangkan? Saya tidak tahu nama penuh (Eskay) sehinggalah dia failkan kes (saman berhubung jambatan bengkok).
Tentulah saya kenal dia, ya, rapat. Anda juga percaya saya ada kawan baik yang namanya saya tidak tahu? Pada masa itu saya tidak tahu sama ada dia (memeluk) Buddha atau Islam, saya tidak tahu.
Dalam kes jambatan bengkok itu, dia memberi keterangan bahawa di membawa (defendan Yahya Jalil) untuk berjumpa untuk berjumpa Datuk Seri kerana...
Kenyataannya itu tidaklah begitu salah kerana apa yang diperkatakan itu, begini; (Individu terlibat) adalah (dari) kem Mahathir, yang rapat dengan (menteri perdagangan dalam negeri pada waktu itu) Megat Junid (Megat Ayub). Megat Junid yang mengaturkan pertemuan itu untuk mereka datang berjumpa saya.
Jadi Eskay datang dan bawa Yahya Jalil ini dan di dalam afidavit beliau, dia kata Anwar menasihatkan mereka supaya pergi ke (Unit Perancangan Ekonomi) kerana ia merupakan keputusan EPU berhubung penswastaan. Jadi, begitulah... Saya hantar mereka ke EPU dan dalam pada itu (Eskay) minta (syarikat Yahya) sebanyak RM20 juta. Itulah ceritanya.
Adakah Datuk Seri diminta memberi keterangan di mahkamah?
Dia ada (minta). (Peguamnya) bercakap kepada saya, mereka mahu sahkan (pertemuan antara Eskay, Yahya dan Anwar). Jadi saya kata OK, tetapi (pendengaran kes saman jambatan bengkok) kebetulan (berlaku) dengan perbicaraan saya.
Kemudian (peguam) beritahu saya, memandangkan perkara ini tidak pernah dibantah, dan Yahya Jalil kemudiannya mengesahkan bahawa mereka telah bertemu Anwar dan Anwar meminta mereka bertemu EPU, jadi tidak ada keperluan untuk saya beri keterangan (berhubung kes berkenaan).
Eskay tidak gembira (dengan keputusan itu), dia mahu saya beri keterangan.
Jadi kes jambatan bengkok tidak ada kena mengena dengan video seks – kerana Datuk Seri tidak beri keterangan?
Dia tidak kata begitu tetapi dalam kenyataannya dia mahu saya dan (isteri serta presiden PKR, Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) supaya meletak jawatan, yang merupakan ugutan jenayah.
Jadi di negara ini, ugutan jenayah, pornografi semuanya dibolehkan dalam negara Najib-Rosmah.
Video seks ini merupakan siri terbaru dalam dakwaan-dakwaan yang dilemparkan kepada Datuk Seri selepas 1998. Kenapa kebanyakan tuduhan itu melibatkan seks?
Apabila melibatkan rasuah, Mahathir (kanan) meminta semua fail di perbendaharaan diteliti dan mereka tidak boleh jumpa satu syarikat atau satu saham (berkaitan saya). Secara sindiran, adalah di sana dan di sini tetapi tidak ada satu pun (dakwaan). Jadi apa lagi? Seks.
Untuk seks juga, (tuduhan) tidak boleh zina sebab ianya biasa di kalangan pemimpin, (Mahathir) kata dalam mesyuarat sulitnya, jadi jadi mereka kata liwat sebab orang Melayu akan tolak perkara ini. Ini bukan perkara baru, ini cerita 1998.
Selepas tiga tuduhan seks, adakah orang akan fikir akan ada kebenaran di antara (semua tuduhan) ini?
Kenapa mereka timbulkan perkara ini? Ianya isu moral dan siapa yang hendak bercakap soal moral? Najib? (Menteri undang-undang, Datuk Seri) Nazri (Aziz)? (Bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri) Rahim Thamby Chik?
Anda boleh kata ianya pornografi tapi sekiranya mereka boleh sahkannya, itu satu perkara. Tapi anda tidak boleh wujudkan sesuatu perkara tanpa (bukti).
...Itulah masalahnya dengan sistem ini. Saya tidak bercakap tentang Umno atau PERKASA, saya bercakap tentang kita. Kenapa kita memilih untuk melayan dan memberi kredibiliti kepada (golongan) korup?
Kenapa dakwaan-dakwaan ini masih dilemparkan kepada Datuk Seri?
Saya dilihat sebagai satu ancaman. Apa lagi? Katakanlah saya bersara esok, anda rasa mereka akan teruskan dengan (tuduhan) ini? Katalah saya bersara pada 2004 selepas saya dibebaskan (dari penjara). Pada masa itu sahaja (wakil) dihantar kepada saya, sama ada saya akan masuk Umno semula. Adakah saya masih perlu hadapi perkara ini sekarang?
Anwar ditemuramah oleh Steven Gan, Salhan K Ahmad, Aidila Razak dan Kow Gah Chie.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan