Anwar Ibrahim Club (AIC) amat tertarik dengan serangan terbaru Tun
Mahathir terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim seperti yang disiarkan sebuah
portal semalam, dengan menyebut Ketua Umum PKR itu dengan Presiden
Amerika Syarikat Barack Obama mempunyai persamaan iaitu menabur banyak
janji besar tetapi tidak dipenuhi.
Beliau juga menggesa supaya sokongan diberikan kepada BN kerana
Anwar, kata Mahathir, menjanjikan banyak perubahan tetapi tiada jaminan
bahawa janji tersebut akan ditunaikan.
Umum mengetahui sejak lama , Mahathir mempunyai dendam peribadi yang
tinggi terhadap Anwar Ibrahim ekoran perbezaan polisi dalam urustadbir
kerajaan semasa Ketua Pembangkang Malaysia itu menjadi orang nombor dua
Malaysia dalam kabinet Mahathir , yang akhirnya melakar sejarah hitam
demokrasi negara pada 1998.
Serangan terbaru ini adalah rentetan tekanan demi tekanan yang
diterima Mahathir berikutan kelemahan pentadbiran Najib Razak yang kini
sedang diasak oleh Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim untuk mara ke
Putrajaya. Mahathir melihat situasi ini amat membahayakan kedudukan
beliau sebagai ‘de facto’ kerajaan serta sekali lagi bakal menyebabkan
perniagaan anak kesayangan beliau iaitu Mirzan menemui noktah buruk
seperti dulu.
Lupakan Mahathir, Pakatan Rakyat Terus Mara Ke Putrajaya
AIC melihat omongan Mahathir ini sebagai tidak bermaya dan keluar
dari mulut seorang bekas Perdana Menteri yang akan dilupakan satu hari
nanti. Mahathir sengaja menutup mata melihat pembangunan dan
perkembangan baik ekonomi yang dilakukan oleh negeri-negeri Pakatan
Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Mahathir lupa kebanyakkan polisi kerajaan yang ingin segera diubah
adalah disadur daripada idea Buku Jingga yang akan dilaksanakan oleh
Pakatan Rakyat apabila mentadbir Putrajaya nanti. Mahathir juga lupa
pembangunan bukan sahaja melibatkan pembangunan stuktur bangunan tinggi
semata-mata, tetapi asas ekonomi yang melibatkan kehidupan seharian
rakyat terbanyak.
AIC yakin rakyat Malaysia tidak lagi memerlukan idea dan buah fikiran
Mahathir yang jelas menjaga kepentingan diri dan kroni rapat dengan
beliau. Malaysia tidak akan bankrap sekiranya memberikan pendidikan
percuma kepada rakyat, hatta melaksanakan polisi penurunan harga kereta.
AIC hairan bagaimana seorang diktator selama 22 tahun boleh berfikiran
secetek ini apabila menyebut tentang polisi ekonomi.
Negara akan dan sedang menuju bankrapsi apabila ratusan juta
dilaburkan kepada individu dan korporat secara tertutup dan tidak
memulangkan hasil seperti skandal NFC melibatkan RM 250 juta serta skandal
Bank Negara yang melibatkan RM 30 Billion wang rakyat yang diniagakan di
pasaran matawang.
Mahathir boleh terus berada dalam dilema yang beliau reka sendiri
puluhan tahun lalu, rakyat Malaysia sudah bersedia untuk bersatu di
bawah pimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baru. Rakyat juga
telah bertekad untuk menolak “Syaitan” yang mereka kenal, dan memilih
seorang pemimpin baru yang betul-betul menunjukkan semangat untuk
membawa Malaysia keluar dari kemelut identiti dan keruntuhan ini.
AIC meyakini dalam segala aspek sekalipun, Mahathir terlalu jauh
untuk menggapai apa yang telah Anwar berikan kepada rakyat Malaysia
khasnya dan dunia amnya iaitu -Inspirasi. Disaat Mahathir termanggu
manggu merasmikan perhimpunan ultra Melayu seperti Perkasa, Anwar
Ibrahim dengan megah dan terhormat menjadi jemputan untuk merasmikan dan
berpidato dalam perhimpunan ekonomi sedunia.
Inilah dilema Mahathir, semakin beliau menghasut rakyat untuk
membenci Anwar Ibrahim, jalan perubahan semakin terbuka luas. Usahlah
berpura-pura mengambil berat tentang negara, jika seorang bekas Perdana
Menteri memgang kepentingan dalam industri otomobil dan petroleum
negara. Usahlah berbicara tentang moral jika anak sendiri memgang modal
besar dalam syarikat arak antarabangsa.
Rakyat boleh mula melupakan Mahathir, dan jadikan pedoman dan doa
supaya bangsa Malaysia akan datang tidak lagi dipimpin oleh maha karut
seperti ini.
GENERASI PENGGERAK ZAMAN
Saifuddin Shafi Muhammad
PRESIDEN
AIC MALAYSIA
PRESIDEN
AIC MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan