Isnin, 23 Mei 2011

Fuziah ulangi, mengapa Lynas tak bina projek nadir bumi di Australia?



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengulangi persoalan mengapa Lynas Corporation tidak membina pusat pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di Australia, sebaliknya dibina di Gebeng Kuantan.

Beliau berkata demikian selepas perarakan menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia, petang tadi.

Ketika ditemui para pemberita, Fuziah berkata, Lynas memilih Malaysia sebagai lokasi loji ini kerana undang-undang Australia ketat dalam penjagaan alam sekitarnya.

“Lynas mendapat lesen di Australia tetapi mereka tidak memilih untuk membuka kilang di sana kerana peraturan yang ketat dalam aspek menjaga alam sekitar.

“Ada 41 komitmen yang perlu dijaga dengan pelbagai aspek melalui agensi Lembaga Pemuliharaan Alam Sekitar (EPA).

“Di Malaysia badan pengawalnya ialah Agensi Tenaga Atom Kebangsaan (AELB) yang hanya memikirkan kesan radiasi dan tahap radioaktif. Namun, AELB tidak dapat berfungsi seperti EPA kerana sekatan perundangan dan penguatkuasaan yang lemah dari Kerajaan Malaysia sendiri,” tegas Fuziah yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Justeru itu beliau menyatakan tindakan Lynas itu jelas bertujuan untuk memanipulasi undang-undang alam sekitar di Malaysia yang longgar.

“Di Australia, zon penampannya (Buffer Zone) ada dalam radius 30 km, dan tak boleh ada penduduk. Di Gebeng ada 70 ribu penduduk dalam radius 30 km itu. Kami bimbang Lynas mengambil kesempatan dengan undang-undang Malaysia,” jelasnya.

Fuziah menambah, tidak ada kilang yang menjadi rujukan bagi pembinaan loji tersebut, justeru kerajaan Malaysia tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk membenarkan industri yang bakal mengundang bencana.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna & Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong berkata, kerajaan Selangor tidak akan membenarkan sebarang pembinaan kilang pemprosesan bahan radioaktif.

“Kita tidak akan membenarkan sebarang industri yang mencemar alam sekitar,” katanya yang turut serta dalam perarakan di lokasi perhimpunan tersebut.

Penduduk bukan ‘Tikus Makmal’

Petang tadi, meskipun dalam keadaan cuaca yang berubah dari panas terik kepada hujan, namun ia tidak menghalang kira-kira 500 peserta dari pelbagai lapisan umur dan bangsa untuk berhimpun bagi membantah projek tersebut.

Bermula dari masjid As Syakirin KLCC, kumpulan tersebut menuju ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia dan berhimpun di persimpangan Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

Perarakan itu anjuran People’s Green Coalition dengan kerjasama kumpulan menentang projek berkenaan, Save Malaysia, Stop Lynas bersama pimpinan parti Pakatan Rakyat dari KEADILAN, Pas, DAP dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sebanyak enam trak polis lengkap dengan meriam air dan dua trak dari Pasukan Unit Polis Persekutuan (FRU) turut dilihat berada di kawasan perhimpunan, namun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan.

Setibanya di lokasi berhampiran Kedutaan Australia, peserta perarakan melaungkan slogan ‘Hidup Rakyat’, ‘Bantah Lynas’ dan ‘Kami bukan tikus makmal’ manakala, pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO bergilir-gilir memberikan ucapan.

Pelbagai slogan bantahan tertera pada kain pemidang yang direntangkan, sementara pengguna kenderaan di Jalan Ampang turut membunyikan hon tanda sokongan.

Selepas menunggu lebih sejam, enam wakil yang diketuai Fuziah sendiri berjaya menemui Pemangku Timbalan Duta Besar Australia, Arthur Spyrou.

Dengan merujuk kepada pengalaman di Bukit Merah, Perak kandungan memorandum tersebut menjelaskan bahawa penduduk di pinggir bandar Ipoh itu masih trauma dengan kesan Thorium yang berterusan sehingga ke hari ini.

“Lynas akan memproses nadir bumi yang mana terdiri dari Thorium. Sementara mineral Thorium tersebut merupakan bahan radioaktif.

“Australia sendiri menyatakan bahawa bahan tersebut adalah berbahaya, maka keprihatinan kami bahawa di sini kami masih belum bersedia untuk ‘bereksperimen’ dengan kesihatan nasib masa depan generasi di Malaysia,” jelas memorandum tersebut.

Tiada ulasan: