"Hari ini rakyat Terengganu mendapat satu lagi anugerah daripada projek kerajaan UMNO/BN. Anugerah ini adalah rentetan daripada siri-siri anugerah kerajaan UMNO/BN sejak rakyat menumbangkan pemerintahan PAS pada tahun 2004.
Melalui PRU11, rakyat Terengganu tersilau oleh wang ehsan yang melimpah-ruah ditabur oleh pemimpin UMNO negeri.
Penangan wang ehsan menyebabkan ada dalam kalangan penyokong PAS di kampung-kampung tidak lagi mengikuti kuliah dan ceramah PAS kerana takut tidak mendapat bahagian.
Tanpa royalti petroleum yang dipukat secara khianat oleh UMNO/BN, PAS tidak mampu memberi nikmat dan kemewahan projek kepada rakyat. Justeru melalui kempen Gelombang Biru UMNO tajaan Idris Jusoh, mereka sama-sama menolak PAS dari persada politik Darul Iman. Kini sudah 6 tahun lebih UMNO/BN menguasai negeri Terengganu. Dalam tempoh ini, rakyat telah dapat melihat hasil UMNO/BN memerintah negeri.
Ramai rakyat Terengganu mati dalam keadaan mata tidak tertutup rapat. Lebuhraya Pantai Timur Kuantan ke Chendering belum nampak bayang akan dapat digunapakai dalam tempoh dua tiga tahun ini. Projek yang sudah diuar-uarkan sejak tahun 2000 lagi sudah masuk tahun kesepuluh, namun kini sunyi-sepi. Lori tersadung di bawah pokok, cerucuk berkarat dan rumput menebal di sepanjang laluan. Rakyat cuma dapat melihat manifestasi kegagalan projek pembangunan yang tidak pernah dilihat laungan Idris Jusoh. Angan-angan rakyat untuk merasa lebuhraya secanggih Lebuhraya Utara-Selatan tinggal bagai angan-angan. Saban hari ada sahaja rakyat yang mati tanpa sempat menikmati janji-janji UMNO/BN yang mereka khayalkan dulu.
Pernah rakyat negeri penyu bertelur ini bersorak dan melompat-lompat dalam stadium tercanggih di Pantai Timur. Stadium Tengku Mizan yang menelan belanja ratusan juta ringgit itu tidak lama hayatnya apabila runtuh menyembah bumi. Hingga kini runtuhan ini dibiarkan tanpa pembaikian. Sudah masuk setahun ia merosakkan pandangan mata dan menyakitkan hati rakyat. Rakyat ternanti-nanti tetapi pihak kerajaan bagai buat tak tahu. Masing-masing bermain wayang. Duit rakyat habis beratus juta ringgit tetapi nikmatnya tidak sampai kepada rakyat. Inikah yang dikatakan natijah daripada duit yang tidak berkat? Persoalannya ialah bilakah stadium itu akan dapat digunakan semula? Selamatkah selepas dibaiki? Atau adakah keseluruhan struktur stadium itu perlu dipugar dan dibina baru?
Siri bangunan runtuh usah disebut lagi. Lepas satu, satu. Mujur tiada kemalangan jiwa yang besar setakat ini. Kalaulah berlaku kematian yang melibatkan berpuluh-puluh orang atau beratus-ratus orang barulah gegar dan geger. Masing-masing akan saling menudingkan jari. Mat Said menyalahkan Idris Jusoh. Idris Jusoh menyalahkan Mat Said. JKR menyalahkan pemaju. Pemaju menyalahkan UMNO yang mengaut keuntungan 10% daripada kantungnya. Tak dapat dibayangkan jika Stadium Tengku Mizan runtuh semasa majlis perasmian Sukma. Entahlah, nasib engkaulah rakyat Terengganu.
Hari ini Terengganu mendapat satu lagi anugerah besar. Kini negeri pimpinan Mat Said diisytiharkansebagai negeri tertinggi bilangan penagih dadah. Setiap 100 orang rakyat Terengganu terdapat seorang penagih dadah. Salahkah jika rakyat mengklasifikasikan gejala ini sebagai satu lagi projek kerajaan UMNO/BN? Kerajaan adalah umpama ibu bapa kepada rakyat. Terpulang sama ada hendak dibentuk anak-anak menjadi Yahudi atau Nasrani. Kerajaan UMNO/BN tidak mementingkan pendidikan agama dan pembangunan rohani. Bagi UMNO, agama pandai-pandailah rakyat cari sendiri. UMNO cuma pentingkan pembangunan material kerana menerusinya ada projek yang dapat mencipta jutawan-jutawan segera dalam kalangan kroni. Rakyat nak masuk ajaran sesat dan kurus melidi ketagihan dadah, peduli apa. Bagi UMNO, itu tanggungjawab ibu bapa. Yang penting undi rakyat yang boleh dibeli setiap kali pilihanraya.
Beginilah nasib rakyat Terengganu. Bukan salah ibu mengandung. Salahkan tangan sendiri yang silap memilih. Kalian telah memilih isi perut daripada isi rohani. Kalian telah memilih pembohongan daripada kejujuran. Kalian telah menghina Tok Guru. Kalian telah menurunkan Tok Guru. Kalian telah menurunkan pemimpin penyelamat akidah. Kalian menaikkan manusia yang sombong, jahil dan angkuh. Kini giliran kalian dihinakan oleh Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan