ERA NAJIB: YANG MISKIN SUBSIDI YANG KAYA
Sememangnya kita sedar bahawa subsidi berlebihan akan menjejaskan keseimbangan bekalan-keperluan dalam pasaran. Kini, kita ingin tahu, ke manakah wang yang dijimatkan selepas kerajaan BN mengurangkan subsidi?
Sememangnya kita sedar bahawa subsidi berlebihan akan menjejaskan keseimbangan bekalan-keperluan dalam pasaran. Kini, kita ingin tahu, ke manakah wang yang dijimatkan selepas kerajaan BN mengurangkan subsidi?
DAP yang sentiasa "mendampingi rakyat" semestinya akan bersuara untuk rakyat. Bermula daripada pemberian dana kepada warga emas oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng, sehinggalah adik-beradik Nga-Ngeh yang mempertikaikan ke mana perginya wang petroleum sejumlah RM592 bilion... yang semestinya akan meredakan kemarahan warga emas.
Defisit meningkat; Hutang melambak
Pada hakikatnya, "sudsidi" yang mampu dibiayai kerajaan sekian lama ini, bertukar menjadi dosa yang dituding jari selepas kenyataan "bankrap" oleh Idris Jala, Menteri Jabatan Perdana Menteri. Jika dilihat dari sekarang, kenyataan tersebut lebih merupakan hujah memanaskan badan untuk memberi laluan kepada kenaikan harga pada hari ini.
Selepas kemelut ekonomi pada tahun 1998, Perdana Menteri pada ketika itu, Mahathir Mohamad melaksanakan langkah seperti "capital control" (kawalan modal) dan sebagainya. Tetapi, apakah harga yang kita bayar? Jawapannya boleh dibaca dari kenyataan Idris Jala, defisit negara telah bertambah dari RM5 bilion pada tahun 1998, kepada RM47 bilion pada tahun 2009. Hutang negara kita pula meningkat daripada RM90 bilion pada tahun 1997 kepada RM 362 bilion pada tahun 2009, menyaksikan pertumbuhan pada kadar 12% mengikut tahun.
Seandainya dihitung mengikut populasi yang mencecah 27.5 juta orang, maka secara puratanya setiap warga Malaysia memikul beban hutang sebanyak RM13,164 seorang. Dengan kata lain, kerajaan kita menjadikan daya produk rakyat pada masa depan sebagai "jaminan", untuk meminjam hutang dari negara asing melalui bon kerajaan, yang akhirnya menjurus kepada lambakan hutang. Akibatnya, kerajaan dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang masa depan rakyat, yang wujud dalam bentuk "pinjaman hutang" pada masa sekarang. Kini, Najib pula menasihatkan rakyat bahawa subsidi akan dikurangkan, ubahlah cara hidup kamu!
Pada hakikatnya, beliau harus lebih jujur untuk mendedahkan kepada rakyat: perbelanjaan yang ditampung dengan defisit oleh kerajaan telah dihabiskan melalui projek mega sejak zaman Mahathir. Wang masa depan yang dimiliki rakyat, kebanyakannya bukan digunakan sebagai subsidi, tetapi untuk men-subsidi kroni yang menyembunyi di sebalik projek gajah putih.
Kita semuanya tahu bahawa sumber ada hadnya. Gerombolan BN telah menghabiskan sumber negara secara melampau, dan penipuan ini bakal terburai pada suatu hari nanti. Dalam zaman ekonomi yang tidak menentu, lebih banyak buih yang bakal berpecah. Kumpulan berkepentingan yang berada di gelanggang mula gelisah, kerana mereka mungkin kehilangan segala-galanya sebaik sahaja permainan ini tamat.
Yang miskin subsidi yang kaya
Mungkin tiada orang yang menemui kekotoran yang ada di dalamnya, semasa ekonomi mengalami pertumbuhan pesat, seperti zaman akhir 1980-an dan awal 1990-an. Selagi keluaran negara kasar (KNK) melambung, maka keghairahan untuk menjana pembangunan ekonomi dengan pinjaman hutang boleh diteruskan.
Persoalannya, kroni dan kelas politik-ekonomi ini mula menyedari bahawa formula ini tidak dapat beroperasi apabila ekonomi diperlahankan, malah gagal menampung keperluan kumpulan berkepentingan yang semakin berkembang. Jadi, macam mana?
Akhirnya, cukaikan rakyat secara langsung dengan mengurangkan subsidi kepada pelbagai keperluan asas. Polisi monetari yang sekian lama ini kekal pada kadar faedah rendah, dinaikkan baru-baru ini, menyebabkan harga barang melambung tinggi. Kadar faedah simpanan lebih rendah daripada kadar inflasi sebenarnya. Maksudnya, nilai "wang simpanan ditambah faedah" menjadi kurang berikutan kadar inflasi yang lebih tinggi. Maka, ia seolah-olah cukai yang dikenakan ke atas rakyat jelata, atau dengan kata lain, yang miskin men-subsidi yang kaya.
Selain itu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilewatkan pelaksanaannya, bakal mencekik lebih ketat leher rakyat. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh UMNO sebagai pengagihan yang adil, apabila kerajaan mengagihkan "faedah pinjaman" yang telah dibelanjakan sewenang-wenangnya kepada rakyat jelata tanpa mengira kaum dan kelas.
"Pengagihan yang adil" ini mungkin boleh melegakan kumpulan berkepentingan pada jangka pendek, tetapi bakal menamatkan hayat mereka untuk jangka panjang. Menyembuyikan pertentangan dalaman dengan inflasi bakal mengundang malapetaka kepada dirinya. Ini masalah sebenar yang dihadapi kerajaan BN, dan juga dilema Najib.
*Lim Chun Piao ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan