KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut kerajaan menyemak semula perjanjian berat sebelah antara syarikat Pengeluar Tenaga Bebas/swasta (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut Anwar, perjanjian tersebut hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni yang rapat dengan pemerintah, sedangkan rakyat pula menanggung beban akibat kenaikan tarif elektrik.
“Berdasarkan perspektif inilah saya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk berlaku adil dengan menyemak semula harga yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad, termasuklah menggugurkan elemen harga tetap seumpama harga kapasiti bersedia dan kapasiti tetap yang mengakibatkan kos elektrik meningkat,” tegas Anwar.
Anwar berkata, perjanjian itu sebelum ini direka untuk memastikan 26 syarikat IPP dilindungi dari sebarang risiko kenaikan harga bahan api seperti gas, disel dan arang batu menyebabkan TNB terpaksa menanggung akibat jika berlaku kenaikan harga.
Berikutan perjanjian ini, katanya, Petronas terpaksa mengeluarkan dan membeli gas asli pada harga yang lebih mahal dan kemudiannya menjual nya semula pada kadar harga subsidi tetap.
“Hakikatnya kos subsidi gas ini telah melonjak kepada RM 22 billion setahun jika dikira menurut kadar harga semasa minyak mentah serta gas asli,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Justeru itu, berikutan perjanjian yang rumit dan berat sebelah itu menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar tarif elektrik yang tinggi.
“Kos harga tenaga elektrik yang terpaksa dibayar TNB kepada Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta(IPP) dan pengambilan untung pada kadar masa yang cepat oleh IPP ternyata membebankan rakyat samada secara menaikkan tarif elektrik atau kerana kerugian kewangan akibat dari subsidi gas untuk TNB/IPP kononnya demi merendahkan tarif,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Menurut Anwar, bekas Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope pernah menyatakan kepada umum bahawa beliau tidak setuju dengan harga yang terlalu mahal dikenakan oleh IPP kepada TNB.
“Harga yang dicatatkan iaitu 13.7 sen sehingga 15.5 sen per kWh (kilowatt hour), harga yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB)adalah harga yang lebih mahal dari harga yang dihasilkan sendiri oleh TNB. Ini bermakna TNB dipaksa membeli elektrik pada harga yang tak sepatutnya,” katanya.
Anwar menambah, sekiranya dibandingkan dengan Thailand, tarif elektrik Malaysia jauh lebih tinggi sungguhpun negara jiran itu membeli gas asli pada kadar harga semasa.
Harga semasa itu, katanya, tiga kali lebih tinggi daripada harga gas asli yang disubsidikan di Malaysia.
“Seorang pengguna yang memiliki rumah di Thailand hanya membayar 18 sen per kWh untuk 150 kWh yang pertama, manakala pengguna yang sama di Malaysia terpaksa membayar 22 sen untuk kadar yang sama. Ini bermakna perbezaan harga tarif elektrik yang mencecah 22%.
Akibatnya, pengguna runcit yang dikategori “tarif komersial untuk penggunaan voltan rendah” terpaksa membayar tarif yang lebih tinggi di Malaysia jika dibandingkan dengan Thailand.
“Tarif nya di Malaysia ialah 37 sen per kWh, 48% lebih tinggi dari kadar di Thailand; pada kategori yang sama hanya berharga 25 sen per kWh.
“Justeru, sudah sekian lama saya menegaskan sekitar RM 22 billion subsidi gas(RM 19 billion pada tahun 1999) yang diberi kepada IPP/ sektor menjana tenaga tidak memberi makna kepada rakyat,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan