Khamis, 3 Disember 2009


KUALA LUMPUR, 2 Dis: Baru dua bulan lalu Makkal Sakthi dilancarkan oleh Perdana Menteri, namun hari ini Makkal Sakthi sudah berpecah dan sebahagian dari pemimpin parti itu mendesak presiden mereka, R S Thanenthiran meletakkan jawatan.

Ketika dilancarkan dahulu, pilihan raya kecil Bagan Pinang hampir berlangsung. Dengan perhimpunan besar para penyokong Makkal Sakti itu, pengundi India di Bagan Pinang mendapat dorongan untuk menolak parti yang mereka undi pada pilihan raya Mac 2008 lalu.

Hasilnya, PAS kalah teruk dalam pilihan raya kecil tersebut.

(Gambar: Perdana Menteri dan Thanenthiran semasa majlis pelancaran parti Makkal Sakti menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang)

Kini, R S R S Thanenthiran didesak oleh lebih 15 dari 27 anggota Jawatankuasa Pusat partinya agar melepaskan jawatannya.

Kumpulan pendesak ini pula dipimpin oleh timbalannya, A Vathemurthy. Dalam sidang medianya hari ini, Vathemurthy mendakwa, mereka tidak mahu Thanenthiran memimpin mereka lagi.

“Kami mahu Thanenthiran melepaskan jawatan presiden dan tidak lagi memimpin parti. Usul untuk menyingkirkan sepatutnya dibincangkan hari ini tetapi mesyuarat CC dibatalkan minit terakhir, kami tidak tahu siapa di belakangnya,” kata Vathemurthy dalam sidang medianya hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat AJK Pusat partinya dijadualkan malam ini dan usulnya adalah untuk menggugurkan Thanenthiran.

Tetapi Setiausaha Agung, R Kannan telah membatalkan notis mesyuarat tengah malam tadi, beritahu Vathemurthy kepada wartawan.


Tiada ulasan: