Jumaat, 3 Mei 2013

DSAI: Insan Pilihan Ujian Tuhan (3)


Sejarah membuktikan bahawa DSAI adalah anak emas Mahathir satu ketika dahulu, Beliau diperkenalkan kepada Mahathir oleh Tengku Razaleigh Hamzah setelah Anwar diperkenalkan kepadanya oleh Sanusi Junid. Itu jalan ceritanya.
Tetapi nama Anwar naik melonjak dalam peristiwa Kelaparan di Baling, dan peristiwa itu telah digunakan oleh Mahathir dalam surat layangnya untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman Putra.
Anwar telah meniti heirarki UMNO dan memainkan peranan besar menonjolkan nama Mahathir di arena antarabangsa melalui pengaruhnya dengan pemimpin negara-negara Islam. Harus diingat bahawa itulah salah satu strategi Mahathir mendekati Anwar kerana kemampuan beliau meyakini pemimpin dunia Arab memberikan biaya kepada perjuangannya dalam ABIM. Sekali gus Mahathir menjadi terkenal dengan dunia Selatan-Selatan dan melonjak naik sebagai suara perjuangan negara yang sedang membangun.

Keghairahan Mahathir mendekati pemimpin negara Islam telah membuka ruang kepada beberapa ilmuwan UMNO yang berpendidikan Arab dan Islam. Muncullah, Dr. Yusuf Nor, Hamid Othman, Zainal Abidin, dan ramai lagi. Oleh kerana ruang untuk mereka rapat akrab dengan Mahathir amat sempit dan terhad, maka para ulama UMNO ini telah berlumba-lumba menjuarai diri antara satu sama lain dan ini mereka lakukan melalui pelbagai cadangan dan isu yang membuatkan Mahathir merasakan dia perlu bertindak untuk terus popular.
Maka muncul isu pengharaman Al Arqam sedangkan itulah rangkaian yang banyak berjasa dalam pembukaan industri kecil dan sederhana Melayu. Mahathir akur kepada cadangan untuk mengharamkan Al Arqam setelah melihat dan diberitahu bahawa Al Arqam adalah penyokong kuat PAS. Kononnya, kalau Al Arqam dibiarkan terus hidup, masa depan UMNO akan tergugat.

Pengharaman Al Arqam ternyata satu tindakan yang besar silapnya, kerana kalau berdasarkan akidah yang songsang, masih terdapat lebih 70 buah tarikat Islamiyah yang dikatakan menyimpang daripada ajaran Sunnah wal Jamaah. Malahan pada hari ini kita boleh persoalkan apakah sebenarnya ajaran Islam Hadhari? Bayangkan berapa ratus juta telah dibazirkan untuk mempromosikan Islam Hadhari sedangkan wang sebanyak itu boleh digunakan untuk memperbaiki cara hidup umat Islam di negara ini.

Pergeseran Anwar-Mahathir bergelegak sebaik sahaja Anwar bertanyakan kedudukan wang orang Melayu dalam simpanan UMNO. Adalah dianggarkan pada tahun 1997, terdapat sekurang-kurangnya RM27 Bilion wang simpanan dalam Khazanah Perbendaharaan UMNO.

Semasa TKT Mahathir menjadi Presiden UMNO orang yang mengendalikan wang simpanan dalam UMNO ialah Tun Daim Zainuddin. Hasil pengalaman mereka semasa pembubaran UMNO asal dahulu, Daim telah ‘melarikan’ wang Melayu dalam UMNO ke luar negara untuk dilaburkan kononnya. Hasilnya dia telah membeli beberapa buah bank di Afrika dan memproksikan pengurusan bank itu kepada abang kepada Arif Shah (calon yang bertanding di Permatang Pauh).
Banyak lagi pelaburan yang dibuatnya dan diproksikan kepada beberapa korporat Melayu anak didiknya seperti Dato’ Shamsuddin Hassan di Afrika Selatan, Tajuddin Ramli, dan ramai lagi sekadar menyebut namanya sahaja. Ada juga pelaburan yang dibuatnya dengan mewakili beberapa orang wanita kesayangannya.

Satu ketika dahulu, keakraban Mahathir bersama Daim adalah laksana kuku dengan isinya. Tidak ada yang silap pada Daim walaupun apa yang dibuatnya ialah membalun wang orang Melayu dan menggunakan nama-nama proksi yang dia sahaja mengetahuinya. Adalah mustahil Mahathir tidak tahu menahu jenis pelaburan yang dibuat itu. Malahan besar kemungkinan Mahathir sengaja buat bodoh kerana dia tahu habuan komisen untuknya yang dijanjikan oleh Daim.

Oleh kerana Anwar prihatin dengan harta pusaka orang Melayu tentulah dia mahu tahu apa jadi dengan wang besar yang ada pada UMNO. Untuk mengelak Anwar mendedahkan perkara sebenar kepada persidangan UMNO, dia mesti dihalang dengan apa cara juga.

1997 merupakan tahun celaka kepada Anwar. Kegawatan ekonomi meruncing dan George Soros telah menyerang mata wang setiap negara Asia. Ironisnya kerja-kerja menyerang mata wang ringgit oleh George Soros adalah dengan kerjasama Daim juga.

Oleh kerana ekonomi Malaysia ketika itu banyak bergantung pada pelaburan asing, berlaku sahaja kegawatan, orang asing pun mengambil balik wang pelaburan mereka. Tinggallah Malaysia terkapai-kapai mencari arah. Keadaan menjadi parah apabila Bank Dunia mahukan Malaysia mengikut rentak ajarannya. Sekali lagi Anwar dan Mahathir berbalah tentang cara menyelamatkan kewangan negara.
Negara Asia lain yang turut berhadapan kegawatan ekonomi, telah menerima pakej penyelamatan Bank Dunia. Cuma Malaysia yang degil dengan alasan Mahathir bahawa cadangan pakej itu akan menjahanamkan Malaysia. Yang sebenarnya Mahathir tidak mahu dengar saranan Bank Dunia agar segala bisnes yang dikendalikan oleh anak-anaknya dikecutkan untuk mengurangkan risiko perbankannya,

Pada waktu yang sama hampir semua syarikat perniagaan anak-anak Mahathir sedang tercungap-cungap. Maklumlah, perniagaan yang bukan berasaskan pengetahuan mendalam terhadap sesuatu bidang, tetapi lebih kepada hubungan dan kaitan rapat si pemilik dengan Perdana Menteri. Salah seorang anak lelaki Mahathir telah meminta bantuan Anwar agar diselamatkan syarikatnya dengan memberikan wang Petronas sebanyak dua billion ringgit. Anwar menolak permintaan itu. Bermulalah dendam kesumat Mahathir terhadap Anwar.

Cara Mahathir mahu gunakan wang Petronas untuk menyelamatkan syarikat anak-anak dan kroni amat difahami oleh Pengerusi Petronas ketika itu. Beliau adalah Almarhum Tan Sri Azizan yang telah menghembuskan nafas terakhirnya tidak lama selepas Anwar dipenjarakan. Pada satu hari Almarhum telah mendapatkan DSWA dan menyatakan betapa kesalnya beliau dengan kisah penghinaan yang dialami oleh Anwar Ibrahim. Dia telah meminta DSWA bersabar banyak-banyak. Tidak berapa lama kemudian Tan Sri Azizan menghembuskan nafas terakhirnya.

Dendam kesumat Mahathir tidak ada batasnya. Beliau telah merancang satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar. Beliau telah gunakan semua institusi kerajaan untuk kerja-kerja busuk itu. Dia gunakan media dan akhbar, TV dan radio. Apa sahaja yang boleh direncana untuk mengaibkan Anwar telah digunakannya,

Kes Anwar telah dibela oleh satu panel peguam bukan-Melayu. Kalau ada segelintir peguam Melayu seperti YB Zulkifli Kulim Bandar-Baru, mereka hanya setakat membawa fail dan pencatat peristiwa sahaja. Peguambela telah bekerja keras di mahkamah mematahkan hujah pihak pendakwaraya dan hanya berjaya ke satu tahap sahaja kerana Mahkamah Malaysia sudah dikuasai oleh fenomena ‘correct, correct, correct’ dan ‘Tidak relevan’

Anwar Ibrahim terpenjara juga walaupun Mahathir sendiri telah mengaku segala tuduhan terhadapnya adalah satu konspirasi kerana dia mempunyai kuasa. Mudah sungguh cakap Mahathir . Dia seolah-olah mempersenda kerja-kerja tuduhan liwat dan sodomi serta pelbagai lagi kerja kotor itu sebagai satu lakonan. TKT Mahathir tidak terfikir bahawa apa yang dilakukannya ke atas Anwar adalah satu penghinaan besar kepada orang Melayu dan Malaysia.

Perbuatan Mahathir tidak boleh dimaafkan secara total. InsyaAllah dia akan terus bernyawa. Dia kena merasa balasannya.

Orang barat sendiri hairan bagaimana mungkin kes Anwar boleh laku di muka pengadilan. Mereka juga hairan kenapa orang Melayu secara keseluruhannya sanggup membisu bila melihat Anwar dianiayai sebegitu dahsyat oleh Mahathir.

Saya yakin setiap kejadian ada hikmahnya. Yang jelas Allah telah memilih Anwar sebagai insan pilihan untuk menjalani ujiannya. Ini termasuk nasib beliau dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Khabarnya Paklah telah memberi arahan bahawa Anwar tidak boleh diberikan kemenangan walau apa cara sekali pun. Dia mengugut pihak polis dengan berkata kalau Anwar naik menjadi Perdana Menteri, KPN dan AG beserta pegawai tinggi polis termasuk KP Penang akan dipenjarakannya.

Kenapakah Paklah semakin gelabah? Apakah akan terdedah nanti tipu muslihat penjualan saham Augusta dengan harga 1 Euro oleh kroni beliau yang kemudiannya menjual kepada Syarikat Harley Davidson dengan harga 600 juta ? Ataupun Paklah semakin tertekan dengan kisah ‘Oil For Food Program’ yang dibalunnya sendiri sedangkan projek itu sepatutnya diserahkan kepada Dewan Perniagaan di negara ini?

Retro: Daim... masihkah engkau ingat?



Artikel terbitan semula (circa 2001): Adalah tidak menjadi rahsia lagi bahawa Bendahari UMNO, Menteri Kewangan dan Penasihat Ekonomi Daim Zainuddin telah berpuluh tahun mengumpulkan harta dan mengkayakan diri dan proksi-proksinya dengan menggunakan kedudukan dan hubung-kait politik. Satu semakan pada rekod-rekod ‘am akan mengesahkannya.
Tetapi yang lebih memeranjatkan ialah bagaimana rakus dan tamaknya untuk mengumpulkan harta di mana beliau dan kroni-kroninya telah menyelinap ke seluruh tahap dan bentuk perniagaan di Malaysia.
Sesungut (feelers) Daim sentiasa meresap jauh ke dalam urat saraf ekonomi Malaysia menyedut bahagiannya di dalam banyak syarikat perindustrian dan perniagaan.

Salah satu perindustrian kecil tetapi menguntungkan yang merupakan jendela untuk melihat sejauh mana kepentingan Daim di dalam beraneka perniagaan telah meledak dengan ganasnya pada 7 Mei 1991.  (Tragedi 'Hiroshima Sungai Buloh' 1991)

Pada hari Selasa berkenaan sebuah syarikat membuat bunga api, mercun yang terletak di kawasan perumahan Sungai Buloh telah meletup. Para pembaca tentu masih ingat ledakan yang dahsyat tersebut telah mengorbankan lebih 20 orang kebanyakannya penduduk berhampiran serta mencedera dan mencacatkan berpuluh yang lain.

Bagi sebuah negara yang dikejutkan dengan tragedi industri paling dahsyat, akhbar-akhbar tempatan segera membuat laporan bahawa kilang berkenaan tidak pernah mendapat permit untuk mengilang atau mengeluarkan barangan yang amat berbahaya. Malahan mereka mendapat tahu bahawa syarikat yang sama telah beberapa kali gagal pemeriksaan keselamatan.

Akhbar The Malay Mail dua hari kemudian menambah bahawa ‘campur tangan politik’ telah menghalang penguatkuasa tempatan untuk menutup kilang berkenaan, walaupun terdapat aduan-aduan dari penduduk berhampiran bahawa telah berlaku 4 kali letupan yang membawa maut sebelum letupan pada 7 Mei. Syarikat Bright Sparklers telah beroperasi tanpa gangguan selama 20 tahun. Ianya merupakan malapetaka pada tengah-tengah kawasan perumahan yang menunggu masa untuk berlaku. Mengapa?

Tiba-tiba ketika akhbar dan media tempatan baru hendak mengguris kulit skandal mereka telah di ‘black-out’. Semua akhbar tempatan dan media telah ditegah untuk memaparkan berita mengenai Bright Sparklers lebih lanjut.

Walau bagaimanapun pendedahan oleh media asing telah memaksa pendedahan dalam negara bahawa Daim yang dua kali menjadi Menteri Kewangan ialah pengasas dan pemegang saham syarikat Bright Sparklers. Daim sendiri telah membantu menubuhkan dan mendapatkan lesen perniagaan/mengilang untuk syarikat berkenaan.

Walaupun Daim telah menjualkan bahagian sahamnya di dalam syarikat berkenaan dan telah mengundurkan diri dari lembaga pengarah pada tahun 1977, anak saudara beliau Zahari Abdul Wahab masih mengekalkan sebahagian besar saham syarikat dan menduduki kerusi lembaga pengarah.

Walaupun akhbar dan media tempatan mendiamkan diri, bukan bermakna mereka tidak mengetahui hubungan Daim dengan Bright Sparklers. Wartawan dari Bernama telah pergi ka Pejabat Pendaftar Syarikat untuk meneliti rekod-rekod Bright Sparklers. Merekalah yang mula-mula mengetahui maklumat lanjut mengenai penglibatan Daim dan Zahari.

Malangnya walau banyak mana maklumat yang mereka perolehi, mereka telah diberi arahan oleh ketua-ketua pengarang mereka untuk ‘membunuh’ laporan-laporan mereka. Sememangnya Mahathir tidak akan membenarkan Menteri Kewangan dan rakan karibnya disangkut pautkan dengan kecelakaan yang paling dahsyat.

Keesokan harinya apabila wartawan lain pergi ke pejabat Pendaftar Syarikat mereka dapati fail-fail mengenai Bright Sparklers telah hilang. Jawapan yang diterima dari pegawai-pegawai yang bertugas adalah ‘tidak diketahui’ ‘telah hilang’ atau ‘tidak tahu’.
Walau bagaimanapun segala rahsia buruk itu akan terbongkar juga akhirnya.

Terlalu ramai rakyat yang tidak berdosa telah terkorban, dan kerajaan tidak boleh lagi menutup pekong di dada. Satu salinan asal file dari Pejabat Pendaftar Syarikat telah disampaikan ke pejabat media asing di Kuala Lumpur.

Selepas liputan dari media asing disiarkan, pemimpin pembangkang Lim Kit Siang telah ‘menghentam’ Daim di Parlimen mengenai hubungannya dengan syarikat Bright Sparklers. Dengan bukti-bukti yang sudah tersebar luas, Daim tidak lagi dapat berdalih. Dia mengaku telah menjadi penasihat guaman kepada syarikat berkenaan walaupun ketika itu dia tidak lagi menjalankan kerja-kerja guaman.

Dia mengaku telah ditawarkan saham di dalam syarikat berkenaan yang kemudiannya dipindahkan kepada syarikat keluarganya. Dia juga mengaku telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan modal dari pelabur asing tetapi menegaskan bahawa kepentinganya di syarikat berkenaan adalah terhad kepada pemegang saham yang pasif.

Mungkin, ..tetapi beliau adalah jenis pemegang saham yang kehadirannya di syarikat berkenaan boleh menimbulkan rasa gentar dan hati-hati kepada penguatkuasa undang-undang syarikat yang berhasrat untuk mengambil tindakan ke atas Bright Sparklers yang tidak menghormati undang-undang!

Tambahan, Daim juga disebut telah membantu mendapatkan lesen perniagaan/ pengilang untuk syarikat berkenaan. Kebolehannya untuk melintasi halangan-halangan birokrasilah yang telah memaksa pelabur modal Bright Sparklers datang kepadanya. Sebagai imbuhan dari ‘pertolongan’ yang diberi oleh Daim, maka pelabur berkenaan bersetuju untuk meluluskan permohonan beliau mendapatkan saham di dalam syarikat berkenaan.

Ada berapa banyak lagikah syarikat seperti Bright Sparklers di luar sana? Walaupun Bright Sparklers tidak pernah mendapat semua permit untuk beroperasi secara sah, dengan memberi lesen mengilang/memproses bahan-bahan letupan yang berbahaya seolah-olah telah membebaskan syarikat berkenaan dari diambil tindakan oleh penguasa-penguasa tempatan. Tambahan pula berapa ramaikah para penguasa yang sanggup berhadapan dengan seorang kanan UMNO dan kroni Mahathir?

Malahan panel Suruhanjaya yang dilantik untuk menyiasat malapetaka berkenaan merasa serba salah dengan apa yang mereka jumpa. Hasil siasatan berkenaan tidak pernah diumumkan. Tidak sekali pun penjelasan dibuat kepada rakyat terutamanya keluarga mangsa. Ini membuat orang ramai tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pintu bilik Suruhanjaya Penyiasat.

Tambahan pula semasa peringkat awal operasi Bright Sparklers Daim mempunyai kawan di Kementerian Perdagangan dan Industri, yang mana beliau boleh hubungi jika menghadapi masalah dengan pihak-pihak penguatkuasa. Siapakah kawan ini… kalau bukan Mahathir ?

Kita mungkin tertanya-tanya, berapa kalikah kerja-kerja Daim di Bright Sparklers diulang-tayang di dalam syarikat-syarikat lain ketika orang kerdil ini masih menampal dindingnya dengan jutaan ringgit, sebelum beliau mampu dengan berbilion ringgit. Berapa banyakkah ‘khidmat’ telah dilaksanakan dengan mudah menggunakan mesin pencetak wang Daim bukan susah untuk kita bayangkan.

Tragedi Bright Sparklers menimbulkan satu persoalan kepada kita. Berapa kalikah Daim dan kroni-kroni nya telah memperjudikan nyawa rakyat Malaysia dalam keghairahannya membina kekayaan yang menggila?

Kita hanya mendapat tahu yang satu ini kerana ia ‘meletup’ dalam erti kata sebenar!

Daim Yang Diam



Kebelakangan ini Daim Zainuddin telah bersuara semula, Sekali gus mentohmah Anwar Ibrahim sebagai calon yang tidak tepat untuk dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia lebih suka kalau Najib terus menjadi Perdana Menteri.
“Anwar bukan seorang yang pintar ekonomi” demikian katanya.
Memang Anwar bukan seorang kelulusan ekonomi, tetapi dia berjaya menentukan hutang Malaysia tidak seteruk semasa Daim menjadi Menteri kewangan.
Kini, Daim dan TKT Mahathir merupakan dua Melayu yang terkaya di Malaysia. Cuma tidak disenaraikan. Yang menonjol sebagai Melayu terkaya ialah Syed Bukhari sedangkan hutang Syed Bukhari bertapuk sehingga RM35 billion.

Bayangkan dengan harta Daim di luar negara. Dia memiliki 59 buah bank di Indonesia, 23 bank di Afrika dan 9 bank di Eropah. Bolehkah Syed Bukhari menandingi Daim?

Saya kenal Daim secara ‘accident’ di zaman mudanya dahulu. Ketika itu dia ada projek buat garam di Kuala Selangor. Ketika itu Pegawai Daerah Kuala Selangor adalah seorang kawan lama saya bernama Abu Hassan yang kemudiannya bergelar Tan Sri dan menjadi Menteri Besar Selangor.

Ini projek cara lama di mana air laut dibiarkan masuk petak-petak yang dibenteng dengan tanah. Bila air laut kering dan menjadi garam, barulah garam itu dimasukkan dalam guni untuk dijual. Ketika itu sekilo garam kasar berharga sepuluh sen.

Selepas itu Daim berjaya memikat seorang model Marjerin Planta bernama Mahani yang merupakan (ketika itu) isteri kepada seorang PTD bernama Dato Baharuddin Musa. Daim berjaya memikat hati Mahani kerana Mahani ketika itu berkawan baik dengan Datin Salmah isteri kepada Dato Haron Idris, Menteri Besar Selangor.

Dengan jasa baik Mahani, yang sudah menjadi isterinya, dan Datin Salmah, Dato Harun bagi Daim sekeping tanah yang ketika itu digunakan oleh orang Cina untuk tanam sayur. Tanah itu kini dikenali sebagai Taman Maluri.

Cukup dahulu kisah bagaimana Daim menjadi kaya raya. Tetapi dia menjadi maha kaya apabila dia dengan Mahathir dan dengan persekongkolan Tenku Adnan melesapkan duit simpanan orang Melayu dalam khazanah UMNO.

Harus diingat semasa Anwar Ibrahim melancarkan proses penswastaan firma-firma besar kepunyaan Kerajaan, banyak ‘pink form’ yang dikeluarkan oleh Anwar kepada semua lapisan orang Melayu dan UMNO. Sebahagian peratus tertentu (saham keluaran baru) Anwar masukkan dalam khazanah kewangan UMNO.

Sehingga hari ini dan setiap tahun UMNO bersidang, penyata kewangannya tidak dibentangkan dengan jujur.

Bayangkan seorang tauke garam kasar bertukar menjadi tauke Taman Maluri. Berapa sangat keuntungan Daim?

Jangan lupa kisah Hiroshima Kilang Mercun di Sungai Buluh. Inilah syarikat yang wujud selama 20 tahun tanpa lesen. Bila meletup segala dokumen mengenainya di Pendaftar Syarikat telah lesap. Hanya di Parlimen, bila Lim Kit Siang asak beliau barulah Daim mengaku dialah tuan punya syarikat itu. Sila baca “Retro: Daim... masihkah engkau ingat?

Bila bercerita kisah Daim ini saya masih ingat kisah seorang pegawai Melayu yang masih bekerja di Bank Dunia di Jabatan Flight Capital Recovery Department. Kerja dia amat mudah kerana dia kena pergi merata tempat dan mencungkil segala wang yang dilarikan daripada Malaysia untuk disimpan di bank luar negara.

Setiap kali insan ini pulang ke Malaysia dia datang berjumpa kawan lama dia ini dan menceritakan bagaimana dia dapat mengesan duit simpanan beberapa orang tertentu pada zaman pemerintahan TKT Mahathir.

Yang paling menarik ceritanya ialah kisah bagaimana dia berjaya menyelongkar sebuah rumah seorang VVIP di Malaysia yang mempunyai satu banglo besar di Kuala Lumpur. Di banglo ini tidak ada pekerja Melayu, kecuali seorang pemandu. Pekerja rumah semuanya adalah berbangsa Vietnam, mungkin juga ada seorang dua berbangsa Indonesia.

Berasaskan risikan Bank Dunia, kawan saya telah dapat mengesan bagaimana banglo besar ini mempunyai dua tangki najis (sanitation tank). Satu tangki memang untuk najis, tetapi satu tangki lagi mengandungi lebih 200 juta ringgit Malaysia yang tidak dicatatkan nombor sirinya.

Ini bermakna si malaun yang menyorok duit ini membawanya masuk ke Bank Negara sedikit demi sedikit dan menukarkannya dengan wang yang halal.

Saya tidak mahu sebut nama si VVIP ini kerana mahu lindungi nama pewarisnya. Tetapi, Daim Zainuddin amat kenal orang ini.

Mungkin semua cerita ini akan terdedah kalau PR naik memerintah.

Sementara itu bacakanlah surah Al-Fatihah kepada sekitar 50 nyawa yang terkorban dalam letupan Bright Sparklers itu. Bagaimana pula dengan lebih 100 orang yang cedera termasuk ahli-ahli bomba yang hampir maut dalam letupan itu.

Saya harap apabila PR menang, Lim Kit Siang boleh buka semula kes ini dan minta Daim Zainuddin bayar pampasan dan ganti-rugi kepada pewaris pekerja kilang Bright Sparklers yang terkorban,

Khamis, 11 April 2013

Kisah Anwar Dibelasah Rahim Noor...Semua Gara2 Nak Pertahan korupsi


Pada malam ini, polis telah menangkap Anwar melalui serbuan UTK ke rumahnya di Bukit Damansara. Anwar membantah keras cara serbuan ini dilakukan. Pasukan UTK yang lengkap berpakaian baraclava dan bersenjata automatik. Mereka masuk dengan memecahkan pintu hadapan rumah. Bagaimanapun Anwar tidak menghalang pihak polis daripada menangkap beliau.


ACP Koh Hong Sun telah mengetuai pasukan untuk menangkap Anwar. Beliau telah memberitahu Anwar bahawa ia ditahan di bawah Seksyen 377B & D Kanun Keseksaan. Anwar kemudiannya memohon untuk solat dahulu.

Selepas solat, Anwar bersama Wan Azizah & anak-anak dibawa masuk ke dalam sebuah van polis. Ketika itu Anwar tidak digari. Selepas bertolak kira-kira 5 minit, van tersebut berhenti dan memindahkan Anwar ke tempat duduk belakang sebuah kereta polis yang mengekori van tadi.

Di dalam kereta polis tersebut, Anwar duduk di tengah. Di sebelah kanannya ialah ACP Koh dan di sebelah kirinya adalah Insp. Nasaruddin Mohd Nasir. Anwar masih belum digari pada masa tu.

Anwar tidak dibenarkan memberikan ucapan selamat tinggal kepada isteri dan anak-anaknya. ACP Koh berkata Anwar akan di bawa ke Bukit Aman dan di sana nanti beliau boleh mengucapkan selamat tinggal.

Ketika di dalam perjalanan, Insp Nasaruddin mohon maaf kepada Anwar kerana mendapat arahan untuk menutup matanya. Dia kemudian meminjam sapu tangan pemandu dan menutup mata Anwar. Anwar membuka cermin mata sebelum matanya ditutup. Anwar sempat berkata perbuatan ini zalim dan melampau. Namun beliau tidak menghalang matanya daripada ditutup.

Sebaik kereta terhenti, Anwar dibawa keluar dan dipimpin masuk ke dalam satu bangunan. Anwar kemudiannya dibawa ke sebuah tempat dan duduk di atas pangkin simen.

Kemudian Anwar digari kedua tangannya dari belakang. Selepas dua anggota polis masuk, gari dan penutup matanya dibuka. Barulah beliau sedar dirinya berada di dalam sebuah lokap.

Anwar kemudian diberitahu dia berada di dalam Lokap No. 6. Seminit dua kemudian, mereka memberitahunya bahawa mendapat arahan untuk menutup mata dan digari semula. Mereka terpaksa melakukannya.

Kemudian Anwar terdengar bunyi langkah kasut dan bunyi suara "berdeham". Beliau cam suara itu ialah suara Tan Sri Rahim Noor. Beliau sudah biasa dan dapat kenali suara itu. Daripada bunyi langkah-langkah kasut itu, Anwar tahu ada dua orang masuk ke dalam lokapnya dan dia bangun berdiri.

Sebaik sahaja berdiri beberapa saat, Anwar merasai satu tumbukan kuat pada bahagian kiri dahinya, di atas mata kiri. Anwar terjatuh ke arah kanan. Tangan kanannya dipaksa tarik untuk berdiri semula. Beberapa tumbukan kencang kemudiannya pada leher, muka dan kepalanya.

Anwar tidak dapat ingat semua tumbukan pada dirinya. Tapi beliau dapat mengenal pasti 7 pukulan kuat. (1) satu tumbukan ke dahi kiri. (2) satu pukulan di bahagian kanan atas kepala. (3) satu pukulan bahagian kiri atas kepala. (4) satu hentakan ala karate di bahagian kiri leher. (5) satu tumbukan pada bahagian atas tangan kanan. (6) satu tamparan kuat pada telinga kiri. (7) satu lagi tamparan kuat pada bahagian kanan muka dekat mulut.

Pukulan-pukulan itu berlaku ketika tangan Anwar digari di belakang.

Sepanjang masa Anwar dibelasah teruk, beliau hanya mampu jerit kesakitan. "Aduh". "Allah". "Jangan pukul saya".

Selepas tu Anwar mendengar seseorang menolak atau menarik si penyerang keluar dari lokap. Masa itu Anwar sudah lemah dan terbaring di atas pangkin.

Tidak lama selepas tu, tiga orang masuk ke dalam lokap Anwar. Dua anggota polis berpakaian seragam dan sorang lagi berpakaian biasa. Tutup kepalanya dan gari dibuka. Tutup kepala yang sudah kotor itulah yang digunakan untuk menyapu darah yang mengalir dari mulut dan hidung Anwar. Seorang lagi menggosok kepala dan mengurut lehernya.

Keadaan beliau sudah tersangat lemah untuk bangun, tidak bermaya dan terpinga-pinga akibat pukulan-pukulan teruk itu. Sejurus itu beliau pengsan dan tidak sedarkan diri sehingga lewat tengahari 21/9/1998.

Turkey dan PRU 13 Malaysia

Mengikuti perkembangan politik di Republik Turkey dan Malaysia adalah suatu yang cukup menarik.Turkey dan Malaysia adalah di antara negara contoh bagi negara Muslim terutamanya selepas Arab Spring yang berlaku di tanah Arab. 


Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan telah membuktikan kejayaan mereka di dalam dan luar negara. Kurangnya gejala rasuah, sistem pengurusan yang semakin baik, kurangnya konflik dalaman dan ekonomi yang semakin kukuh. 

Dari tahun 2002,ekonomi Turkey telah meningkat dari tangga 26 kepada tangga 16 dunia sekarang. Malah di dalam misi 2023,Turkey telah meletakkan target untuk menjadi diantara 10 kuasa ekonomi terkuat dunia.

Polisi Luar Turkey

(Kanan, Menteri Luar Turkey, Ahmet Davutoglu bersama Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan)

Setelah beberapa kali percubaan Turkey untuk menyertai  Kesatuan Eropah (EU), kerajaan Turkey telah menukar pandangannya kepada negara-negara selatan (Afrika dan Amerika Latin), dan negara-negara Timur (Asia Tengah, Timur Tengah, Cina dan India). 

Jika sebelum ini, Turkey yang hanya melihat kepada Barat telah mengubah polisinya dengan membuat hubungan yang baik dengan negara-negara Arab,sebagai contoh dengan menambah penerbangan setiap hari ke negara-negara seperti Yaman dan juga Lubnan, menghapuskan visa dengan Republik Syria dan juga telah menandatangani projek keretapi laju Istanbul-Madinah yang akan merentasi Republik Syria dan Jordan.

Antara misi 2023 Turkey adalah misi menghapuskan visa bagi passport Turkey ke seluruh dunia. Sejak tahun 2002, terdapat 46 negara yang tidak diperlukan visa bagi warga Turkey(visa percuma) dan telah meningkat kepada 64 negara pada tahun 2012. Malah angka itu akan ditingkatkan kepada 196 negara yang wujud di dunia sekarang sehinggalah menjelang tahun 2023.

Polisi 'tiada konflik' dengan negara-negara jiran yang diperkenalkan oleh Menteri Luar Turkey, Ahmet Davutoglu juga memberikan kesan yang begitu baik. Setelah berlakunya kebangkitan Arab pada 2010, Turkey adalah di antara negara yang terawal menyokong kebangkitan rakyat samada di Tunisia, Libya, Mesir dan turut tidak ketinggalan Republik Syria.

Pada September 2011, Perdana Menteri Erdogan di dalam siri lawatannya ke negara Tunisia, Mesir dan juga Libya,setelah berlakunya revolusi arab,telah berjaya membawa 200 orang usahawan Turkey untuk mengukuhkan ekonomi di negara-negara ini di dalam pelbagai bidang seperti petrolium, telekomunisasi, pengangkutan, perkhidmatan dan juga pendidikan. 

Di dalam persaingan dengan dunia luar seperti AS, Perancis dan IMF, Republik Turkey telah menjalinkan hubungan yang cukup baik di dalam jangka masa yang panjang.

Perjuangan dalam isu Palestin

Tambahan pula, Turkey turut membuktikan usaha mereka dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Bermula dengan kisah 'one minute' di Davos pada Januari 2009, semasa perdebatan diantara Perdana Menteri Erdogan dengan Presiden Israel Shimon Peres yang berakhir dengan Perdana Menteri Erdogan  bangun dan meninggalkan ruang perdebatan itu. 

PM Erdogan juga dengan lantang sekali mengutuk kekejaman dan pembunuhan yang telah berlaku di Gaza.

Setiap kali berlangsungnya persidangan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Erdogan dan Ahmet Davutoglu berulang kali mendesak untuk diberikan satu kerusi kepada Palestin di dalam PBB.Dan hasilnya,pada Februari 2013,usaha mereka telah berjaya, Palestin telah diberikan pengiktirafan dengan diberikan satu kerusi di dalam PBB.


(Erdogan memalukan PM Israel di Davos)

Selain itu, Turkey turut mendesak Israel untuk menarik embargo (sekatan) terhadap Gaza yang dikepung, sehinggalah Israel akhirnya terpaksa akur dengan menarik balik sekatan ekonomi itu. Dan yang terbaru, pada awal April, Israel juga telah memohon maaf kepada Turkey dalam isu serangan kapal Flotilla Mavi Marmara yang telah mengakibatkan kematian 9 warga Turkey.

Biasiswa kepada pelajar luar

Turkey merupakan diantara negara yang memberikan pendidikan secara percuma kepada seluruh warganegaranya. Malah, setiap tahun, kerajaan Turkey akan menyediakan biasiswa penuh kepada orang luar untuk belajar di Turkey bermula di peringkat sarjana muda sehinggalah PhD. 

Projek biasiswaTurki ini akan menaja lebih 3000 hingga 4000 orang pelajar luar Turkey setiap tahun. Misi utama mereka dalam projek ‘pelaburan’ ini adalah untuk mengembangkan bahasa Turkey ke seluruh dunia.

Malah yang terbaru, Perdana Menteri Erdogan telah mengumumkan untuk memberikan perkhidmatan percuma kepada warga asing yang berada di Turkey tidak kira samada pelajar, pekerja ataupun pelancong dengan menganggap mereka ini adalah musafir.

Misi dan projek yang dirancang secara rapi oleh Turkey ini adalah satu misi yang cukup besar untuk satu jangka masa yang panjang. Negara luar sedang melihat apa yang dilakukan oleh Turkey. Turkey merupakan negara contoh bagi negara Arab yang baru mahu membangun dalam acuan demokrasi. Apakah misi ini akan berjaya untuk membentuk satu empayar Othmaniah baru (the new Ottoman) ?

Malaysia pada 5 tahun lepas dan PRU 13

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang dipandang tinggi oleh warga dunia terutamanya dari dunia Islam. Malaysia adalah di antara negara yang pesat membangun dan kaya dengan sumber-sumber asli. 

Pada tahun 1992, Malaysia adalah negara yang terlibat secara langsung di dalam usaha menangani isu Kosovo. Malaysia juga lantang dalam membincangkan isu Palestin.Dalam bidang ekonomi pula, Malaysia juga ke hadapan di dalam memperkenalkan ekonomi Islam.

Namun itu dulu

Menjelang Pilihanraya Umum 13 ini, saya sebagai rakyat marhaen yang memerhati dari jauh perkembangan politik tanah air juga ingin memberikan komentar selama pemerintahan kerajaan 5 tahun yang lepas di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak. Di manakah Malaysia di mata dunia?


(Erdogan dalam pertemuannya dengan Najib)

Bermula dengan isu pembelian kapal selam “scorpene” dan isu pembunuhan Altantuya Sharibuu yang merupakan warga Mongolia sehinggalah melibatkan mahkamah Perancis. Isu fitnah liwat Datuk Sri Anwar Ibrahim yang berakhir di mahkamah menunjukkan ia adalah fitnah. 

Malahan yang terbaru, isu kekayaan negeri Sarawak yang telah diboloti oleh satu keluarga yang dibongkarkan oleh satu badan berkecuali dari luar negara, Global Witness. Isu-isu seperti ini telah memberikan pandangan buruk kepada warga dunia yang mengenali Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang pesat membangun.

Malaysia turut mempunyai hubungan yang kurang baik dengan negara-negara jiran seperti Filipina dengan isu yang terbaru,iaitu pencerobohan pengganas di Lahad Datu yang tidak ditangani dengan bijak selain daripada isu-isu dengan kerajaan Singapura dan Indonesia. 

Kalau kita melihat  dengan lebih jauh, Malaysia kelihatan lemah dan lembap di dalam beberapa isu kemanusiaan seperti isu pembunuhan umat Islam Rohingya di Arakan, malahan Malaysia juga masih belum memberikan apa-apa respon terhadap isu Syria.

Selain daripada rakyat Malaysia, warga dunia juga sedang memerhati secara dekat PRU 13 ini dengan mengharapkan satu perubahan yang akan berlaku. Oleh itu, menjelang PRU 13 ini, kami rakyat Malaysia mahu mendengar apakah polisi-polisi luar yang akan di bawa oleh parti-parti yang akan bertanding dan seterusnya akan menerajui Malaysia. 

Dengan polisi-polisi inilah, rakyat Malaysia akan memilih untuk mengundi siapa. Kami tidak mahu taburan wang, politik fitnah menfitnah, dan manifesto murahan. Kami rakyat Malaysia sudah matang dan bijak.

Salam PRU 13 dari Turkey