Rabu, 9 Mei 2012

Dari mana Felda ambil wang bayar durian runtuh?


Semalam, Perdana Menteri mengumumkan di Felda Jengka 8 seramai 112,635 peneroka Felda akan mendapat durian runtuh RM5,000 setiap orang. Isteri mereka – dibayar kemudian – akan juga mendapat RM5,000 se orang. Kemudian, anak-anak mereka akan mendapat RM5,000. Kalau keluarga peneroka mempunyai 5 orang anak, anak-anak mereka akan mendapat RM1,000 se orang.  Jumlah kesemuanya RM15,000 bagi se tiap keluarga peneroka. Kalau setiap keluarga mempunyai ahli seramai 7 orang (ayah, ibu dan lima orang anak), maka secara puratanya, mereka akan mendapat RM2,143 seorang.   Satu jumlah yang biasa sahaja, tidak memeranjatkan.

Dengan membayar durian runtuh RM15,000 bagi setiap keluarga, Felda akan membelanjakan RM1.69 bilion. Ini bayaran “one-off” yang boleh meringankan beban kewangan peneroka sekadar sementara.  Wang itu bolehlah digunakan untuk menampung belanja kenduri kendara, melupuskan hutang atau belanja pergi umrah untuk dua orang. Bagi peneroka yang cermat, bolehlah meningkatkan tabungan. Namun, majoriti peneroka yang menerima bayaran “one-off” ini akan membelanjakan wang ini untuk penggunaan, bukan pelaburan. Maklumlah, ini “rezeki terpijak.”

Tentu rasa sayang peneroka kepada kerajaan UMNO-BN terus bersemarak, maklumlah ini kali pertama dalam 55 tahun sejarah Felda, peneroka mendapat wang tunai yang begitu besar, walaupun pada hakikatnya, nilai wang ini tidak seberapa dalam ukuran sekarang. Satu ekar tanah di Felda sekarang sudah berpuluh ribu malah dalam ratusan ribu harganya. Undi mereka sudah dibeli dengan harga murah (demolition price) dan Perdana Menteri cukup yakin, majoriti peneroka akan terus mengundi UMNO-BN di dalam PRU13 yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja sekarang, besar kemungkinan dalam bulan Jun ini. Dengan bayaran ini, UMNO-BN mengharapkan 58 kerusi yang menjadi simpanan tetapnya akan terselamat dari disambar Pakatan Rakyat.

Dari manakah datangnya wang sebanyak RM1.69 bilion yang akan ditaburkan kepada peneroka itu?

Felda Global Ventures Holdings Berhad akan mengapungkan 2,188,890,900 unit saham di Bursa Malaysia pada harga Tawaran Awam Awal - TAA (Initial Public Offer – IPO) RM4.65 se saham. Ini bermakana, ia akan menjana RM10.18 bilion.  Dari jumlah ini, Felda akan mendapat RM5.62 billion. Ini kerana sebahagian besar, iaitu, 1,208,890,900 unit saham adalah milik Felda. FGVHB akan hanya menjana RM4.56 bilion dari pengapongkan saham ini.  Jumlah ini relatif kecil untuk bercatur di dalam perniagaan peringkat global. Lagi pun, sebahagian besarnya akan diguna untuk membayar hutang dan kos penanaman semula.

Dengan melupuskan kesemua kepentingannya kepada FGVHB, Felda Badan Berkanun hanya mendapat RM5.65 bilion. Dari jumlah ini, RM1.69 bilion akan dibelanjakan untuk membayar RM15,000 durian runtuh kepada setiap keluarga peneroka. Baki yang ada pada Felda BB hanyalah RM3.96 bilion. Harus diingat bahawa Felda BB berbelanja kira-kira RM2 bilion setahun. Wang yang baki itu hanya cukup untuk menampong perbelanjaan 2 tahun. Selepas itu, wang pembayar cukai perlu disuntikkan kembali kepada Felda BB.

Harta yang dilupuskan kepada FGVHB adalah harta peneroka. Ia akhirnya akan dipindah milik, melalui jual beli saham di pasaran, kepada pelabur-pelabur bukan peneroka termasuklah taukeh-taukeh besar dan pelabur-pelabur asing yang memang sudah sedia kaya. Maknanya, yang dijual adalah harta peneroka. Oleh itu, wang yang dikatakan durian runtuh itu sebenarnya adalah hak peneroka. Tidak ada durian runtuh sebenarnya. Felda menjual hak peneroka kepada orang lain, dan sebahagian kecil dari wang itu diberikan kepada peneroka. Peneroka menerima wang yang dijana dari titik peluh mereka sendiri.

Siapakah yang sebenarnya mendapat untung besar dari pengapongan saham FGVHB?

Pada awalnya, harga TAA ditetapkan pada RM5.85 se saham. Di dalam prospektus yang dipaparkan dalam sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, harga TAA diturunkan kepada RM4.65 se saham, iaitu, penurunan sebanyak RM1.20 se saham atau diskaun sebanyak 20.5%.  Ini bermakna, sebelum diapongkan, Felda BB telah rugi RM1.45 bilion. Penurunan harga ini bakal menguntungkan pelabur-pelabur dalam negera dan asing yang membeli saham FGVHB ini pada harga lebih murah, iaitu, diskaun 20.5%.  Bila saham FGVHB mula dijual beli di pasaran nanti, akan ada pelabur-pelabur kaya tunai yang akan mengutip setiap unit saham yang dijual oleh pelabur runcit dan juga pelabur institusi sehingga mereka berjaya menguasai 30% daripada jumlah saham. Ketika itu, mereka akan berkuasa ke atas FGVHB dan kepentingan peneroka akan mengambil tempat duduk belakang.

Pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, majoritinya kroni pemerintah dan penama UMNO, bakal  mengaut untung besar. Golongan pelabur terpilih ini diperuntukkan 419,537,000 unit saham  atau 11.5% dari jumlah saham yang diapongkan. Mereka, sebagai satu kumpulan, membeli saham ini pada harga RM1,950,847,050 (pada harga RM4.65 se saham). Jika harga naik ke RM5.85 sesaham (+RM1.20), mereka sudah mendapat untung  RM503 juta. Kalau harga naik sebanyak RM2.40 (ke RM7.05 sesaham), golongan pelabur Bumiputera terpilih ini akan untung RM1 bilion. Ini tidak mustahil.  Pembiayaan tidak menjadi masalah kepada mereka kerana disediakan oleh bank-bank. Pembeli saham pun tidak menjadi masalah kerana badan kerajaan kaya tunai seperti Tabung Haji, KWSP, PNB dan lain-lain sudah sedia untuk membeli dari mereka.   Inilah dana PRU13 untuk UMNO.

Bila saham FGVHB yang aset utamanya tanah diapongkan, harta peneroka – tanah ladang dan kilang-kilang pemprosesan sawit – akan bertukar tangan secepat putaran jual beli saham di pasaran saham. Tiada siapa boleh menjamin harta bernilai peneroka ini tidak akan terlepas kepada pelabur asing yang rakus dan tamak. Peluang untuk memiliki tanah tidak ternilai ini dan menguasai minyak sawit, komoditi makanan yang amat penting di dunia hari ini, yang selama ini mereka intai, sudah sedia untuk digenggam.

PENEROKA FELDA KENA TIPU OLEH MAT MONGOL



DUSUN DURIAN AKAN TERGADAI





PENEROKA FELDA BERHAK MENDAPAT RM50,000 SATU KELUARGA, BUKANNYA RM15,000

Pengumuman yang dibuat Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa setiap peneroka FELDA akan mendapat ganjaran RM15,000 selepas penyenaraian FELDA membuktikan sekali lagi bahawa pentadbiran Barisan Nasional membolot kekayaan sesama mereka, sedang rakyat diberikan hampas dan imbuhan kecil sahaja.

KEADILAN telah meneliti prospektus penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) untuk menentukan berapakah nilaian sebenar ganjaran yang sepatutnya diperolehi oleh peneroka FELDA. Proses ini turut melibatkan perbincangan dengan penganalisa pasaran untuk menentukan prestasi FGV dan harga setiap unit saham apabila disenaraikan kelak.

Berdasarkan prospektus penyenaraian, dana yang akan dikutip oleh FELDA selepas penyenaraian berjumlah RM5.6 bilion, sementara FGV pula akan mendapat suntikan dana tambahan berjumlah RM4.557 bilion.

Ini berikutan urusniaga berikut:

1. FELDA akan menjual 59% dari pegangannya sedia ada di dalam FGV (bersamaan 1,208,890,900 saham) kepada pelabur-pelabur baru

2. FGV akan menerbitkan saham baru berjumlah 980,000,000 yang akan dijual kepada pelabur-pelabur baru

3. Harga penyenaraian setiap unit saham adalah RM4.65

4. Dana tambahan yang dikutip oleh FELDA adalah RM4.65 X 1,208,890,900 = RM5.6 bilion

5. Dana tambahan yang dikutip oleh FGV adalah RM4.65 X 980,000,000 = RM4.557 bilion

Jumlah keluarga peneroka FELDA di seluruh negara adalah 112,635 yang berhak mendapat keuntungan dari proses penyenaraian ini kerana tanah-tanah seluas 840,603 ekar yang diusahakan oleh Felda Plantatians Sdn Bhd adalah milik mereka. Tanah ini dipajakkan kepada FGV yang memberi nilaian besar kepada penyenaraian ini. Tanpa tanah yang diambil oleh FELDA atas nama peneroka ini, penyenaraian FGV akan gagal.

Oleh yang demikian, KEADILAN berpendapat Dato’ Seri Najib Tun Razak harus berterusdana yang dikutip akan diagihkan kepada peneroka. Jumlah keseluruhan agihan ini terang kepada rakyat bahawa hanya 30% (berjumlah RM15,000 setiap keluarga) dari adalah RM1.689 bilion.

Bakinya yang lebih besar (iaitu 70% dari jumlah dana yang dikutip) berjumlah RM3.942 bilion akan disimpan dan digunakan oleh pentadbiran beliau.
Maka, reaksi pertama KEADILAN kepada pengumuman beliau pada hari ini adalah:

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak wajib mengagihkan KESEMUA dana yang dikutip oleh FELDA kepada peneroka. Ini bersamaan dengan RM50,000 setiap keluarga, bukannya RM15,000 yang diumumkan. KEADILAN mencabar beliau mengumumkan agihan keseluruhan RM50,000 ini; dan

2. Pentadbiran Barisan Nasional mestilah memperincikan bagaimanakah baki RM3.942 bilion akan dibelanjakan supaya ada ketelusan dan amanah.
Ini bukanlah kali pertama Dato’ Seri Najib Tun Razak berpura-pura mendahulukan rakyat sedangkan di belakang beliau dan suku sakat mengaut keuntungan besar dengan menggunakan nama rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

WONG CHEN
PENGERUSI, BIRO PERDAGANGAN DAN INDUSTRI
8 MEI 2012

Selasa, 8 Mei 2012

Fatwa haramkan demo ikut buku Umno, ulangi taktik Hosni Mubarak

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menetapkan perhimpunan sebagai haram kepada umat Islam, dibuat berpandukan buku Perlembagaan Umno, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik kenyataan ulama terkenal dunia, Sheikh Yusof al-Qaradawi, Ketua Umum KEADILAN itu , berkata amalan berhimpun sudah diamal Khalifah Umar al-Khattab ketika menyebar risalah Islam.
“Buktinya kupasan Yusof Qaradawi menyebut Saidina Umar Al Khattab – masa Islam mula berkembang, ada siri rahsia di rumah Arqam, tempat di mana orang berkumpul dan sampaikan risalah.
“Kemudian, Saidina Umar mahu tunjuk rasa dengan berjalan bersama beberapa kawan dan terang-terang membawa mesej Islam daripada rumah Arqam ke Masjidil Haram.
“Jadi, Jawatankuasa Majlis Fatwa baca buku mana? Adakah buku Perlembagaan Umno?” katanya depan kira-kira 5,000 orang pada ceramah Merdeka Rakyat di Padang Kampung Baru, Batu Caves tengah malam tadi.
Mengulas lanjut, Ketua Pembangkang itu kesal kerana Majlis Fatwa sanggup menjadi alat Umno sedangkan berhimpun menuntut keadilan tidak dilarang dalam Islam.
“Ini semua alat perkakas murahan, tiada pendirian. Kita kena ingat ikrar kita untuk bawa perubahan lebih 300,000 yang berhimpun itu belum selesai. Itu satu permulaan, kalau perlu kita buat lagi.
“Ada kata demonstrasi bukan budaya Islam, bukan budaya Arab. Ada kata demonstrasi import dari luar. Saya mahu jawab.
“Yang ditulis dalam buku Yusof Qaradawi dan disertakan ayat al-Quran bermaksud, harus kita sama dalam menegakkan kebaikan dan cari jalan satu tunjuk rasa bila kerajaan zalim,” katanya.
Anwar turut mempersoal kewibawaan Majlis Fatwa yang hanya menetapkan ‘haram’ kepada perhimpunan tetapi tidak sensitif isu semasa melibatkan umat Islam.
“Patut tanya dulu dari mana timbul kekacauan. Tapi, yang rasuah – tak haram, bunuh orang – tak haram, pukul orang – tak haram, rogol orang – tak haram,” sindirnya.
Beliau juga mengingatkan rakyat betapa perbuatan mengharamkan perhimpunan sudah dilakukan regim Hosni Mubarak ketika masih Presiden Mesir.
“Undang-undang ini di Mesir sudah dibuat. Hosni Mubarak bawa fatwa mengatakan tunjuk perasaan hendak gulingkan kerajaan itu haram. Hanya pemimpin Umno ala-Mubarak ini tidak faham-faham sampai sekarang,” katanya

Senator Australia saman NST, Utusan

Senator Nick Xenophon dari Australia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia, yang mengambarkannya sebagai anti-Islam dan pejuang hak gay.
Dalam kenyataannya di News.com.au, beliau berkata: “Laporan itu palsu sepenuhnya. Ia fitnah dan saya akan ambil tindakan”.
NST melaporkan, Xenophon anti Islam semasa berucap dalam Parlimen Australia padahal katanya, dalam ucapan itu beliau menggunakan perkataan ‘Scientology’ dan bukannya Islam.
Xenophon berada di Malaysia termasuk hari perhimpunan Bersih 3.0 dan membuat kenyataan menyesali kejadian dalam perhimpunan itu dengan berkata: “Ia aman (sehingga pendemo diprovokasi)”.
Beliau mengkritik laporan berat sebelah media arus perdana terhadap Bersih 3.0 kerana mementingkan wajah Datuk Seri Najib Razak di Sabah daripada perhimpunan terbesar di Malaysia.
“Media perdana memihak dan tidak adil,” katanya yang kemudian dipetik media Australia menyatakan: “Saya terkejut ada yang pergi hingga sebegitu rendah.”
NST kemudian mendakwa sedang menyiasat laporan wartawannya ekoran bantahan itu dan membuang berita berkenaan dari laman web.
Utusan Malaysia milik Umno pula yang menerbitkan berita yang sama dan memutar belitkan kenyataan Xenophon, telah mengeluarkan laporan itu di laman webnya tetapi tidak memohon maaf.
Xenophon merupakan sebahagian daripada pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia.

Adakah Majlis Fatwa tahu apa itu Bersih 3.0?



“Macam mana satu fatwa dikeluarkan tanpa mengetahui tasawwur (gambaran) sebenar mengenai hukum yang hendak diputuskan?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.


Beliau juga mempersoalkan bagaimana suatu fatwa boleh dikeluarkan jika suatu isu tidak dilihat secara menyeluruh.

Misalnya, kata beliau kalau yang bertanya itu apa hukum minum ‘tuak’ oleh orang Kelantan kepada ustaz daripada Selangor.

“Maka sudah tentu ustaz itu akan menjawab haram. Tetapi jika diberi penjelasan bahawa tuak dibuat daripada pokok nipah, jikalau di sebelah utara menyebut nira, maka sudah tentulah hukumnya halal.

“Kerana apa ustaz dari Selangor itu menjawab haram,  kerana istilah tuak ialah benda yang memabukkan, tetapi setelah mendapat penjelasan, maka hukum itu berubah,” ujarnya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai Bersih 3.0.

Menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendapat maklumat di sebelah pihak sahaja yang sepatutnya perlu bertanya dan bincang dahulu apa itu Bersih 3.0.

“Jangan mereka hanya faham ‘Bersih’ itu hanya air mutlak dalam bab feqah sahaja iaitu air yang suci, lagi menyucikan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya amat malang rakyat Malaysia apabila kewibawaan Majlis Fatwa yang sepatutnya mempertahankan kredibiliti mereka yang dianggotai oleh 14 mufti dan ulamak di negara ini telah mengeluarkan hukum tanpa mendapat penjelasan daripada pihak kedua.

“Apakah ini disiplin Majlis Fatwa Kebangsaan?” tanya beliau.

Beliau menambah, amat malang sekali fatwa yang dikeluarkan hanya kes yang terpilih.

“Kenapa Majlis Fatwa tidak bincang apa hukum pilihanraya tipu?

“Apakah hukum kerajaan yang membazir wang rakyat?” soalnya.

Beliau juga bertanya apakah hukum demonstrasi yang dibuat oleh penyokong Umno di negeri Pakatan Rakyat seperti demo kepala lembu di Selangor sehingga boleh mencetuskan pergaduhan kaum dan agama.

Baginya, sudah cukuplah banyak institusi kerajaan yang dipertikaikan kewibawaannya seperti badan kehakiman, SPR, PDRM dan SPRM.

“Jangan pula rakyat memandang rendah kepada kewibawaan Majlis Fatwa yang hanya sanggup menjadi alat dan membincang perkara yang menguntungkan pemerintah walaupun tanpa merujuk kepada pihak kedua untuk mendapat penjelasan supaya berlaku adil,” katanya lagi.